Piala AFF 2018: Sundramoorthy Harap Tuah Bukit Jalil Menyebelahinya Sekali Lagi Malam Ini

Ketua jurulatih Laos – V. Sundramoorthy menyatakan beliau berharap tuah pada 2015 akan kembali memihak kepada pasukannya di Bukit Jalil.

V.Sundramoorthy – pada 2015 – membantu pasukan Lions XII memenangi Piala FA menewaskan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

V. Sundramoorthy dilantik menjadi pengendali Laos pada bulan yang lalu dan beliau sudah terlalu kenal dengan bola sepak Malaysia – sama ada ketika bermain dan juga sebagai jurulatih.

Piala AFF 2018 merupakan tugasan pertama beliau bersama Laos. Bercakap dalam sidang media sebelum perlawanan, beliau mahu membantu Laos mendapat kemenangan pertama dalam kempen Piala AFF 2018 menentang Malaysia pada malam ini.

Ini selepas Laos tewas 0-3 di tangan Vietnam dalam aksi pembukaan.

Dipetik daripada Utusan Online, beliau berkata: “Saya masih ingat memori itu sampai sekarang. Sudah tentu saya harap tuah stadium ini (Stadium Nasional, Bukit Jalil) dapat membantu kami (Laos) meraih kemenangan.”

“Namun semuanya terletak di tangan pemain apabila beraksi nanti,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan, di sini hari ini.”

V. Sundramoorthy juga menganggap Malaysia dan Vietnam sebagai pasukan pilihan di dalam kumpulan A dan berharap anak-anak buahnya dapat melakukan kejutan di dalam perlawanan ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram