Pertembungan Hangat JDT Dan Kedah Buka Tirai Liga Super Musim 2021

JDT Kedah Piala Sumbangsih Liga Super 2020 2021

Pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dijangka akan mewarnai kehangatan minggu pertama Liga Super 2021.

Sebentar tadi, Malaysian Football League (MFL) telah mengeluarkan jadual penuh saingan Liga Super musim 2021 yang bakal bermula pada 5 Mac depan dan ia juga menyaksikan dua pertembungan menarik yang bakal berlangsung.

Selepas berehat lebih dua bulan, Liga Malaysia (Liga M) akhirnya kembali menemui penyokong bagi musim 2021 dan dijangka terus hangat sekalipun dilangsungkan dalam norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, tanpa kehadiran penyokong. Begitupun, kehangatannya masih kurang terasa.

Kedah yang merupakan naib juara liga dilihat sudah diperkukuhkan dengan kemasukkan muka-muka baharu. Kekurangan musim lalu di jentera tengah dilihat sudah diperbaiki dengan penyertaan Anumanthan Mohan dan Rabih Ataya.

JDT pula tampil dengan skuad yang hampir sama kecuali beberapa pemain antaranya bekas kapten mereka, Safiq Rahim dan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh. Begitupun, kedua-duanya mungkin tidak beraksi.

Pertembungan antara kedua-dua pasukan bukan sahaja menawarkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebagai kejuaraan Piala Sumbangsih, namun ia juga merupakan aksi pertama Liga Super yang tentunya menawarkan mata buat kedua-duanya. Malah, ia juga merupakan pembuka tirai yang sama seperti musim lalu.

Selepas itu, pada Sabtu, kemeriahan liga dijangka akan terus dihangatkan dengan pertembungan antara dua musuh tradisi, Selangor FC dan Sri Pahang FC. Kedua-dua pasukan kini dilatih oleh pengendali baharu yang merupakan jurulatih import.

Tentunya percaturan Karsten Neitzel dan Thomas Dooley sangat mahu dilihat oleh para penyokong dan juga pemerhati bola sepak tanah air. Musim lalu, kedua-dua pasukan kurang menyerlah dengan masing-masing berada di pertengahan liga.

Pertembungan antara dua pasukan yang baru meraih promosi ke Liga Super juga apa kurangnya. Penang FC dan KL United akan meneruskan sisa persaingan musim lalu untuk membuktikan sebenarnya siapa yang lebih hebat pula musim ini.

Kedua-duanya juga kini telah dikendalikan oleh pengendali baharu selepas pengendali musim lalu tidak layak untuk mengemudi apabila tiada lesen Pro AFC. Tempat Nidzam Adzha di KL United telah diambil alih oleh Bojan Hodak, sementara Tomas Trucha pula telah menggantikan Manzoor Azwira untuk membawa Penang FC.

KREDIT FEATURED IMAGE: JST

Baca lagi artikel lain mengenai Liga Super, JDT dan Kedah:

CIMB Piala Sumbangsih 2020: JDT Langkah Kanan Di Laman Baharu

Kelibat Syafiq Ahmad, Safiq Rahim Antara Yang Curi Tumpuan Penyokong JDT

Kedah Sudah Temui Jalan Keluar Kepada ‘Masalah’ Di Posisi Bek Kiri?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply