Piala FA: 5 Perkara Dari Kejayaan Man Utd Menewaskan Liverpool

Liverpool tidak pernah menewaskan Manchester United di Old Trafford sejak Jurgen Klopp mengambil alih kelab Merseyside itu pada 2015.

Rekod itu masih kekal buat masa ini, dengan terbaru The Reds ditewaskan 3-2 oleh anak buah Ole Gunnar Solksjaer.

Kekalahan ini juga bermakna Liverpool hanya menang sekali dari tujuh perlawanan terakhir dalam semua pertandingan yang dilalui sejak Disember lalu.

Berikut adalah lima perkara yang boleh kita pelajari dari kejayaan Man United menewaskan Liverpool.

1. Pertahanan rapuh Liverpool

Bahagian pertahanan Liverpool ternyata terkesan dengan ketiadaan tonggak utama seperti Virgil van Dijk dan Joe Gomez. Tanpa kedua-dua pemain dan Joel Matip yang turut tersisih, Klopp menggandingkan pemain muda Rhys Williams dan Fabinho bersama-sama.

Liverpool sememangnya sebuah pasukan yang dikenali dengan corak permainan pressing dengan bahagian pertahanan bermain di garis tinggi.

Namun tanpa Van Dijk dan Gomez, barisan empat pemain pertahanan Liverpool jelas porak peranda – seolah-olah hilang seorang pemimpin.

Hasilnya, dua jaringan oleh Mason Greenwood dan Marcus Rashford hasil serangan balas pantas telah membocori gawang yang dikawal penjaga gol terbaik dunia, Alisson Becker.

2. Tiada falsafah, hanya taktik

Bola sepak yang diperagakan oleh Manchester United di bawah kendalian Ole Gunnar Solksjaer sering kali dipersoalkan. Antara yang sering menjadi pertanyaan ketika keputusan tidak memihak kepada Sang Red Devils ialah, apakah DNA yang diterapkan Solksjaer?

Jika Klopp terkenal dengan falsafah bola sepak Gegenpressing dan Pep Guardiola dengan Juego de Posicion, Solksjaer pula hanya menekankan bentuk pasukan dalam permainan – bertahan atau menyerang pada masa yang sesuai. Perkara ini boleh dilihat dalam dua perlawanan menentang Liverpool.

Beralaskan formasi 4-2-3-1, Solksjaer kini berjaya membentuk sebuah pasukan dengan setiap pemain memainkan peranan masing-masing di setiap posisi untuk memastikan kemenangan.

Dan dalam keadaan jadual perlawanan serba tidak menentu, pendekatan sedemikian nampaknya memberikan pulangan.

3. Bruno Fernandes

Tiada keraguan lagi bahawa Bruno Fernandes adalah antara pembelian terbaik pernah Man United lakukan. Sering kali dikritik kerana gagal menyerlah dalam perlawanan penting dan besar, Fernandes menggunakan perlawanan menentang Liverpool untuk mendiamkan pengkritiknya.

Tampil pada minit ke-66 untuk menggantikan Donny van de Beek, Fernandes menjaringkan gol melalui sepakan percuma cantik pada minit ke-78 perlawanan untuk gol kemenangan Manchester United.

Tiada VAR yang boleh dipertikaikan. Tiada sepakan penalti kali ini untuk dimemekan. Hanya lencongan cantik menewaskan Alisson Becker yang menghumban Liverpool keluar dari pertandingan Piala FA.

4. Prestasi merudum Trent Alexandar-Arold

Sukar untuk melabel Trent Alexander-Arnold sebagai pemain yang overated atau gagal. Namun prestasi bek sayap tersebut pada musim ini wajar dipersoalkan. Tidak terkecuali ialah dalam perlawanan menentang Manchester United ini.

Sepanjang perlawanan, Alexander-Arnold hanya berjaya melakukan lima hantaran jauh dari 10 yang dilakukanyya, dan tiada satu pun merupakan hantaran lintang tepat.

Berdasarkan reputasi sebagai bek sayap terbaik dunia, apa yang berlaku sejak beberapa perlawanan lalu nyata menggusarkan. Ketidakcekapan Alexander-Arnold menyebabkan posisi bek kanan itu menjadi lubuk untuk Marcus Rashford dan Luke Shaw melancarkan larian-larian berbahaya.

5. Rashford pemain berkelas dunia

Mohamed Salah menjaringkan dua gol untuk Liverpool dalam perlawanan tersebut, indikasi bintang antarabangsa Mesir itu kembali menemui sentuhan penyudah selepas hanya menghasilkan satu gol dari enam perlawanan terdahulu.

Namun tumpuan turut terarah kepada Marcus Rashford yang menjadikan dirinya pemain yang lebih lengkap berbanding Salah dalam perlawanan ini.

Hantaran jauh menarik Rashford pada babak kedua berjaya menghasilkan assist buat Mason Greenwood untuk menyamakan kedudukan selepas Man United ketinggalan oleh jaringan Salah. Babak kedua menyaksikan Rashford berjaya meletakkan dirinya di dalam senarai penjaring dengan penyudah klinikal.

Penutup

Ia adalah minggu yang mahu dilupakan Liverpool dan semestinya minggu yang membuatkan ramai penyokong Man Utd seperti sedang berada di dalam kayangan. Maklumlah. Kedua-dua pasukan adalah seteru utama di dalam kancah bola sepak Inggeris.

Namun demikian perjalanan masih lagi jauh. Lawan seterusnya di pusingan kelima buat Man United nanti ialah West Ham. Liverpool pula perlu merenung dan menyusun kembali kekuatan untuk bersaing di dalam pertandingan lain khususnya Premier League dan Champions League.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

  • Liv sekarang memang tak on form. Dgn taa nya, van dijk injured lagi. Naya….. utd pulak bruno tengok on form memang jauh beza

Leave a Reply