Piala AFF 2018: Sumareh Beri Amaran Awal Kepada Myanmar

Pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh kemungkinan akan diturunkan esok selepas disahkan semakin pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.

Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan kepada Berita Harian, sambil membayangkan aksi sebenar Sumareh bakal disaksikan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari Sabtu ini.

“Saya nampak Sumareh semakin pulih dari segi tahap kecergasan dan kecederaan. Jadi, kita boleh lihat Sumareh yang sebenar apabila berdepan Myanmar nanti,” jelas Cheng Hoe.

Selain itu, Cheng Hoe turut menjelaskan kesebelasan utama menentang Myanmar pada hari Sabtu ini mungkin berubah lagi berdasarkan prestasi semasa pemain dalam sesi latihan.

“Kita juga akan menilai prestasi semua pemain untuk diletakkan dalam kesebelasan utama termasuk penjaga gol. Saya rasa kita mempunyai tiga penjaga gol terbaik di Malaysia.

“Semua pemain ada peluang, bukan saja untuk posisi penjaga gol dan tempoh dua hari lagi saya akan menentukan pemain yang akan menggalas perancangan dan strategi pasukan.” katanya.

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan untuk meningkatkan tahap kecergasan di Padang USIM semalam. FOTO: FAM

Sumareh kaji corak permainan Myanmar melalui tontonan video

Sementara itu, Sumareh menjelaskan dia hanya mengharapkan bantuan tayangan video untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan Myanmar kerana belum pernah menentang pasukan itu sebelum ini.

“Saya tidak pernah beraksi berdepan Myanmar dan saya tidak tahu apa-apa mengenai mereka. Saya yakin jurulatih akan buat tayangan video sebagai kajian untuk kami sebelum perlawanan.

“Ia (tayangan video aksi Myanmar) akan memberi kami idea mengenai apa yang perlu dilakukan dalam mengeksploitasi segala kelemahan dan kekuatan yang dimiliki Myanmar,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram