Piala FA: Ubi Liverpool Singkir Shrewsbury

Liverpool turun melayan kunjungan Shrewsbury Town dalam aksi ulangan pusingan keempat Piala FA.

Liverpool kali ini menurunkan pasukan B-23, namun rata-rata para pemain adalah B-21.

Ini adalah kali kedua Neil Critchley diberikan kepercayaan oleh Klopp bagi mengendalikan pertandingan piala domestik.

Ini selepas Jurgen Klopp memutuskan untuk memberikan cuti musim sejuk kepada para pemain seperti yang dijanjikan.

Pasukan muda Liverpool ternyata memberikan masalah kepada Shrewsbury. Skuad bimbingan Neil Critchley itu mendominasi sebahagian besar perlawanan.

Liverpool mencipta beberapa peluang gol, namun mereka gagal untuk menyudahkannya. Pada minit ke-27, sepakan percuma Curtis Jones tepat ke arah penjaga gol.

8 minit berselang, Neco Williams hampir meletakkan Liverpool di hadapan. Beliau meleretkan bola yang hanya tersikit tersasar.

Satu lagi peluang untuk Neco Williams. Kali ini rembatan beliau dihadang oleh pertahanan di hadapan gawang. Williams bermain cemerlang pada aksi ini.

Liverpool menamatkan separuh masa pertama dengan penguasaan bola yang sangat tinggi.

Pada separuh masa kedua, Shrewsbury meningkatkan lagi tahap serangan mereka.

Dan mereka hampir di hadapan pada minit ke-58. Namun gol itu dibatalkan selepas diperiksa menerusi VAR. Ia adalah amaran penting buat pemain-pemain muda Liverpool.

Shrewsbury tampil dengan aksi yang lebih baik berbanding separuh masa pertama. Mereka akhirnya berjaya memberikan kerja kepada Kelleher di gawang gol Liverpool.

Liverpool mendapat peluang terbaik untuk berada di hadapan. Ianya bermula dengan gerakan yang kemas daripada pertukaran hantaran. Malang sekali percubaan Williams dapat dihadang oleh penjaga gol dengan kaki.

Curtis Jones juga mendapat peluang keemasan, apabila menerima bola dalam kedudukan 1 lawan 1. Tetapi, Jones gagal untuk melakukan rembatan terus.

Liverpool akhirnya di hadapan jua, apabila RoShaun Williams tertampan bola ke gawang sendiri. Ini adalah OG kedua Shrewsbury dalam dua pertemuan ini.

Pada masa kecederaan, Liverpool mendapat peluang untuk menambah gol. Malang sekali tolakan Harvey Elliots terlalu kuat dan dikeluarkan penjaga gol.

Liverpool menang 1-0. Ia adalah kemenangan bersejarah untuk pasukan paling muda dalam sejarah Liverpool yang bermain di Piala FA.

Liverpool mara ke pusingan kelima dan akan beraksi menentang Chelsea selepas ini.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply