Piala FA 2018: Melaka United Tidak Memandang Mudah Cabaran Southern FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Pengurus Melaka United (MU), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memberi amaran kepada pemainnya agar tidak memandang mudah pada cabaran pasukan amatur, Southern FC pada perlawanan Piala FA pusingan kedua di Stadium Hang Jebat malam ini.

Yusoff berkata kepada Berita Harian, walaupun pasukan lawan berasal dari Liga Sosial dan bukan terdiri daripada pemain professional, ia bukan bermakna MU akan memandang rendah kerana sedar pasukan lawan mampu melakukan kejutan jika pemainnya bermain sambil lewa.

Justeru itu, Yusoff mahu skuad bimbingan jurulatih Eduardo Almeida itu sentiasa fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

“Berikutan itu pemain perlu mengintai jaringan sepanjang tempoh perlawanan sambil menghalang lawan menjaringkan gol, sekali gus memastikan perlawanan tidak terheret ke masa tambahan.

“Jika aksi ke masa tambahan, pastinya Southern FC memperoleh suntikan motivasi untuk mencipta kejutan.

“Justeru, pemain perlu bijak menyelesaikan tugasan penting sepanjang 90 minit permainan.

“Mereka juga diingat supaya tidak bersikap sambil lewa, terlalu yakin dan perlu bertindak agresif sebaik permainan bermula,” katanya.

Kesebelasan utama skuad Melaka United. FOTO: Melaka United

Melaka United meletakkan sasaran amat tinggi pada saingan Piala FA  musim ini dengan mengintai peluang mara ke final dan menjulang piala berkenaan.

Namun, katanya, perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan dengan misi perjuangan baru bermula menerusi perlawanan berkenaan.

Sementara itu, pengendali skuad itu, Eduardo Almeida mahu pemain mengikut perancangan taktikalnya untuk memastikan kemenangan berpihak pada pasukannya.

“Pemain perlu mengikut apa yang direncana dalam memastikan barisan tengah lawan berjaya dihalang, sementara penggempur pasukan mampu menjaringkan gol dan barisan benteng kebal bertahan,” katanya.