Piala Malaysia 2019: Bukan Mudah Tetapi Kami Boleh Realisasikannya, Tegas Aidil Sharin

Iklan

Aidil Sharin Kedah Pahang Piala Malaysia

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menyatakan dalam sidang media sejurus menyaksikan Kedah dan Pahang terikat dengan keputusan 3-3 di separuh akhir Piala Malaysia 2019 yang ianya bukan mudah untuk menentang pasukan seperti Pahang.

Namun, Aidil Sharin percaya, dengan semangat melawan yang dimiliki pemainnya, apa sahaja boleh berlaku di Stadium Darul Makmur nanti pada aksi timbal balik di minggu hadapan.

“Saya tidak boleh minta lebih daripada pemain-pemain saya kerana Pahang ada pasukan yang bagus, itu sebabnya mereka adalah naib juara liga dan semifinalis Piala Malaysia.

“Jadi, bukan mudah tetapi kami boleh realisasikannya dengan semangat berpasukan dan kerja keras,” ujarnya mengenai aksi kedua di gelanggang lawan selepas menghadiahkan Pahang dengan bekalan tiga gol dari Stadium Darul Aman.

Pahang meledak dua gol awal menerusi gol jarak jauh Wan Zaharulnizam dan penalti Dickson Nwakaeme sebelum kemasukkan Azamuddin Akil di minit ke-30 membantu kebangkitan Helang Merah untuk mengejar dua gol.

Penyerang import, Fernando Rodriguez tampil menyudahkan peluang dan penalti yang diperolehi untuk membolehkan Kedah kembali menarik nafas lega sebelum babak pertama berakhir.

Pemain skuad kebangsaan, Nor Azam Azih mengembalikan Pahang di depan sebelum pemain gantian, Zaquan Adha menanduk masuk jaringan penyamaan tuan rumah di penghujung perlawanan.

“Saya berharap hero [Zaquan Adha] akan memenangi perlawanan tetapi kita harus beri kredit kepada kesemua pemain yang telah bekerja keras. Kita juga dapat lihat Renan [Alves] bekerja sangat keras untuk mengekang Dickson [Nwakaeme], termasuklah Azmeer [Yusof], Baddrol [Bakhtiar] dan juga Shakir [Hamzah].

“Ya, Zaquan [Adha] masuk dan dia masih segar. Dia menggunakan segala pengalamannya – apa yang perlu dibuat di minit akhir, itu sangat penting buat kami. Alhamdulillah, dia berhasil menjaringkan gol selepas agak lama [tidak meledak gol],” tambah pengendali berusia 42 tahun itu lagi mengenai penyerang yang kali terakhir meledak gol pada pusingan ketiga Piala FA, 16 April lalu.

“Satu kesilapan daripada Pahang di minit akhir, mereka dihukum oleh kami. Perlawanan ini telah berakhir. Kita tidak boleh fikirnya lagi dan paling penting aksi selepas ini. Peluang itu masih ada [untuk layak] untuk kedua-dua pasukan,” jelasnya sambil menekankan dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

Kedah akan berkunjung ke Kuantan pada 26 Oktober depan untuk aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia bagi menentukan pemilik tiket ke pentas final kejohanan yang memasuki edisi ke-93 ini.

Kredit Featured Image: Arena HijauKuning

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram