Pertembungan Liverpool Dan Leeds, Fabinho Jadi Kunci Siapa Lebih Dominan

Pertembungan Liverpool bertemu Leeds United, Fabinho jadi kunci terpenting yang bakal menentu pasukan mana akan mendominasi permainan.

Liverpool bertemu Leeds senantiasa menjadi perlawanan yang sangat menarik untuk ditonton dan pertembungan antara kedua-dua pasukan itu pada malam ini tiada bezanya.

Sebut tentang kedua-dua pasukan ini, satu hal yang peminat tahu adalah tentang taktikal menyerang mereka yang sungguh menakjubkan.

Tidak dinafikan pertembungan antara kedua-dua pasukan ini kebiasaannya berintensiti tinggi dengan corak permainan pantas dan terbuka.

Lihat saja bagaimana aksi pertembungan pertama mereka pada musim lalu, ketika anak-anak buah Marcelo Bielsa memberi ancaman yang sungguh merbahaya ke atas The Reds di Anfield.

Mujur saja Liverpool berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 4-3, selepas Mo Salah menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti.

Semua pasukan dalam saingan Premier League mula beri perhatian pada Leeds sejak perlawanan itu dengan mereka akhirnya berjaya menyesuaikan diri dan menjadi antara pasukan underdogs terbaik dalam saingan liga.

Dengan skuad kendalian Jurgen Klopp bakal berkunjung ke Elland Road pada malam ini, maka mari kita analisis di mana titik kelebihan dan kekurangan untuk kedua-dua pasukan.

Fabinho Nadi Penting

Bahagian tengah bakal menjadi sangat menarik untuk disaksikan dalam perlawanan ini, terutamanya jika Fabinho diturunkan sebagai kesebelasan utama Liverpool.

Leeds mempunyai barisan midfield yang cukup mantap dengan pemain seperti Kalvin Phillips, Stuart Dallas dan Luke Ayling.

Ditambah pula dengan kehadiran Jack Harrison di bahagian hadapan bersama Rodrigo dan Raphinha, ia bakal menjadikan Leeds semakin merbahaya dan lebih dominan.

Liverpool tidak dinafikan sedang bergelut dengan masalah prestasi di posisi tersebut, dan hanya Fabinho sahaja yang dilihat masih berada di tahap persembahan terbaiknya untuk mengawal jentera tengah the reds.

Klopp mempunyai pemain seperti Jordan Henderson atau James Milner yang berkemungkinan bakal diturunkan sebagai kesebelasan utama.

Dengan Naby Keita, Thiago Alcantara dan Alex Oxlade-Chamberlain pula bakal berada di bangku simpanan dan berkemungkinan akan diturunkan jika khidmat mereka diperlukan.

Harvey Elliott juga berkemungkinan akan mengisi ruang dalam kesebelasan utama memandangkan Klopp sudah meletakkan sepenuh kepercayaan padanya sepanjang musim ini.

Walau bagaimanapun, tidak boleh dinafikan yang barisan midfield Liverpool pada ketika ini tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka.

Untuk berdepan dengan unit serangan Leeds, Liverpool sangat memerlukan khidmat pemain seperti Fabinho untuk mematahkan serangan dari pihak lawan.

Pemain kebangsaan, Brazil itu sebelum ini diketepikan kerana pihak kelab mahu memberi beliau ruang selepas kehilangan ayahnya.

Dalam aksi bertemu Leeds ini, sepertinya tiada masalah untuk Klopp menurunkan Fabinho dan tentunya sangat menarik untuk melihat pertembungan midfield antara kedua-dua pasukan.

Leeds United dijangka akan dominan di bahagian tengah, namun bakal bergelut untuk melepasi barisan pertahanan Liverpool yang sangat mantap pada ketika ini.

Mampukah Leeds menyerap asakan merbahaya dari jentera serangan Liverpool?

Sepertinya agak sukar untuk Leeds berhadapan dengan jentera serangan Liverpool yang sedang dalam prestasi terbaik pada ketika ini.

Walaupun Sadio Mane dan Roberto Firmino dilihat serba tidak menjadi, namun tak dinafikan yang Mo Salah dan Diogo Jota mampu memberi ancaman bahaya ke kubu Leeds.

Bahagian pertahanan dan jentera serangan Liverpool sangat bagus berbanding Leeds, dan berkemungkinan anak-anak buah Marcelo Bielsa bakal berhadapan masalah besar dalam perlawanan ini.

Salah, Mane dan Jota dijangka akan diturunkan dalam kesebelasan utama dengan Elliott, Henderson, Robertson dan Arnold akan membantu dari belakang.

Jika ada kelibat Fabinho di tengah, dan Liverpool mampu mendominasi bahagian tersebut, maka ia akan memberi kelebihan pada jentera serangan The Reds.

Liverpool sememangnya gemar bermain dengan corak permainan terbuka kerana mereka mempunyai kelebihan dari segi kelajuan dan kualiti hantaran.

Leeds menyerang dengan sangat bagus, namun mereka tidak begitu hebat ketika bertahan dan kerap di bolosi kerana lebih mementingkan posisi serangan.

Jika bahagian tengah Leeds dilihat lebih menarik, namun di posisi pertahanan dan serangan mereka mungkin sedikit lemah berbanding Liverpool.

Satu hal yang pasti, pertembungan antara kedua-dua mereka bakal menyajikan aksi yang menarik dan menakjubkan.

Kunci utama untuk menyaksikan perlawanan ini menarik adalah Fabinho, jika beliau diturunkan, harapan Liverpool untuk menang dan dominan adalah sangat tinggi.

Jika beliau tidak diturunkan, skuad kendalian Jurgen Klopp itu mungkin bakal berhadapan masalah untuk menguruskan pemain midfield dan penyerang Leeds.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply