Piala Carabao 2019/20: Sunderland Humban Burnley Keluar, Aksi Panenka Maddison Jadi Tumpuan

Iklan

Awal pagi tadi, tujuh perlawanan pusingan kedua Piala Carabao berlangsung. Tiga pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) cemerlang melepasi halangan berhadapan lawan masing-masing.

Everton dan Bournemouth berjaya menewaskan lawan dari divisyen lebih rendah.

Namun Leicester City perlu bekerja keras untuk mengetepikan cabaran Newcastle United yang menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa sebenar perlawanan.

Di St. James Park, James Maddison terlebih dahulu meletakkan Everton di depan pada separuh masa pertama. Penyerang Newcastle dari Jepun, Yoshiniri Muto menyamakan kedudukan 8 minit selepas separuh masa kedua disambung.

Dalam penentuan sepakan penalti, Maddison sekali lagi mencuri tumpuan dengan sepakan gaya panenka dan nasib berpihak kepada pasukannya apabila menang dengan keputusan 4-2.

Bekas bintang muda Arsenal, Alex Iwobi membuka akaun jaringan bersama Everton setelah berjaya menyumbat gol ketiga pasukan barunya ketika menumpaskan Lincoln City dengan keputusan 4-2.

Tiga lagi gol The Toffees disumbangkan oleh Lucas Digne, Gylfi Sigurdsson dan Richarlison.

AFC Bournemouth pula nyaris dimalukan oleh pasukan divisyen ke-4, Forest Green Rovers (FGR) yang kini beraksi dalam Liga Dua EFL.

Sekalipun The Cherries berjaya menguasai perlawanan, namun FGR tidak memberi laluan dengan mempertahankan gawang mereka dari dibolosi sehingga tamat 90 minit perlawanan. Akhirnya pengalaman dimiliki pasukan EPL itu menghadirkan kemenangan dalam penentuan sepakan penalti dengan keputusan 3-0.

Burnley dihumban keluar oleh Sunderland

Satu lagi kelab EPL, Burnley melalui jalan cerita yang berbeza. Tewas 1-3 di tempat sendiri berhadapan dengan Sunderland – pasukan yang bermain dalam liga divisyen ke-3 – boleh dianggap sesuatu yang memalukan.

Pemain baru The Clarets, Jay Rodriguez menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol seawal minit ke-11.

Kemudiannya Sunderland bangkit menyamakan kedudukan 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama menerusi Will Grigg. Kemudian mereka menambah dua lagi gol pada awal separuh masa kedua hasil jaringan Tom Flanagan dan George Dubson sekaligus menamatkan perjalanan Burnley dalam pertandingan ini.

Sean Dyche ternyata kecewa dengan anak-anak buahnya yang tidak menunjukkan karakter yang sepatutnya dalam perlawanan ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram