Piala AFC 2021: Terengganu Ada Peluang, Laluan Kedah Sedikit Berliku

Piala AFC 2021 Kedah Terengganu

Baru-baru ini berlangsung undian peringkat kumpulan saingan Piala AFC 2021 yang melibatkan dua wakil negara, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC.

Kedah diundi dalam Kumpulan H bersama wakil Singapura, Lion City Sailors, Saigon FC (Vietnam) dan pemenang pusingan play-off antara wakil Kemboja, Timor Leste dan Indonesia. Visakha FC (Kemboja) akan bertemu Lanelok United (Timor Leste) terlebih dahulu sebelum pemenang akan bertemu wakil Indonesia, Persipura Jayapura.

Buat Terengganu pula, mereka akan berdepan cabaran daripada wakil Filipina, Kaya FC – Iloilo, Geylang International (Singapura) dan Shan United/Ayeyawady United (Myanmar) dalam aksi Kumpulan I.  Ayeyawady United akan menggantikan Shan United jika kelab tersebut berjaya mara ke peringkat kumpulan Champions League.

Ada pihak mengatakan ianya laluan mudah buat kedua-duanya, namun, benarkah ianya mudah? Ayuh kita lihat serba sedikit pencabar dalam kedua-dua kumpulan.

KUMPULAN H (Kedah Darul Aman FC)

Lion City Sailors (Singapura)

Bukan tugas mudah sebenarnya. Lion City Sailors (dikenali sebagai Home United sebelum ini) adalah kelab yang pernah dibimbing oleh pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak sebelum beliau menyertai kem Hijau Kuning pada 2019. Menurut Aidil Sharin ketika mengulas keputusan undian, beliau mengangkat kelab ini sebagai pilihan.

Menurut Aidil Sharin, mereka dibarisi 80 peratus pemain skuad kebangsaan Singapura, masih kekal dengan 80 peratus pemain yang pernah membawa mereka dua kali ke pentas akhir Piala AFC Zon Asean, malah baharu sahaja menandatangani pemain import yang pernah beraksi di liga utama Portugal, Diego Lopes, bernilai RM9.12 juta.

Penampilan di Piala AFC: Kali ke-11 (2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2012, 2014, 2017, 2018, 2019)

Saigon FC (Vietnam)

Mereka baru sahaja membawa masuk dua pemain yang sangat sinonim dengan bola sepak Vietnam daripada Nam Dinh FC untuk mengukuhkan pasukan menjelang saingan Piala AFC. Paling mengujakan adalah pemenang empat kali Kasut Emas di V-League, Do Merlo, pemain kelahiran Argentina yang memiliki kerakyatan Vietnam.

Saigon FC dikhabarkan membuat rombakan besar-besaran dengan melepaskan 18 pemain musim lalu yang membantu mereka menamatkan liga di kedudukan ketiga dan meraih slot ke Piala AFC. Untuk aksi liga musim 2021 sejak 16 Januari lalu, mereka telah melalui dua perlawanan dengan merekodkan satu kemenangan dan satu kalah.

Penampilan di Piala AFC: Penampilan sulung

Visakha FC / Lanelok United / Persipura Jayapura

Di atas kertas, wakil Indonesia, Persipura miliki peluang besar untuk layak ke peringkat kumpulan, namun dengan saingan Liga 1 Indonesia yang masih tiada ketetapan bakal kembali atau tidak, adakah mereka akan membuat penampilan di Piala AFC? Mereka juga dikhabarkan melalui masalah kewangan, jika mahu tampil di Piala AFC.

Jika tidak, Visakha FC merupakan calon kegemaran untuk melepasi pusingan play-off. Visakha FC merupakan juara Hun Sen Cup 2020. Kedah pernah bertemu mereka dalam aksi persahabatan awal tahun lalu dan telah meraih kemenangan 1-0.

Penampilan di Piala AFC: Visakha FC (Penampilan sulung), Lanelok United (Kali kedua – 2020), Persipura (Kali ke-4 – 2011, 2014, 2015)

KUMPULAN I (Terengganu FC)

Kaya FC – Iloilo (Filipina)

Sukar menjangkakan kekuatan sebenar Kaya FC kerana liga mereka berlangsung pendek musim lalu dengan berkonsepkan karnival. Mereka hanya bermain lima perlawanan kerana Philipines Football League 2020 hanya disertai enam pasukan. Untuk rekod, mereka tidak kalah dan menamatkan saingan di kedudukan kedua.

Walaubagaimanapun, mereka lebih arif dengan pertandingan Piala AFC berbanding Terengganu kerana sudah menyertainya selama tiga musim dalam lima musim terkini. Malah, mereka pernah melepasi saingan peringkat kumpulan pada edisi 2016.

Penampilan di Piala AFC: Kali kempat (2016, 2019, 2020)

Geylang International (Singapura)

Geylang International juga merupakan antara pasukan yang berpengalaman dalam saingan Piala AFC tetapi sudah agak lama mereka tidak tampil di kejohanan serantau. Namun disebabkan pandemik COVID-19 dan Singapore Cup dibatalkan, mereka meraih tiket apabila menutup tirai S-League 2020 di kedudukan ke-4 liga.

Untuk itu, mereka telah menambah baik beberapa posisi antaranya pemain yang telah memimpin Home United sebagai kapten untuk menjuarai pentas akhir Piala AFC Zon Asean 2018, Izzdin Shafiq. Mereka juga meminjam beberapa pemain Lion City Sailors.

Penampilan di Piala AFC: Kali ketiga (2004, 2010)

Shan United/Ayeyawady United (Myanmar)

Semua sedia maklum, jika Shan United mara ke peringkat kumpulan Champions League daripada pusingan play-off, Ayeyawady United akan menggantikan mereka di Piala AFC. Kedua-duanya memiliki pengalaman luas dalam pentas Piala AFC.

Penjaring gol yang membawa Myanmar ke saingan Piala Dunia B-20 buat kali pertama pada edisi 2015, Than Paing merupakan antara pemain baharu Shan United untuk membawa cabaran mereka musim depan. Untuk Ayeyawady United, tiada yang istimewa selain mereka pernah dibelasah 1-8 oleh JDT di edisi 2016.

Penampilan di Piala AFC: Shan United (Kali ke-4 – 2018, 2019, 2020), Ayeyawady United (Kali ke-5 – 2012, 2013, 2015, 2016)

Penutup

Melihat kepada kelab-kelab tersebut, nampaknya Kedah akan melalui laluan sedikit berliku berbanding Terengganu. Namun, harus diingat, Sang Penyu juga merupakan skuad yang hampir baru dengan rombakan besar-besaran dan segalanya akan bermula daripada langkah pertama untuk membentuk kembali skuad yang mantap.

Kedah mengekalkan hampir 80 peratus pemain musim lalu dan mungkin itu tonggak kekuatan mereka kali ini – persefahaman. Sedikit kegusaran hanya di benteng yang mungkin tampak seperti kekurangan ‘watak’, namun mereka masih pasukan berkualiti.

KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC

Baca lagi artikel lain mengenai Kedah, Terengganu dan Piala AFC:

RASMI: Pemain ‘Box-To-Box’, Anumanthan Mohan Kukuhkan Jentera Tengah Kedah

Berbaloikah Terengganu FC Rombak Import Sebagai Persediaan Piala AFC?

Home United Mara Ke ASEAN Zonal Final Piala AFC, Tunggu Pemenang JDT vs Ceres Negros

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

Leave a Reply