Petaling Jaya City FC Pastikan Gaji Pemain Dibayar Tepat Pada Masanya

Isu tunggakan gaji yang melanda beberapa pasukan ketika ini memberi pengajaran yang berguna kepada pengurusan kelab bola sepak Petaling Jaya City.

Menurut laporan daripada Berita Harian, mereka memberi jaminan tiada isu tunggakan gaji akan berlaku dalam pasukan itu termasuk juga kepada Safee Sali yang baharu meninggalkan pasukan yang bermasalah, Perlis.

Timbalan Presiden kelab PJ City, S Chandragesan menjelaskan isu tunggakan gaji tidak akan timbul kerana pengurusan kelab tersebut diuruskan oleh syarikat korporat dan bayaran gaji akan mengikut jadual ditetapkan.

“Tidak timbul isu gaji kerana kelab ini diuruskan oleh syarikat korporat. Penaja utama (QNET) juga dibawah pengurusan kami, jadi semuanya akan terjamin.

“Cuma tahun depan kita akan cuba terokai aspek perniagaan namun ia tidak akan jejaskan gaji pemain,” katanya.

Bayaran gaji tepat pada masanya adalah sesuatu yang penting bagi memastikan pemain kekal bermotivasi sekali gus mampu menjulang pasukan.

“Banyak program sudah dirancang dan kita juga akan pastikan gaji akan dibayar ikut masa yang sudah ditetapkan,” jelasnya.

Safee Sali diperkenalkan sebagai pemain baharu PJ City FC bersama pemain import baharu, Serginho. FOTO: PJ City FC

Sementara itu, Safee yang kini bergelar pemain PJ City FC tidak mahu situasi yang berlaku di Perlis berulang lagi pada pasukan lain pada masa hadapan. 

“Bagi pemain seperti saya mungkin ada pasukan mahu tetapi kalau pemain muda? Tolonglah fikirkan kepada pemain muda yang baharu ceburi bola sepak secara profesional.

“Itu membunuh karier dan semangat pemain muda. Sebenarnya itu yang saya risaukan kerena merekalah yang akan mewarisi pemain sekarang.

“Kalau kita bunuh semangat dan karier mereka, siapa yang akan ganti tempat kami selepas ini?,” katanya ketika majlis pengenalan pemain semalam.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply