‘Perpisahan Ini Hanyalah Sementara’, Ucap Hadi Fayyadh Kepada Fagiano Okayama

Hadi Fayyadh Azul Claro Numazu Fagiano Okayama

Nampaknya, inilah perancangan istimewa buat Hadi Fayyadh. Fagiano Okayama meminjamkannya kepada kelab Divisyen 3, J3-League, Azul Claro Numazu.

Pasukan yang menamatkan saingan liga di kedudukan ke-12 daripada 18 pasukan itu dikatakan sudah mencapai kata sepakat bersama Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh serta pihak Yakult Malaysia. Misi utamanya adalah meraih lebih minit permainan.

Menurut Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada, bercakap kepada Berita Harian, “Perbincangan diadakan antara semua pihak kerana sangat penting untuk Hadi [Fayyadh] mendapatkan minit bermain dan memberi pendedahan kepada Hadi dengan pengalaman beraksi dalam divisyen tiga Liga J.”

“Saya yakin dan percaya Hadi akan dapat menyesuaikan diri serta memberikan aksi yang terbaik bersama kelab ini serta mendapat pengalaman baru,” jelasnya.

Semakan mendapati, musim lalu, kelab tersebut hanya memiliki seorang pemain luar iaitu pemain Korea Utara, Park Seung-ri. Jika tiada perubahan, Hadi Fayyadh bakal menjadi pemain luar kedua buat kelab yang dikatakan sedang pesat berkembang sejak diluluskan perlesenan kelab profesional pada tahun 2013.

Memetik ucapan Hadi Fayyadh di laman sesawang Fagiano Okayama, “Terima kasih kepada Fagiano Okayama terutamanya kepada jurulatih, rakan sepasukan dan penyokong. Sepanjang dua tahun di sini, saya banyak belajar dan memperbaiki diri saya sebagai pemain bola dan saya berasa amat berterima kasih.”

Tambahnya yang menyatakan bahawa ini hanya perpisahan sementara, “Saya anggap perpisahan ini hanyalah sementara dan yang pasti saya akan kembali bersama Fagiano Okayama nanti. Saya tidak sabar untuk memulakan musim baharu saya bersama [Azul Claro] Numazu dan saya akan lakukan yang terbaik.”

Semuanya BOLA ada mengeluarkan artikel mengenai 3 Faktor Pendorong Hadi Fayyadh Untuk Kekal Di Fagiano Okayama selepas sah dilanjutkan kontrak. Antaranya adalah perancangan istimewa untuk musim depan serta bagaimana beliau telah berjaya menyesuaikan dirinya dengan budaya hidup di Jepun.

Untuk rekod, penyerang berusia 20 tahun itu bersama Fagiano Okayama yang beraksi dalam saingan J2-League sejak 2018 dan muncul pemain Malaysia pertama beraksi dalam liga profesional di negara gergasi Asia itu.

KREDIT FEATURED IMAGE: BERNAMA

Baca lagi artikel lain mengenai Hadi Fayyadh:

3 Faktor Pendorong Hadi Fayyadh Untuk Kekal Di Fagiano Okayama

Syed Saddiq Kagum Fagiano Okayama Ditaja Lebih 700 Syarikat

Hadi Fayyadh Mahu Pulihkan Semula Prestasinya Dengan Fagiano Okayama

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply