‘Perlu Untungkan Dua Pihak’, Barisan Exco KFA Berada Di Belakang Presiden

kedah KFA presiden swasta 2021

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) sebulat suara menyokong keputusan presiden, Muhammad Sanusi Md Nor.

Sokongan mereka hadir selepas Sanusi mengumumkan bahawa rundingan bersama sebuah syarikat tempatan, GoFlumen untuk mengambil alih 80 peratus saham Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah ditamatkan dan akan diuruskan sepenuhnya oleh syarikat Darul Aman Football Club Sdn Bhd buat masa ini.

Selepas pengumuman tersebut, pelbagai kecaman telah diterima sama ada di pihak presiden dan pemilik GoFlumen disebabkan tiada punca sebenar diumumkan oleh Sanusi. Hanya dinyatakan beberapa punca yang menyebabkan rundingan gagal, namun ia telah dijawab semula oleh pemilik GoFlumen selepas itu.

Dalam sesi FB Live pertama Semuanya BOLA malam tadi, penyokong Kedah yang merupakan salah seorang ahli panel berkata, semua penyokong Kedah tertanya-tanya mengapa rundingan tersebut ditamatkan selepas ia melalui proses yang lancar.

Adhan Mat Aji ketika diajukan persoalan mengenai perasaan sebagai penyokong selepas mendengar khabar tersebut berkata, “Penyokong Kedah sebenarnya tertanya-tanya, perjalanan untuk pengambilalihan ini, mula-mula [nampak] lancar, cantik.”

“Tiba-tiba, dua tiga hari ini, timbul isu. Kita tak dapat jawapan. Permulaannya cantik dan akhirnya jadi macam ini. Liga kita pun sudah tidak lama akan bermula. Saya sebagai penyokong Kedah merasa terkilan dan kecewa. Kita masih menanti jawapan yang memuaskan hati,” ulasnya tentang perasaan penyokong saat ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Kedah FA, keputusan oleh presiden sangat jelas dan berhikmah dengan memberi keutamaan hak rakyat dan melihat keuntungan jangka panjang kepada rakyat Negeri Kedah berbanding pulangan pelaburan jangka pendek kepada KDA FC.

Jelas kenyataan itu, “Setiap tawaran dilakukan biarlah bermaksud untuk pemilikan saham tanpa melibatkan galang ganti hak rakyat Negeri Kedah.”

“[KFA] terus membuka pintu rundingan dengan mana-mana pihak yang ingin membuat penawaran lebih lestari dan menguntungkan kedua-dua pihak dalam isu pemilikan saham KDA FC di masa akan datang,” memetik kenyataan itu lagi.

Dengan kenyataan sokongan kepada presiden KFA itu dapat dilihat yang KDA FC akan diuruskan oleh Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) buat sementara.

Untuk menyaksikan sesi Live FB Semuanya BOLA yang pertama, ‘Cerita di sebalik kegagalan Penswastaan KDA FC’ secara penuh, anda boleh klik di LINK INI.

Baca lagi artikel lain mengenai Kedah Darul Aman FC:

80 Peratus Selesai, GoFlumen Semakin Hampir Jadi Pemilik Kedah

Sanusi Md Nor: Kedah Gagal Diambil Alih Oleh Syarikat Swasta

Wakil Flumen Holdings Bidas MB Kedah Keluar Kenyataan Mengelirukan

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply