Pasukan Amatur Piala FA 2018: “Kalau Kami Kalah Pun, Biarlah Kami Kalah Melawan”

Di tepi padang Stadium Panasonic Shah Alam, kelihatan seorang lelaki Cina berumur 30-an sedang berdiri memegang clipboard. Beliau memperkatakan sesuatu kepada sekumpulan pemain yang duduk di atas trek; mengelilingi beliau sambil memakai jersi seragam berwarna biru dan seluar hitam, stokin dan but mereka.

Tidak lama kemudian, lelaki Cina tersebut mengutip satu-satu kad pengenalan dari pemain-pemain yang mengelilinginya. Selesai mengutip semua kad pengenalan, beliau berjalan menuju ke khemah urusetia Selangor Champions League 2017.

Satu demi satu kad pengenalan yang dikutipnya diserahkan lelaki Cina tersebut kepada urusetia untuk diperiksa. Kira-kira 5 minit kemudian, urusannya di khemah urusetia selesai. Beliau berjalan semula ke pemain-pemain tadi dan memulangkan semula kad pengenalan mereka. Kemudian beliau duduk di tepi padang, membuka travel bag Nike miliknya dan mula menyarung stokin dan but.

Selesai memakai stokin dan but, lelaki Cina tersebut berjalan masuk ke padang dan mula melakukan sesi memanas badan secara berseorangan. Sekumpulan pemain masih duduk bersembang di tepi padang. 2 pemain lagi sedang saling bertukar-tukar membuat hantaran jauh. 3 pemain lagi bergilir-gilir membuat rembatan ke arah pintu gol yang dikawal seorang penjaga gol.

Nama lelaki Cina tersebut adalah Gan Chee Lim. Beliau merupakan pengurus Southern FC – sebuah pasukan amatur yang berpangkalan di Klang, Selangor.

Pengurus Southern FC, Gan Chee Lim (kanan) bergambar dengan CEO FMLLP, Kevin Ramalingam (Kredit: Chee Lim Gan)

Sementara itu di satu lagi bahagian trek tepi padang, kelihatan sebuah pasukan yang memakai jersi seragam berwarna kelabu yang sedang memanaskan badan bersama-sama. Berbanding dengan pasukan lelaki Cina tadi, pasukan ini nampak lebih tersusun. Seperti pasukan profesional.

Mereka adalah Axis O2 FC – sebuah pasukan amatur yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor.

Pemain-pemain Axis O2 meraikan jaringan ketika perlawanan menentang Southern FC (Kredit: asiana.my)

Dua gaya persiapan yang sangat kontra ini adalah sebahagian daripada pemandangan biasa dalam arena bola sepak amatur di Selangor. Ada sesetengah pasukan tiada masalah menerapkan elemen profesionalisme di sebalik label amatur mereka. Ada sesetengah pasukan mahu mengekalkan identiti ‘amatur’ mereka.

Pasukan kendalian Gan Chee Lim, Southern FC contohnya, begitu menyayangi label ‘amatur’ mereka sehinggakan mereka mempunyai kepercayaan: the less we train, the better the result.

Gan percaya jika Southern memanaskan badan sama-sama seperti pasukan profesional, mereka akan kalah. Jadi beliau menyuruh pemain-pemainnya untuk memanaskan badan secara bersendiri dan ringan-ringan sahaja. Latihan mingguan mereka hanyalah satu perlawanan persahabatan pada hujung minggu – jika anda memanggil perlawanan persahabatan sebagai ‘latihan’.

Axis O2 FC yang diurus oleh Mohd Shaifulnizam pula mempunyai pendirian yang berbeza. “Kami mungkin pemain amatur, tapi tak bermakna semua kerja yang kami buat kena bertaraf amatur,” kata beliau.

Pengurus Axis O2 FC, Mohd Shaifulnizam memberikan semangat kepada pemain-pemainnya ketika aksi menentang Southern FC pimpinan Gan Chee Lim (berbaju hijau). (Kredit: asiana.my)

Bermula sebagai sebuah pasukan yang dianggotai oleh alumni Sekolah Menengah Kebangsaan St. John yang menamatkan alam persekolahan pada tahun 2002 (inilah asal-usul ‘O2’ pada nama pasukan), Axis O2 kini telah berevolusi menjadi salah satu pasukan amatur yang paling tersusun dan ‘nampak profesional’ di Selangor.

Pada malam tersebut, keputusan perlawanan berkesudahan kemenangan 3-1 kepada Axis O2. Prestij perlawanan tersebut bukan calang-calang. Ia adalah perlawanan suku akhir Selangor Champions League 2017.

Kekalahan ini menamatkan perjalanan Southern FC dalam Selangor Champions League. Harapan untuk layak ke Piala FA sebagai juara Selangor Champions League musnah.

Tetapi ia kembali dihidupkan semula oleh saranan penaung Football Malaysia LLP, Tunku Ismail Idris yang mahukan lebih banyak pasukan komuniti menyertai Piala FA 2018. Memandangkan Liga Munro Setia Alam merupakan ahli liga divisyen ke-5 (M5) Malaysia, Southern layak ke Piala FA atas reputasi mereka sebagai juara liga dan rekomendasi penganjur liga tersebut.

Menunggu mereka di pusingan pertama Piala FA nanti adalah Selangor United FC yang beraksi dalam Piala FAM. Di atas kertas, kelab naungan Persatuan Bolasepak Melayu Selangor ini jelas pasukan pilihan dan Gan sedar hakikat ini.

JADUAL PERLAWANAN PUSINGAN PERTAMA PIALA FA MALAYSIA 2018

#PialaFA
#FootballMalaysia
#TransformingMalaysianFootball

Posted by Football Malaysia LLP on Sunday, February 11, 2018

Belum pun turun padang, Gan sudah kehilangan 2 pemain utamanya kerana sekatan menggunakan pemain import yang dikenakan FMLLP kepada pasukan amatur. Bek kanan utama beliau, Gan Jay Han baru sahaja menandatangani kontrak dengan pasukan Liga FAM, MOF FC. Pemain sayap, Carlos Goonting pula masih merawat kecederaan yang diperolehinya ketika kempen Selangor Champions League.

Axis O2 pula layak menyertai Piala FA 2018 selepas bergelar juara Selangor Champion League 2017 – kejohanan mirip UEFA Champions League yang menghimpunkan 18 pasukan amatur terbaik dari liga-liga sosial/komuniti Selangor.

Dalam perlawanan akhir tersebut, pasukan Petaling Jaya ini menewaskan pasukan Shah Alam, PIB FC 4-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar dan masa tambahan.

Kekalahan ini memadamkan (buat seketika) impian PIB FC – sebuah lagi pasukan amatur yang menerapkan sistem pengurusan umpama pasukan profesional – untuk beraksi dalam Piala FA. Tetapi atas rekomendasi daripada Klang Valley League; satu lagi ahli liga divisyen ke-5 (M5) Malaysia, mereka berjaya juga mendapat slot pusingan pertama.

Ditubuhkan dengan matlamat untuk memberi peluang bermain dan pendedahan kepada bekas-bekas graduan akademi PKNS FC dan Selangor FA. PIB FC diurus sendiri oleh ibu bapa pemain-pemain kelab ini – sekaligus menjelaskan nama asal kelab iaitu ‘Persatuan Ibu Bapa FC’ sebelum ditukar kepada ‘Persada Integriti Bersatu FC’.

Barisan pasukan PIB FC ketika aksi playoff Selangor Champions League 2017.

Bakal menentang Shahzan Muda FC, pengurus PIB, Muhd Ikhram sedar tugas berat yang bakal dihadapi anak buahnya. “Kita tahu apa yang Shahzan Muda boleh buat kalau kita tak bersedia. Itu sebabnya kami naikkan jumlah latihan daripada 3 kali seminggu kepada 5 kali seminggu. Harapnya kami boleh tandingi intensiti mereka,” katanya.

Pemain-pemain PIB FC mengadakan latihan sebaik sahaja tiba di Temerloh sempena perlawanan pusingan pertama Piala FA 2018 (Kredit: Muhd Ikhram)

Seberat-berat tugas PIB dan Southern yang dipertemukan dengan pasukan Piala FAM, ia masih tidak mampu menandingi tugas berat Axis O2 yang perlu membuat persiapan sebagai tuan rumah.

“Banyak kerja yang kami perlu siapkan sebagai tuan rumah sampai saya terpaksa mengambil cuti bekerja 2 hari. Ingat, saya buat kerja untuk kelab ini tak bergaji,” kata Shaifulnizam sambil tergelak besar.

Pengurus Axis O2 FC, Mohd Shaifulnizam (kanan) memerhatikan latihan pasukan bersama ketua jurulatih, Shazwan Wong di UM Park

Kata-kata Shaifulnizam ada benarnya. Bagi pasukan amatur, kos untuk menjadi tuan rumah yang mematuhi standard pertandingan FMLLP boleh memakan sekitar RM30,000 – 2 kali ganda kos operasi mereka setahun.

Sebagai tuan rumah, pasukan Shaifulnizam perlu menyewa stadium, memberi elaun kepada match comissioner dan ball boys, mencari penginapan untuk pasukan pelawat dan mewujudkan security details. Lebih mudah sebenarnya menjadi pasukan pelawat – anda hanya perlu keluarkan kos sewa bas dan itu sahaja.

Mujurlah Axis O2 mendapat sokongan dan bantuan daripada Selangor Youth Community (SAY) – badan NGO pimpinan Raja Muda Selangor yang menganjurkan Selangor Champions League. “Tanpa SAY, matilah saya,” kata Shaifulnizam. “Bantuan daripada SAY membolehkan saya dapat fokus kepada hal di atas padang. Kami mahu menang dan peluang bermain menentang Kuantan FA pula di pusingan kedua pula.”

Cabaran 3 pasukan amatur dari Selangor ini untuk beraksi dalam Piala FA sememangnya tinggi. Bagaimanapun ia tidak meruntuhkan semangat mereka.

“Walaupun kita ini amatur sahaja, kita nak menang juga. Kalau kita kalah pun, biarlah kita kalah melawan,” kata Ikhram, pengurus PIB. Gan turut senada dengan Ikhram, “Peluang [bermain dalam Piala FA] ini mungkin datang seumur hidup sekali bagi amatur macam kami. Jadi kami akan pastikan kami beri segala-galanya.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN