Pertemuan Korea Utara vs Malaysia Ditunda Untuk Kali Ke-3!

FAM mengesahkan yang perlawanan di antara Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang adalah mustahil untuk dilangsungkan pada 5 Oktober ini.

Ini selepas kerajaan Malaysia sekali lagi mengumumkan larangan perjalanan rakyat Malaysia ke Korea Utara. Dato’ Hamidin Mohd Amin menghebahkan perkara tersebut di laman rasmi FAM. Beliau berkata:

“Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada tidak akan terbang ke Pyongyang, Korea Utara pada Selasa ini (3 Oktober 2017) seperti jadual asal selepas menerima arahan terbaharu larangan perjalanan ke Korea Utara daripada Kerajaan Malaysia.”

“FAM telah menulis surat kepada AFC dan menerusi surat balasannya, AFC telah bersetuju untuk membuat keputusan bahawa perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019, Korea Utara bertemu Malaysia tidak akan dimainkan di Pyongyang pada tarikh 5 Oktober.”

“Lain-lain perkembangan berhubung status perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh AFC.”

“Berdasarkan perkembangan terbaharu ini, kem latihan pusat skuad kebangsaan hanya akan bermula pada Rabu, 4 Oktober di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi menghadapi satu lagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober 2017.”

Pihak AFC akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat. Dato Hamidi berkata lagi:

“AFC menerusi Dato’ Windsor dalam surat balasannya yang dihantar kepada FAM sebentar tadi (petang ini) telah bersetuju untuk membuat keputusan bahawa perlawanan Korea Utara bertemu Malaysia tidak akan dimainkan di Pyongyang pada tarikh 5 Oktober itu.”

“Saya telah memaklumkan semua perkembangan terbaharu ini kepada Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan baginda telah berkenan serta sedia maklum mengenai semua tindakan dan langkah yang telah dan akan diambil”.

“Perbincangan juga telah dibuat dengan Vingada dan beliau membuat keputusan untuk mengubah program kem latihan pusat yang sepatutnya bermula di Johor Bahru pada Sabtu ini (30 September), memandangkan perancangan awal skuad Harimau Malaya akan terbang ke Pyongyang melalui Singapura dan Beijing pada 3 Oktober.”

“Namun berdasarkan perkembangan terbaharu ini, kem latihan pusat hanya akan bermula pada Rabu, 4 Oktober di Wisma FAM, Kelana Jaya dan skuad Harimau Malaya akan terbang ke Hong Kong dari Kuala Lumpur pada 6 Oktober untuk menghadapi satu lagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober 2017.”

Perlawanan di antara Malaysia dan Korea Utara sebelum ini ditangguhkan sebanyak 2 kali kerana isu keselamatan selepas ketegangan diplomatik berlaku di antara kedua-dua buah negara.

Buat masa ini, keselamatan adalah keutamaan!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram