Piala FA 2019: Kedah Berpesta Raih Juara, Perak Terpaksa Menunggu Lagi

MSL 2020

Jaringan tunggal Mohd Fadzrul Danel  Mohd Nizam pada masa tambahan telah menghadiahkan mahkota Shopee Piala FA 2019 buat Kedah selepas berjaya menundukkan Perak 1-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Separuh masa pertama

Beraksi di padang yang sedikit basah akibat hujan sebelum perlawanan jelas tidak merencatkan aksi bertenaga kedua-dua pasukan.

Kedah yang turun selaku juara empat kali terlebih dahulu mengancam kubu Perak seawal minit kelima permainan apabila Jonathan Baumann melakukan tandukan hasil sepakan percuma cantik dari Baddrol Bakhtiar.

Tandukan penyerang kelahiran Argentina itu bagaimanapun sedikit tersasar ke sebelah kiri pintu gol Perak yang dikawal Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Perak kemudiannya tampil dengan lebih garang dan dilihat berjaya mengekploitasi peluang ketiadaan Renan Alves di jentera pertahanan Kedah.

Dua peluang terbaik dimiliki skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu dalam tempoh dua minit menerusi Nazirul Naim Che Hashim dan Raianderson Da Costa Morais (Careca).

Sepakan percuma rendah Nazirul berjaya melepasi benteng yang dibina tetapi Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim lebih bersedia menghalang percubaan tersebut pada minit ke-9.

Seminit kemudian, Careca pula mensia-siakan peluang terhidang selepas sekadar merembat meliar walaupun sudah melepasi kawalan pertahanan lawan.

Ifwat turut menggagalkan usaha Perak selepas menangkap kemas tandukan Careca pada minit ke-13.

Selepas itu, dominasi perlawanan beralih kepada pasukan Kedah yang mencipta beberapa gerakan berbahaya terutamanya berpunca di bahagian sayap.

Namun, ia masih belum mampu untuk menghadirkan jaringan untuk aksi 45 minit pertama berkesudahan tanpa jaringan.

Separuh masa kedua

Perak tidak menunggu lama untuk menjelmakan serangan berbahaya tetapi hantaran lintang menarik Mohd Nor Hakim Hassan dihadapan gol Kedah gagal ditolak masuk Ronaldo Henrique Silva hanya selepas tiga minit perlawanan bersambung.

Penyokong Perak terus hampa seminit kemudian apabila sepakan percuma Nazirul Naim Che Hashim di sebelah kiri pintu gol Kedah sekadar terkena palang gol.

Aksi kemudiannya semakin menarik dengan corak serangan pantas ditampilkan kedua-dua pasukan dan Muhammad Farhan Roslan terlepas peluang terbaiknya.

Pemain sayap lincah itu berjaya mengorak langkah ke kawasan penalti tetapi Hafizul Hakim lebih pantas bagi mengawal gawangnya dari diancam bahaya.

Ronaldo turut menerima nasib yang sama apabila percubaannya hasil serangan balas pantas dimulakan Brendan Gan berjaya dihalang pertahanan Kedah.

Kedah menekan hebat Perak ketika permainan memasuki masa kecederaan dengan dua serangan berbahaya tetapi Hafizul Hakim tetap cemerlang mengawal gawangnya.

Namun, malang menimpa Perak apabila bAmirul Azhan Aznan diperintah keluar padang oleh Takuto Okabe selepas menerima kad kuning kedua akibat kekasaran dilakukan terhadap Azammuddin Mohd Akil.

Ketandusan jaringan itu berterusan hingga wisel penamat ditiupkan memaksa perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan.

Masa tambahan

Berdepan lawan yang kekurangan seorang pemain memberikan peluang buat Kedah untuk mengawal permainan sekaligus mengatur gerakan.

Pertahanan Perak bagaimanapun kental mengekang asakan terutamanya terjahan pantas dilakukan Idris Ahmad ketika Baumann memiliki peluang terbaik untuk melepaskan rembatan.

Begitu juga dengan usaha keras Hussein El Dor menyelamatkan sepakan Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli.

Bagaimanapun, kecemerlangan barisan pertahanan Perak itu hanya bertahan hingga minit ke-105 apabila pemain gantian, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam mengegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Berpunca daripada hantaran lintang dilakukan Mohd Rizal Ghazali, pemain berusia 21 tahun itu dengan tenang menolak masuk bola yang gagal dihalang Hafizul Hakim untuk gol pendahuluan.

Sementara itu, Ifwat Akmal pula masih kental bertahan menepis keluar dua percubaan diledakkan dari jarak jauh J. Partiban dan sepakan percuma Ronaldo.

Bagaikan mendapat tonik berguna, Perak memberikan asakan buat Kedah sebaik sahaja masa tambahan babak kedua bermula.

Usaha demi usaha yang dilancarkan Perak masih tidak membuahkan hasil untuk menghadiahkan trofi Piala FA buat kali kelima untuk Kedah.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN