Pertemuan Man Utd & Liverpool Malam Ini Ulit Kembali Karya Kampung Pisang Mamat Khalid

Malam ini seluruh penyokong bola sepak Liga Perdana Inggeris akan menumpukan perhatian masing-masing kepada perlawanan di antara Manchester United dan Liberpool.

Ia adalah pertemuan pertama membabitkan kedua-dua pasukan pada musim ini, dan dianggap antara perseteruan terhebat di dalam bola sepak Inggeris dan dunia.

Apa yang menjadikan perlawanan ini sentiasa panas bagi penyokong kedua-dua pasukan ialah kerana perlawanan ini dianggap lebih daripada sebuah perseteruan di atas padang.

Bukan Sekadar Permusuhan(Rivalries), Ia Adalah Derbi!

Logiknya rivalry di dalam bola sepak adalah antara dua buah pasukan yang berkongsi kota atau setidak-tidaknya berjiran dari segi geografi. Ia berbeza dengan perseteruan di antara Manchester United dan Liverpool – digelar Derbi Barat Laut.

Ini kerana kedua-dua pihak saling menganggap perlawanan ini ada ciri-ciri derbi yang kuat. Jadi ia adalah derbi antara bandar (inter-city derby).

Sir Alex Ferguson enggan menggunakan istilah ‘rivalry’ sahaja kerana bagi beliau inilah derbi utama mereka.

Walaupun Manchester City adalah kelab setempat bagi United, ia tidak sehebat derbi ini.

Ia setanding dengan derbi lain di dunia seperti El-Clasico di Sepanyol, Superclasico di Amerika Selatan mahupun derby Dolla Madonnina, Italy.

Pada Final Piala FA 1977, ketika anak buah Bob Paisley tewas 1-2 kepada Man Utd, pengurus legenda Liverpool tersebut dikerumuni oleh penyokong United.

Ianya sebagai tanda sokongan kepada Liverpool yang akan beraksi di Final UEFA Champions League.

Suasana yang sukar kita dapati pada hari ini selepas empat dekad berlalu.

Derbi Panas

Apakah penyebab sehingga kedua-dua kelab terulung bola sepak Inggeris itu berseteru sehingga singgah kepada kebencian?

Dua bandar ini hanya dipisahkan dengan jarak 56km. Perseteruan di antara dua bandar ini bermula sejak kurun ke-18 dan meliputi sektor budaya, ekonomi, sains dan setiap aspek yang melibatkan perkembangan tamadun sesebuah masyarakat.

Sukan bola sepak berasal daripada England. Maka tidak hairanlah bola sepak menjadi satu budaya bagi masyarakat Inggeris. Ketaksuban mengejar “supremacy” kini berpindah ke dalam sukan bola sepak.

Anfield dan Old Trafford menjadi medan menyambung kehebatan di antara dua bandar utama yang pernah menjadi nadi ekonomi negara kelahiran Shakespeare dan The Beatles.

Terlalu banyak insiden membabitkan kedua-dua buah kelab sama ada di kalangan penyokong maupun pemain .

Siapa boleh lupa insiden seorang penyokong Liverpool meludah Eric Cantona dan kemudian cuba menumbuk pengurus Alex Ferguson ketika sedang naik ke pentas utama selepas perlawanan akhir Piala FA 1996, kontroversi Suarez-Evra berkenaan isu perkauman dan banyak lagi.

Kampung Pisang Bersiri-siri

Di negara kita pertemuan di antara Manchester United dan Liverpool akan mengingatkan kita kepada drama Kampung Pisang Bersiri-Siri arahan Mamat Khalid dan disiarkan pada 7 Disember 2020 di Astro Citra.

Dalam adegan itu , salah seorang pelakon yang bernama Adi Talang memakai jersi , topi dan scarves Liverpool di sebuah warung makan telah bercerita penuh beriya-iya mengenai pasukan Liverpool yang telah menewaskan Manchester United.

Cerita kekalahan Manchester United telah di bawa sepenuh penghayatan oleh pelakon berkenaan sehingga Bell Ngasri yang turut berlakon dalam drama itu berasa amat kecewa dan sedih sambil memeluk tiang.

Antara babak yang diceritakan oleh Adi Talang ialah bagaimana Mohamed Salah menjaringkan gol menerusi gerakan solonya selepas mendapat hantaran melalui balingan bola daripada penjaga gol Liverpool.

Liverpool berjaya menewaskan Manchester United hasil jaringan oleh pemain pertahanan terbaik dunia Virgil Van Dijk (Minit ke-14) dan Mohamad Salah (Minit ke-90 + 3) pada 20 Januari 2020 yang lalu, dan berlangsung di Anfield.

Liverpool pada waktu itu telah memperkotak-katikkan pasukan Red Devils dan kemenangan itu  menyaksikan Liverpool berada di tahkta teratas sehinggalah mengakhiri badi 30 tahun memenangi gelaran Juara EPL 2019/2020.

Babak tersebut berjaya menarik perhatian ramai dan dianggap kelakar. Ia mungkin kelihatan seperti cubaan untuk troll, mengejek pihak yang kalah.

Namun di sebalik babak drama tersebut, sebenarnya terselit pengajaran supaya tidak berlebihan dalam bergurau sehingga boleh menjejaskan hubungan baik sesama rakan hanya kerana bola sepak.

Mamat Khalid meninggal dunia

Dunia perfileman juga turut dikejutkan dengan pemergian Mamat Khalid pada awal pagi ini. Penerbit dan pengarah tersohor, Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River 12.30 pagi tadi.

Allahyarham cukup disegani dalam dunia perfileman negara dan karya-karyanya sering pecah panggung. Tidak dinafikan karya-karya oleh Mamat Khalid berjaya memberi kesan cukup hebat kepada penonton.

Filem pertama arahan beliau ialah pada tahun 2003 menerusi filem komedi sejarah “Lang Buana”.

Disebabkan minatnya pada muzik rock, beliau kemudian mengarahkan pula filem kedua “Rock” pada tahun 2005 dan seterusnya “Rock Oo!” (2013) serta “Rock Bro!” (2016) – dan menjadi antara karya agung oleh Mamat Khalid.

Karya Allahyarham lain yang mendapat tempat di hati peminat termasuk “Man Laksa” (2006), “Kala Malam Bulan Mengambang” (2008), “Zombie Kampung Pisang”, dan “Hantu Kak Limah”.

Karya-karya lain yang turut dikenali termasuk “Pinang Durian”, “Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel” dan “Abang We”.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply