Perlis Berminat Untuk Mendapatkan Khidmat Badhri Radzi

Bekas juara Piala Malaysia 2004 dan 2006 iaitu Perlis kini sedang memburu khidmat bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau dikenali sebagai Piya bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi saingan Piala FAM musim depan.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie sambil mendedahkan bekas pertahanan skuad kebangsaan, Amiridzwan Taj Tajuddin turut menjadi buruan skuad Singa Utara.

PFA sudah mengadakan perbincangan dengan pemain tersebut

Bercakap kepada Berita Harian, Ahmad Amizal menjelaskan pihaknya sudahpun mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain sejak minggu lalu.

“Kami sudah bertemu Piya dan Amiridzwan serta beberapa pemain dari negeri lain minggu lalu bagi membincangkan perjalanan karier mereka bersama PFA pada musim hadapan.

“Bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan meskipun saya boleh berkata pertemuan itu memberi petanda positif,” katanya.

kapten, piya
Kapten Kelantan, Badhri Radzi. Foto: NSTP

Piya belum memberi persetujuan untuk sertai Singa Utara

Walaupun pemain tengah berpengalaman itu belum membuat keputusannya, namun Ahmad Amizal berharap beliau dapat menyertai pasukan Perlis dalam misi untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Singa Utara.

“Pengalaman Piya yang pernah menyarung jersi kebangsaan antara faktor PFA mengadakan rundingan bersamanya.

“Jadi kita harapkan sesuatu yang positif daripada dia,” jelasnya.

Piya mula menyarung jersi The Red Warrriors (TRW) sejak 2007 dan menjadi tonggak utama pasukan ketika menjulang Piala Malaysia pada musim 2010, Piala Sumbangsih (2011) dan Piala Liga Super (2012).

Beliau bagaimanapun mengakui masih sayangkan Kelantan tetapi tidak menolak untuk berhijrah ke pasukan lain.

“Saya masih lagi menunggu tawaran pasukan yang berminat. Kontrak pemain akan tamat pada 18 November dan kebiasaannya, tawaran kontrak akan dibuat selepas tarikh itu.

“Saya juga masih sayangkan pasukan Kelantan kerana sudah serasi dengan TRW, namun keputusan berhijrah itu nanti diharap dapat meningkatkan lagi prestasi saya membantu mana-mana pasukan yang diwakili,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram