Pertahanan Boca Juniors Ini Gelar Neymar ‘Badut Sejati’

Kerjasama Semuanya BOLA

Neymar

Pemain pertahanan Peru, Carlos Zambrano melemparkan kritikan pedas terhadap bintang Brazil, Neymar apabila menggelarkan pemain termahal sejarah bola sepak dunia itu sebagai seorang badut.

Selain daripada berjaya menyumbat hatrik pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 bertemu Peru di Estadio Nacional De Lima tempoh hari, tindak-tanduk Neymar ketika di atas padang membuatkan barisan pemain lawan berang dengannya.

Zambrano yang bertindak selaku pertahanan tengah pada perlawanan tersebut dilayangkan kad merah di minit ke-89 selepas beliau menyiku pemain Everton, Richarlison.

Tiga minit sebelum itu, Peru sudah pun kehilangan seorang pemain apabila Carlos Caceda yang berada di bangku simpanan turut diperintahkan keluar padang.

Meskipun memuji kualiti hebat ditampilkan Neymar, Zambrano yang merupakan pemain Boca Juniors tanpa berselindung turut mengecam pemain berusia 28 tahun tersebut.

”Sejujurnya, dia merupakan seorang pemain yang hebat, salah seorang yang terbaik di dunia tetapi bagi saya dia merupakan seorang badut yang sejati,” ujar Zambrano menurut laporan Goal.

”[Neymar] menyedari segala yang dilakukannya di atas padang, dia pemain yang hebat tetapi dia akan tetap mencari walau sedikit pun pelanggaran.”

”Dalam kawasan penalti, dia akan menjatuhkan dirinya sendiri empat atau lima kali supaya diberikan sepakan penalti dan segala usahanya itu berhasil dengan dua penalti yang diberikan pengadil.”

”Itulah Brazil dan apabila disentuh terus pengadil akan melihat kepada VAR. Sama ada perkara positif atau negatif, mereka [pengadil] akan melihat VAR kerana mereka adalah Brazil.”

Neymar sememangnya seorang pemain yang seringkali dikaitkan dengan aksi-aksi ‘diving’ sehingga menjadi bahan ‘troll’ penyokong bola sepak di seluruh dunia.

Kredit featured image: Paolo Aguilar-Pool/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Neymar:

Kelayakan Piala Dunia 2022: Hatrik Neymar Bererti Ronaldo Nombor Tiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram