Piala FA: MUSA Tonjol Semangat Kesukanan, Hulur Bantuan Kepada Southern FC

Saingan Piala FA Malaysia 2018, mencipta sejarah tersendiri pada musim ini, apabila turut melibatkan pasukan dari Liga Sosial untuk tampil dalam pertandingan ini.

Ia adalah sebahagian daripada langkah Persatuan Bola Sepak Maaysia (FAM) yang mahu mengubah struktur pertandingan bola sepak negara ke arah yang lebih kompetitif.

David vs Goliath

Sepertimana kisah magis di luar negara, pertandingan Piala FA di Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk menampilkan kejutan. Kisah pasukan kerdil mengejutkan pasukan yang lebih gah berlaku seawal pusingan pertama pertandingan tersebut tahun ini.

Southern FC, sebuah kelab Liga Sosial yang berpangkalan di Klang, Selangor mengejutkan pasukan Liga FAM Selangor United 2-1. Kisah Southern FC ini diibaratkan seperti kisah David vs Goliath.

Kemenangan tersebut melayakkan mereka ke peringkat seterusnya. Menanti mereka selepas undian dilakukan ialah juara 100Plus Liga Premier 2016, dan pasukan Liga Super Malaysia 2018, Melaka United.

Sebentar tadi, FMLLP menyiarkan kisah Melaka United Soccer Association (MUSA) dan Southern FC ini di laman Facebook, badan pentadbir bola sepak negara itu.

Perubahan status tuan rumah

Secara undian, Southern FC telah dipilih sebagai pasukan tuan rumah. Namun disebabkan beberapa masalah, pengurusan kelab ini di bawah pimpinan Gan Chee Lim, memohon agar status tuan rumah diberikan kepada Melaka United.

Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kewangan, pengalaman dan logistik sebagai pasukan tuan rumah. Permohonan oleh Southern FC lantas mendapat maklumbalas daripada Setiausaha Agung Melaka United Soccer Association (MUSA), Encik Noor Azman Bin Haji Rahman.

MUSA melalui Setiausaha Agung mereka, menyatakan kesanggupan untuk pertukaran status tuan rumah untuk pusingan kedua Piala FA di antara kedua-dua pasukan.

Perlawanan tersebut bakal diadakan di gelanggang rasmi Melaka United, di Stadium Hang Jebat.

Tindakan terpuji MUSA

Ada sebab mengapa pasukan seperti Southern FC bertindak sedemikian.Peraturan pertandingan setiap pasukan yang dipilih sebagai tuan rumah, wajib memperuntukkan sejumlah RM10,000 kepada pasukan pelawat bagi tujuan logistik, penginapan, makan dan minum pasukan yang bertandang.

Jumlah tersebut harus dibayar kepada pasukan yang bertandang mulai pusingan kedua dan ketiga pertandingan.

Bagi pasukan lain, jumlah tersebut mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi bagi pasukan Liga Sosial yang baru sahaja ingin bertapak, jumlah tersebut agak besar.

Sehubungan dengan itu, MUSA sanggup mengambil peranan sebagai tuan rumah daripada Southern FC. Selain daripada itu, MUSA turut bersetuju memberi bantuan sebanyak RM 15,000 kepada pasukan Southern FC yang akan bertandang ke sana.

Tiket sebanyak 200 keping ‘complimentary’ turut diberikan dan tempat letak kereta khas bagi pemain dan pegawai Southern FC yang akan ke Stadium Hang Jebat turut disediakan.

MUSA sokong Liga Sosial

Noor Azman yang dihubungi oleh pihak FMLLP mengenai perkara tersebut turut berkata pasukan daripada Liga Sosial harus diberikan sokongan sewajarnya, kerana mereka mempunyai semangat dan keiinginan untuk bertanding di peringkat yang tertinggi.

“Melaka mempunyai banyak kemudahan infra serta kemudahan lain, jadi kita perlu membantu pasukan ini sebaik mungkin. Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi adalah Ahli Lembaga Pengarah FMLLP, sudah semestinya beliau harus membantu pasukan seperti Southern FC ini.” katanya semalam.

“Pandangan peribadi saya sebagai Setiausaha Agung MUSA, penglibatan pasukan Liga Sosial ini amat bagus kerana memberi peluang kepada pemain-pemain berbakat dapat diketengahkan.

“Melaka juga telah mengambil langkah proaktif dengan memberi sokongan kepada Liga Sosial Melaka dengan memberi bantuan dari segi teknikal dan promosi yang mana Liga Sosial ini amat diminati oleh golongan muda terutama pelajar di IPT,” ujar beliau.

Southern FC ucap terima kasih

Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan Southern FC menyambut baik respon dan tindakan pantas MUSA dalam menyelesaikan permasalahan ini.

We have just formalized and completed on the changeover of HOME status for our 2nd Round Malaysia FA Cup 2018 match. Melaka United will now play host for this match scheduled on 4 Mac 2018 in Stadium Hang Jebat at 9pm. We would like to express our utmost gratitude to Melaka United for their kind generosity to accept this change over. We also like to thank Melaka United’s Secretary General, Tuan Noor Azman Haji Rahman, for his professionalism in handling this matter and disregarding completely the gap of status between this 2 soccer clubs. Correspondences have been extremely smooth with a mutual agreement reached in matter of days Thank you @melakaunitedsa and see you soon _____________________________ Kami baru sahaja melengkapkan pertukaran hak TUAN RUMAH bagi Pusingan Ke-2 Piala FA Malaysia 2018. Melaka United bakal menjadi tuan rumah untuk perlawanan kami yang dijadualkan berlangsung pada 4 Mac 2018 di Stadium Hang Jebat jam 9malam. Kami ingin merakamkan terima kasih dan sekalung penghargaan pada Melaka United dalam persetujuan menjadi tuan rumah untuk perlawanan ini. Kami juga berterima kasih pada Setiausaha Agong Melaka United, Tuan Noor Azman Haji Rahman untuk penampilan profesional beliau dalam mengendalikan hal ini tanpa mengira darjat antara 2 kelab bolasepak ini. Maklum balas yang amat lancar membolehkan kedua dua pihak mencapai kata sepakat dalam beberapa hari sahaja. Terima kasih @melakaunitedsa Match up poster Credit : @melakaunitedsa #southernfc #pialafamalaysia2018

A post shared by southernfc (@southernfc2001) on

Segala proses berjalan dengan lancar, dan kesanggupan MUSA untuk melakukan rundingan tanpa mengambil kira status kelab wajar dipuji.

Oleh itu, perlawanan membabitkan Melaka United menentang Southern FC di pusingan kedua Piala FA 2018, sah akan dilangsungkan di Stadium Hang Jebat, pada 4hb Mac hadapan,  jam 9 malam.

Penutup

Dari pihak Semuanya BOLA, tahniah kami ucapkan kepada Melaka United Soccer Association – MUSA atas semangat kesukanan tinggi yang ditunjukkan!

Semoga ianya menjadi contoh kepada pasukan lain untuk bersama menyokong kemajuan bola sepak tanah air.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN