Piala AFF 2018: Vietnam Bimbang Kelibat Norshahrul Dan Sumareh

Harimau Malaya

Aksi kumpulan A kejohanan Piala Suzuki AFF di antara Vietnam menentang Malaysia pada hari jumaat ini dianggap sebagai perlawanan akhir kerana ia adalah pertemuan ‘buku dengan ruas’ yang pasti menjanjikan saingan sengit.

Setelah mengutip 6 mata dalam 2 perlawanan awal menentang Kemboja dan Laos, skuad Harimau Malaya hanya memerlukan 3 mata lagi untuk mengesahkan tempat di peringkat separuh akhir lebih awal.

Norshahrul dan Sumareh jadi tumpuan

Malah, kelibat Norshahrul Idlan Talaha yang menjaringkan 3 gol dalam 2 perlawanan setakat ini memberi amaran awal kepada Vietnam ditambah pula dengan kehadiran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh yang belum pernah diuji oleh mereka.

Mengulas mengenai situasi itu, penyerang berpengalaman Vietnam, Nguyen Anh Duc menyeru rakan sepasukannya berwaspada terhadap ancaman rangkaian serangan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu.

“Malaysia mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan teknikal. Vietnam perlu berhati-hati kerana Malaysia mampu menghukum kesilapan pemain kami jika leka sedikit pun,”katanya kepada Vietnam News.

Harimau Malaya

Vietnam anggap Malaysia lawan yang sukar

Seorang lagi pemain Vietnam, Van Toan mengakui Malaysia bukan lawan yang mudah untuk ditewaskan kerana barisan serangan pasukan ini sangat berbahaya jika dibiarkan bebas bergerak.

“Saya telah menonton dua perlawanan yang melibatkan pasukan Malaysia ketika menentang Kemboja dan Laos. Mereka selalunya tidak akan menunjukkan kekuatan sebenar jika menentang pasukan yang lemah.

“Apabila menentang pasukan yang lebih kuat, mereka akan bermain dengan corak permainan yang berbeza.

“Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya tertarik dengan penyerang mereka (Norshahrul). Kapten mereka (Zaquan Adha) juga sangat berbahaya,” katanya seperti dipetik dalam laman web VFF. 

Rekod perlawanan terakhir di Stadium My Dinh berpihak kepada skuad negara melalui keputusan 4-2 pada tahun 2014. Ketika itu, Malaysia dikendalikan oleh Dollah Salleh dalam saingan Piala AFF.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram