Pernah Minat Sertai JDT, Podolski Kini Hampir Pulang Ke Poland

Lukas Podolski dikhabarkan akan terus bermain bola sepak. Kelab terakhir pemain itu adalah Vissel Kobe di Liga Jepun sebelum berhijrah ke Antalyaspor di Turki pada tahun lalu.

Pemain itu turut mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa sejak 2016 lagi.

Melalui satu ciapan oleh wartawan bola sepak terkenal Fabrizio Romano, Podolski kini sedang berbincang dengan Gornik Zabre di Poland, iaitu kelab di mana karier pemain itu bermula pada usia remaja.

Pemain itu tidak sukar untuk mendapatkan kelab baharu walaupun kini sudah menjangkau usia 36 tahun, berikutan minat yang turut ditampilkan oleh beberapa kelab lain dari Turki dan juga Qatar.

Nama Podolski pernah menarik perhatian peminat dan pengikut Liga Malaysia, khususnya peminat JDT pada awal tahun lalu.

Pemenang Piala Dunia 2014, Lukas Podolski dilaporkan menyatakan minatnya untuk menyertai juara Liga Super Malaysia tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim lalu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada ketika itu.

Namun ia tidak menjadi kenyataan disebabkan JDT sudah memiliki pemain import yang lengkap untuk musim 2020.

”Rezeki buat JDT kerana sebelum ini kami perlu memburu pemain, tetapi sekarang sudah berubah kerana pemain pula yang mencari kami untuk menyertai pasukan,” titah TMJ mengenai minat yang diluahkan Podolski ketika itu.

Selain daripada pernah beraksi bersama Vissel Kobe di Jepun dan Antalyaspor di Turki, Podolski turut pernah beraksi bersama FC Koln selama 12 tahun, dan juga Arsenal di Liga Perdana Inggeris.

Walaupun bakat Podolski dibangunkan oleh FC Koln, Gornik Zabre yang terletak di Gliwice, Poland adalah kelab di mana bakat Podolski dikesan buat kali pertama.

 

Baca artikel menarik lain mengenai Lukas Podolski:

Lukas Podolski Sarung Kasut Captain Tsubasa Semasa Penampilan Pertamanya Di J-League

Podoski Failkan Saman Ke Atas Akhbar ‘Teori Konspirasi’ Breitbart!

Podolski Tidak Menyertai Kelab China Kerana Meluat Dengan ‘Tangan Ghaib’

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply