Perpindahan Raphael Varane Ke Man Utd, Apa Penyokong Red Devils Perlu Tahu Setakat Ini?

Pemain pertahanan tengah, Raphael Varane dijangka tidak berhadapan masalah diterbangkan ke Old Trafford untuk melengkapkan perpindahan bersama Manchester United selepas kedua-dua kelab terlibat mencapai persetujuan untuk pemain berusia 28 tahun itu semalam.

Menurut sumber daripada Goal, Manchester United tidak mengalami kesukaran dengan rundingan bersama Real Madrid untuk masa depan pemain pertahanan tersebut.

Difahamkan kedua-dua kelab bersetuju dengan nilai perpindahan £41 juta untuk pemain antarabangsa Perancis itu dan Varane hanya akan rasmi menjadi pemain Manchester United selepas pemeriksaan perubatan selesai dilakukan.

Varane akan menjadi pemain ketiga dibawa masuk  ke Old Trafford pada musim panas ini selepas Tom Heaton (penjaga gol- percuma), dan Jadon Sancho (pemain sayap – £73 juta).

Struktur perjanjian

Khabar angin Varane mahu menyertai Manchester United bukan perkara baharu. Namun kedua-dua kelab hanya memulakan rundingan secara rasmi pada hujung minggu lalu. Man Utd juga tidak mempunyai masalah mencapai persetujuan untuk terma peribadi bersama Varane.

Menurut laporan dari beberapa media Man Utd dikehendaki membayar yuran perpindahan Varane berdasarkan struktur yang telah ditetapkan. £34 juta adalah nilai asal pemain itu.

Man Utd masih perlu membayar tambahan £7 juta sebagai nilai tambah lain. Ini bermakna secara keseluruhan Man Utd berkemungkinan harus membelanjakan sehingga £41 juta untuk pemain itu.

Real Madrid juga harus membayar £1 juta kepada bekas kelab Varane, Lens sebagai bayaran solidariti.

Berapakah gaji bakal diterima Varane?

Varane menerima gaji sekitar £170,000 seminggu bersama Real Madrid. Satu perkara yang pasti Manchester United sanggup membayar jumlah yang lebih tinggi berbanding Real Madrid.

Jumlah tersebut bagaimanapun tidak akan setinggi apa yang diterima David de Gea sebanyak £350,000 seminggu, atau bersamaan £19.5 juta setahun – juga pemain Premier League dengan gaji tertinggi.

Beberapa laporan dari kalangan media di Sepanyol mendedahkan Man Utd hanya menawarkan sekitar £10.25 juta setahun untuk Varane, bermakna pemain itu akan menerima sebanyak £200,000 seminggu.

Apa Solskjaer mahukan dari Varane?

Pengurus Man Utd itu sudah lama mencari seorang bek tengah berkualiti untuk memperkuatkan benteng pertahanan. Perlawanan pra musim menentang Queens Park Rangers baru-baru ini menggariskan daifnya Red Devils di posisi tersebut.

Harry Maguire beraksi dengan cemerlang sejak tiba di Old Trafford, dan Varane dijangka akan terus berpasangan dengan pemain antarabangsa England itu.

Pemain berusia 28 tahun tersebut hanya memiliki baki kontrak setahun di Madrid, dan enggan menandatangani kontrak baharu kerana mahukan cabaran baru bersama Manchester United.

Enggan mengambil risiko bakal kehilangan Varane secara percuma pada musim panas akan datang menyebabkan Real Madrid tidak kisah membenarkan Varane menyertai Man United.

Apa seterusnya untuk Man United?

Varane berkemungkinan bukan pemain terakhir dibawa masuk oleh Ole Gunnar Solskjaer pada musim panas ini. Pengendali dari Norway itu masih mengintai kemungkinan untuk membawa masuk bek kanan, Kieran Trippier dan seorang pemain tengah.

Seperti juga pasukan lain, Manchester United kini masih mempunyai baki lima minggu untuk melengkapkan perpindahan pemain yang diperlukan.

Malah masa depan Paul Pogba sendiri juga kini menjadi tanda tanya selepas kem Pogba dan Man Utd gagal mencapai persetujuan untuk kontrak baharu yang berbaki setahun untuk pemain dari Perancis itu. Sekiranya berpindah, PSG dikatakan antara kelab yang berminat untuk mendapatkan Pogba pada musim panas ini.

Varane pula dijangka akan diumumkan secara rasmi selepas melengkapkan pemeriksaan perubatan dan selesai semua proses kuarantin.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply