Persiapan Tahap Maksimum Untuk Harimau Malaya Jadi Keutamaan FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Pencapaian terkini skuad Harimau Malaya ketika ini dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ternyata memberikan harapan yang besar buat semua pihak agar pasukan negara dapat layak ke salah satu kejohanan itu secara automatik.

Dengan sasaran layak ke Piala Asia 2023 adalah lebih realistik, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memastikan segala keperluan pasukan kebangsaan menjadi keutamaan badan induk bola sepak negara itu.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe kini sedang menduduki tempat kedua di dalam kumpulan G dengan sembilan mata dari lima perlawanan di belakang Vietnam yang selesa mendahului dengan 11 mata. Thailand pula di tempat ketiga diikitu UAE yang bermain kurang satu perlawanan. Manakala Indonesia di tempat tecorot tanpa sebarang kemenangan.

Dengan berbaki tiga perlawanan, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memberi jaminan skuad negara akan dipersiapkan dengan segala keperluan yang diperlukan barisan kejurulatihan di tahap yang maksimum.

“Kita (FAM) akan berjumpa dengan beliau (Cheng Hoe) hujung tahun ini untuk beliau membentangkan pelan perancangan pasukan. Selain itu kita meminta beliau tampil dengan cadangan untuk bagaimana memperbaiki dan memperkuatkan pasukan kebangsaan.

“FAM akan memberikan sokongan lebih daripada 100 peratus. Selagi permintaan Tan Cheng Hoe itu bukan bulan dan bintang, insyaAllah kita akan bagi,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Rakan Kongsi Luar Biasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di sini, hari ini.

Tambah Yusoff lagi, ketua jurulatih skuad kebangsaan itu ada meminta pihak FAM menyusun perlawanan pemanas badan menentang mana-mana pasukan di Asia Barat sebagai persediaan untuk berdepan UAE di Dubai dan Vietnam di tempat sendiri pada bulan Mac tahun depan.

“Idea beliau adalah untuk mengadakan perlawanan di rantau itu supaya barisan pemain lebih bersedia dari segenap aspek bila berlawan dengan UAE. Di FAM fokus kita adalah macam mana untuk mempersiapkan pasukan kita berdepan dua perlawanan bulan Mac depan.

“Kalau satu perlawanan (persahabatan) tidak cukup, beliau (Cheng Hoe) mahukan dua, kita akan beri dua perlawanan,” jelasnya.

Yusoff kini meletakkan sasaran kepada pasukan kebangsaan untuk sekurang-kurangnya meraih empat mata daripada dua perlawanan tersebut dengan wajib menewaskan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi mencerahkan peluang untuk layak secara automatik ke Piala Asia.

“Empat mata akan meletakkan kita berada dalam kelompok empat pasukan terbaik di kedudukan kedua. Kalau kita berjaya melakukan sesuatu di Bangkok Jun depan, ia satu bonus. Ini sasaran kita,” katanya.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun sudah hampir 30 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.