PFAM Gesa MFL Halang Pasukan Ada Masalah Hutang Bersaing Di Liga-M

Isu tunggakan gaji pemain bukanlah sesuatu yang asing buat arena bola sepak negara dan ianya dilihat semakin parah sejak kebelakangan ini. Menjelang musim baru yang akan bermula tidak lama lagi, masih ada pasukan yang bermasalah dilaporkan akan terus bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Oleh yang demikian, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah menggesa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggunakan kuasanya untuk menyekat enam pasukan yang mempunyai masalah hutang tertunggak daripada menyertai Liga-M pada musim depan.

Tanpa menyebut nama enam pasukan tersebut, berdasarkan perkembangan semasa ianya mungkin merujuk kepada PDRM FC, Melaka United, Felda United, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu FC (TFC).

Saranan itu dilontarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail ketika ditemubual oleh Stadium Astro yang mahu semua pasukan itu melunaskan terlebih dahulu segala tunggakan gaji pemain sebelum dibenarkan bertanding.

Sebelum ini pasukan yang dikatakan mempunyai kewangan yang kukuh seperti TFC turut didedahkan masih belum membayar tunggakan gaji bekas pemainnya Ahmad Syamim Yahya. Selain itu, pasukan PDRM FC juga dilaporkan masih gagal melunaskan gaji pemain dan jurulatih selama empat bulan.

Penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat juga sudah beberapa kali bercakap secara terbuka dalam media mendesak bekas majikannya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) supaya segera menyelesaikan tunggakan gajinya.

PFAM yang menerima setiap aduan daripada pemain bukan tidak pernah mengajukan masalah ini kepada pihak MFL dan FAM, namun badan induk bola sepak negara itu masih gagal mengambil tindakan drastik kepada pasukan-pasukan yang terbabit.

“Kami sedang mengumpulkan segala dokumen yang ada untuk mengkaji dan membuat aduan terhadap pasukan yang terlibat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

“Sekiranya gagal, kami akan membawa proses ini kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk tindakan seterusnya.

“Saya mengharapkan MFL dan FAM mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana pasukan yang belum menyelesaikan masalah ini untuk tidak dibenarkan bermain.

“Kerana kami tidak mahu masalah ini berulang musim depan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan yang baru dilantik ke jawatan itu menggantikan Kevin Ramalingam ketika dihubungi Stadium Astro tiada memberikan sebarang penerangan yang jelas mengenai isu tersebut.

Menurut Ghani, pelaksanaan kawalan ekonomi (ECP) yang akan bermula pada musim 2020 diharap dapat menangani masalah yang berlaku.

“ECP mengawal perbelanjaan pasukan agar tidak berbelanja berlebihan daripada peringkat awal bagi mengelakkan mereka tidak dapat membayar gaji sehingga penghujung musim,” katanya.

Kredit Foto: PFAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram