PFAM Bersuara Ekoran Kritikan ‘Kenyataan Tidak Bertanggungjawab’ Dilemparkan FAM

PFAM

Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan balas berhubung kritikan yang dilemparkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

Kenyataan balas tersebut dikeluarkan persatuan yang mewakili pemain itu selepas FAM menganggap kenyataan PFAM sebagai tidak bertanggungjawab dan mengganggu usaha dalam menyelesaikan masalah.

Stuart juga mengakui bahawa PFAM tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat umum dan beranggapan tindakan itu sebagai tidak adil dalam menjelaskan mengenai keadaan sebenar isu tunggakan gaji tersebut.

PFAM: Bala RM6.4 Juta Dan Penindasan Dalam Bola Sepak Malaysia

Dipetik daripada laman Facebook rasmi PFAM, berikut adalah kenyataan balas mereka bagi membalas kritikan dilemparkan FAM itu:

Kenyataan balas PFAM terhadap kenyataan FAM

1. Pertama sekali, kami mengucapkan terima kasih ke atas FAM yang telah memberi respon menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya, Encik Stuart Ramalingam, terhadap kenyataan kami berhubung isu tunggakan gaji. Ini membuktikan bahawa masih ada yang peduli berhubung hak dan kebajikan para pemain di Malaysia.

2. Sebagai respon terhadap kenyataan beliau, secara jujurnya kami amat terkejut apabila beliau menyelar kami atas kenyataan yang kami buat, sedangkan beliau sendiri telah bersetuju bahawa masalah tunggakan gaji di Malaysia perlu diselesaikan, malah kenyataan kami tidak pun ditujukan kepada FAM, mahupun MFL.

3. Bagi makluman, kenyataan yang dibuat bukanlah sebuah kenyataan yang melulu, tetapi ia dibuat setelah kami melalui tempoh rundingan, perbincangan dan beberapa siri follow up bersama pasukan.

4. Sebagai contoh, bagi kes yang melibatkan pasukan Pahang dan Negeri Sembilan, ia merupakan kes tuntutan gaji bekas pemain import mereka, Alex de Morais – yang dipinjamkan oleh pasukan Pahang ke pasukan Negeri Sembilan dimana kedua-dua pasukan bersetuju untuk berkongsi membuat bayaran gaji pemain tersebut.

5. Dalam kes ini, pasukan Negeri Sembilan telah membuat perjanjian bersama pemain pada 8 November 2018 bahawa mereka akan melunaskan semua tunggakan bayaran kepada Alex pada 30 Jun 2019. Pun begitu, bayaran tidak dibuat pada tarikh yang ditetapkan, dan Negeri Sembilan memberi jaminan bahawa bayaran akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 31 Julai 2019.

6. Namun begitu, sehingga kenyataan dikeluarkan pada Ahad, 4 Ogos 2019, pemain mengesahkan bahawa beliau masih belum menerima bayaran seperti yang dijanjikan. Malah, pasukan Negeri Sembilan juga tidak memberi sebarang makluman semasa dan maklumbalas kepada kami berhubung perkara ini. Sekiranya pembayaran sudah dibuat, kami amat berbesar hati untuk menerima makluman berhubung hal ini.

Skuad Hanelang FC. FOTO: Hanelang

7. Hal yang sama juga berlaku di pihak pasukan Pahang, apabila pemain memaklumkan beliau masih tidak menerima bayaran. Pasukan Pahang juga tidak memberikan sebarang makluman terkini berhubung isu ini, dan hanya memaklumkan kepada kami bahawa mereka AKAN membuat bayaran pada bulan ini SETELAH kenyataan kami dikeluarkan.

8. Untuk isu pasukan Melaka, tuntutan yang dibuat oleh pemain antaranya G. Puaneswaran, Syawal Norsam, Faridzuean Kamarudin, Tiago Gomes, Lee Chang Hoon dan pemain-pemain Pasukan Skuad Presiden, kami suarakan memandangkan pasukan Melaka telah berjanji bahawa bayaran akan dibuat setelah mendapat wang geran hak penyiaran daripada pihak MFL.

9. Pada 17 Julai 2019, MFL sendiri telah mengumumkan bahawa agihan geran hak penyiaran bagi fasa pertama telah selesai, ini bermakna – MFL juga telah menjalankan tanggungjawab mereka – tetapi pasukan masih tidak membuat bayaran kepada para pemain (jika tidak secara penuh sekalipun, sekurang-kurangnya ada bayaran dibuat).

10. Belum dikira kes pasukan Kelantan yang membabitkan tuntutan pemain-pemain seperti Brendan Gan, Noor Hazrul, Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree, Amiridzwan Taj, Badhri Radzi dan beberapa orang lagi yang tunggakan ini ada yang sudah pun berlanjutan hampir 5 tahun.

11. Bagi kes-kes lain seperti kes ATM FA (melibatkan 9 pemain – perjanjian dibuat pada 30 Mei 2018 ), PDRM FA (Nakatake Shunsuke – 22 Mei 2019, Petrisor Voinea, Izaaq Izhan) dan Felda United FC (Jaycee John – 24 Jun 2019), kami sendiri mengakui bahawa sudah ada perjanjian baik secara bertulis dan juga secara lisan, antara pasukan dan pemain bagi menyelesaikan bayaran hutang secara berperingkat. Namun begitu, apa yang dikesalkan adalah pihak pasukan tidak membuat bayaran mengikut jadual pembayaran yang sudah dipersetujui.

12. Dan pastinya yang paling merasai keperitan adalah bekas pemain pasukan Perlis, Terengganu City FC, Hanelang FC, Kuantan FA dan Marcerra United yang terus tertanya-tanya akan untung nasib mereka. Lantas membuatkan kami terpanggil untuk meminta perhatian daripada Kerajaan Negeri, jika itu adalah langkah terakhir.

13. Harus diingat dan dinilai semula, tindakan kami yang masih menunggu, dan ada sesetengah kes yang masih belum difailkan, adalah bukti bahawa kami juga telah dengan niat suci hati kami, memberi ruang kepada pasukan untuk menjelaskan hutang mereka, dan inilah ruang kerjasama yang amat besar diberikan oleh kami – melihatkan kepada masalah yang dialami oleh pasukan di awal musim- , namun malangnya tidak dihargai oleh pasukan.

14. Kami kesal, tatkala FAM dan MFL sedang berusaha untuk membawa hala tuju bolasepak negara ke tahap yang lebih baik menerusi F30 dan NEX50, masih terdapat pasukan yang dilihat tidak ‘senada’ menerusi tindakan mereka.

15. Isu gaji adalah isu paling fundamental, dan sekiranya ia tidak boleh diatasi, inilah yang akan menjadi penghalang kepada visi FAM mahupun MFL – dan inilah kerisauan yang kami zahirkan dalam kenyataan kami.

16. Perlu diingat, pasukan-pasukan inilah yang merupakan penggerak untuk merealisasikan visi tersebut, dan kami juga bersedia untuk bersama-sama ke arah itu, lantas menjadikan kami bertindak dengan lebih drastik untuk terus mendesak pasukan-pasukan yang masih lemah dalam urustadbir masing-masing.

17. Oleh sebab itu, kami sekali lagi melahirkan rasa kesal kami kepada Encik Stuart, apabila usaha kami untuk menyedarkan pasukan-pasukan ini – bagi memastikan kita di landasan yang tepat – ditempelak sendiri oleh beliau.

18. Malah dengan merujuk pertemuan yang sama dinyatakan oleh beliau, bersaksikan pemain-pemain Hanelang dan TCFC, beliau juga bersetuju untuk kami mengeluarkan kenyataan bagi menyelar pasukan-pasukan yang melepaskan tanggungjawab ini.

19. Lebih mengecewakan, apabila beliau mengugut untuk mengkaji semula kerjasama bersama PFAM, dan ternyata ini memberikan mesej salah kepada semua berkenaan sejauh mana keikhlasan beliau, untuk membantu para pemain yang semakin hari semakin ditindas oleh para pasukan.

20. Juga, tuduhan beliau yang menyatakan kami mempunyai Agenda Tersembunyi adalah suatu tuduhan yang sangat berat untuk kami terima memandangkan apa yang kami utarakan adalah isi hati para pemain sendiri yang telah terbeban hidupnya akibat tindakan pihak-pihak yang menjadi punca kepada permasalahan ini.

21. Kami juga ingin meminta maaf kerana berfikiran sempit seperti yang dinyatakan oleh beliau. Tetapi pemikiran sempit inilah yang menerima panggilan saban hari daripada para pemain bertanyakan tentang nasib mereka samada terbela atau pun tidak.

Perlis
FOTO: Northern Lions Perlis

22. Pemikiran sempit inilah yang mendengar keluh kesah para pemain yang masih kabur untuk meneruskan hari esok.

23. Pemikiran sempit inilah yang terpaksa memikirkan bagaimana untuk memastikan hak dan kebajikan pemain terus terbela, tatkala wujudnya pihak yang tidak serius berkenaan hal yang sama.

24. Dan besar harapan kami, agar Encik Stuart berfikiran terbuka dan senada dengan kami dalam mendesak pasukan-pasukan yang terus terusan mempermainkan industri bolasepak kita.

25. Akhir kata, secara terbuka, kami tidak mempunyai sebarang permasalahan dengan pihak FAM, mahupun pihak MFL, kerana kami tahu kedua-dua entiti ini telah memberikan kerjasama yang baik kepada kami, terutamanya Presiden FAM, YH Dato Haji Hamidin, yang selama ini selalu memudahkan urusan kami kerana memahami denyut nadi kami selaku pemain bolasepak.

26. Tetapi, jika kenyataan kami ini menjadi sebab untuk semua pasukan termasuklah pihak FAM sendiri ingin memutuskan kerjasama dengan kami, maka fikirkanlah sejauh mana iltizam dan komitmen yang kita ikrarkan bersama selama ini untuk menjaga hak dan kebajikan para pemain.

Featured image: PFAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN