Piala Malaysia 2019: Abu Bakar Tetap Puji Semangat Juang Anak Buah

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Abu Bakar

Ketua jurulatih Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Abu Bakar Fadzim tetap memuji semangat juang dipamerkan anak buahnya meskipun tumpas 1-2 ditangan Kedah pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

PKNP FC yang mengejutkan Kedah dengan jaringan pendahuluan hasil rabona cantik daripada Yashir Pinto Islame dikecewakan dengan dua gol Kedah pada babak kedua menerusi Fernando Rodriguez dan David Rowley.

”Komen saya tentang perlawanan pada malam ini [malam tadi], saya memuji aksi semangat juang pemain saya walaupun kita tahu dalam tempoh 48 jam kita terpaksa menjalani proses pemulihan untuk bermain dengan pasukan Kedah.”

”Tetapi kita boleh bersaing bagi menghidupkan peluang untuk beraksi kali kedua di Alor Setar. Bagi PKNP, separuh masa pertama kita mencipta beberapa gerakan. Gerakan-gerakan berbahaya, bukan hanya satu peluang yang boleh menghukum pasukan Kedah tetapi inilah kualitinya.”

Dalam pada itu, Abu Bakar turut mengakui bahawa Kedah adalah merupakan lawan yang sukar untuk dihadapi.

”Pada separuh masa kedua sedikit kelekaan di barisan pertahanan saya kerana tidak ‘close marking’ dua pemain import mereka, itu yang memisahkan jaringan 2-1. Situasi bola mati daripada Kedah membuatkan pasukan PKNP sedikit tertekan.”

”Bagi saya, ini memang telah kita duga kerana Kedah sememangnya pada kelas yang tersendiri, dengan pemain import mereka, hadir dengan reputasi pada malam ini serta sokongan penyokong mereka.”

”Satu ujian juga buat saya setelah menurunkan tiga pemain bawah umur bermain pada saingan suku akhir Piala Malaysia yang tidak pernah mereka rasai. Bagi saya inilah PKNP yang sentiasa membuat kejutan dengan menurunkan pemain yang kadangkala mereka juga tidak percaya dapat diturunkan,” jelas Abu Bakar bercakap kepada wartawan dalam sidang media selepas perlawanan.