Piala AFF Suzuki 2021 Sah Akan Diadakan Di Singapura

Piala AFF Suzuki pada tahun ini sah akan diadakan di Singapura. Perkara itu belum diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF), namun berdasarkan ciapan terini dari Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) keputusan itu dipercayai sudah pun menjadi rasmi.

Pertandingan asal kejohanan dwi tahunan tersebut sepatutnya diadakan pada 2020, namun terpaksa ditunda akibat pandemik yang melanda rantau ini.

Pemilihan Singapura sebagai venue kejohanan bermakna pertandingan kali ini turut diadakan secara berpusat untuk mengurangkan perjalanan pasukan-pasukan bertanding.

Sebelum ini lima negara dikatakan membida untuk menjadi tuan rumah, namun hanya Singapura dan Thailand dilihat sebagai dua venue yang memenuhi enam kriteria ditetapkan sebagai tuan rumah.

Akhirnya Jawatankuasa AFF mengambil keputusan untuk memilih Singapura untuk kejohanan edisi ke-13 ini.

Tiga buah venue dikatakan menjadi pilihan adalah Stadium Nasional Singapura yang memiliki kapasiti 55,000 tempat duduk, Stadium Jalan Besar dengan kapasiti 6,000 dan Stadium Bishan yang mempunyai 6,254 tempat duduk.

Pasukan negara bakal berhadapan tugas berat di dalam kejohanan tersebut apabila turut diundi bersama-sama seteru utama, Vietnam dan Indonesia di dalam Kumpulan B.

Dua lagi pasukan yang turut berada di dalam kumpulan yang sama adalah Kemboja dan Laos.

Pasukan tuan rumah Singapura pula berada di dalam Kumpulan A bersama-sama Thailand, Filipina, Myanmar dan sebuah lagi pasukan yang akan mara dari pusingan kelayakan nanti. Brunei pimpinan bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagopal akan bersaing dengan Timor Leste untuk melengkapkan senarai 10 pasukan bertanding di kejohanan ini.

Untuk rekod, Singapura mempunyai pengalaman berberapa kali menganjurkan kejohanan Piala AFF Suzuki. Kali pertama ialah pada edisi pertama kejohanan ketika pertandingan tersebut masih digelar Piala Tiger pada 1996.

Singapura kemudiannya menganjurkan kejohanan tersebut secara bersama pada 2002 (bersama Indonesia), 2007 (bersama Thailand), dan kali terakhir pada 2014 (bersama Vietnam).

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply