Dari Orang Besi Pahang Hingga Benteng Kental Lang Merah, Siapa Pemain Terbaik Bulan Februari?

Hari ini Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) telah memaparkan lima calon Pemain Terbaik unifi Liga Super Malaysia bagi bulan Februari 2019.

Empat perlawanan telah diharungi oleh hampir semua pasukan kecuali Perak TBG dan Kuala Lumpur yang beraksi tiga perlawanan setelah pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan ditunda ke tarikh lain.

Berikut adalah profil setiap calon yang telah dicalonkan oleh PFA Malaysia untuk Februari ini:

1. Shakir Hamzah (Kedah FA)

Pemain pertahanan berusia 26 tahun dari Singapura ini beraksi di musim pertama beliau di Liga Malaysia bersama Kedah. Tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan pertandingan di negara ini kerana pengalaman ketika bersama Lions Xi, Shakir membentuk gandingan yang mantap bersama Renan Alves dalam skuad kendalian Aidil Sharin.

Kental di bahagian pertahanan, Kedah hanya dibolosi sekali sepanjang empar perlawanan. Menarik sekali Shakir turut tajam di hadapan gol lawan, dan telah menyumbangkan dua gol setakat ini.

2. Hadin Azman (Felda United FC)

Kapten Hadin! Begitulah gelaran sebaiknya buat pemain tengah yang kelibatnya bagaikan adiwira buat pasukannya. Beliau seakan-akan tidak mampu dihentikan daripada menjaringkan gol setakat ini. Aksi beliau dalam 4 perlawanan pertama musim ini – membuatkan Hadin menambahkan persona dalam personaliti beliau yang nampak lebih matang – dan selayaknya menjadi kapten.

3 gol daripada 4 perlawanan, ternyata beliau adalah pemain tempatan terbaik Malaysia setakat ini.

3. R. Barathkumar (PJ City FC)

Sekiranya anda belum pernah menyaksikan perlawanan membabitkan PJ City, kelibat pemain ini adalah sebab utama anda harus berbuat demikian. Rajin di tengah padang, tidak pernah mengenal putus asa dan prolifik di hadapan gol- adalah ungkapan terbaik untuk mengisahkan kelibat pemain ini dalam empat perlawanan yang lalu.

Pemain berusia 26 tahun ini kini sudah pun meledakkan dua gol di saingan Liga Super setakat ini. Salah satunya adalah gol cantik dari luar kotak penalti yang menjadi gol kemenangan PJ City ketika menewasan PKNP FC di Manjung.

4. Dickson Nwakaeme (Pahang FA)

Orang Besi! Itulah gelaran yang sinonim dengan Dickson Nwakaeme di kalangan penyokong Tok Gajah. Dan kami pasti Dollah Salleh pasti terseyum melihat prestasi pemain import dari Nigeria ini selepas empat perlawanan.

Apa tidaknya. Tiga jaringan sudah dihasilkan, Nwakaeme turut membuktikan beliau turut mampu menghasilkan bantuan gol seperti yang dihasilkan untuk Norshahrul Idlan Talaha ketika menentang Terengganu FC di Kuantan tempoh hari. Sebut saja nama Dickson. Beliau pasti akan terus menghadirkan gerun buat mana-mana pemain pertahanan lawan yang ditugaskan mengawalnya.

5. Gonzalo Cabrera (JDT FC)

Lupakan Diego Luis Santo yang tiba dengan reputasi besar dari Buriram United. Gonzalo Cabrera adalah nadi utama serangan JDT yang kini telah menghasilkan 9 gol setakat ini. Ketiadaan Natxo Insa di bahagian tengah sedikit sebanyak merencatkan corak serangan dan fluidity serangan juara bertahan Liga Super ini.

Namun Cabrera membuktikan nilainya dengan aksi serba menjadi, baik sebagai penggerak atau pun penjaring gol. Sehingga kini, Cabrera telah pun menghasilkan 3 gol daripada 4 perlawanan untuk mendahului senarai penjaring.

Mari mengundi

Siapakah di antara lima pemain ini yang layak dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga Super PFAM-asiana.my Februari 2019?

Ayuh berikan undi anda melalui pautan: PFA Malaysia.

Undian akan ditutup pada 7hb Mac tepat jam 12 tengah malam. Jangan tunggu-tunggu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram