Perlawanan Persahabatan: England Tidak Berdepan Masalah Tundukkan Ireland

England

England berjaya mencatatkan kemenangan moral sebelum menentang Belgium dan Iceland dalam saingan UEFA Nations League pada minggu hadapan apabila menundukkan Ireland 3-0 di Wembley, awal pagi tadi.

Kemenangan itu dilihat sedikit mengubati kekecewaan skuad bimbingan Gareth Southgate yang sebelum ini tewas 0-1 bertemu Denmark dalam kejohanan tersebut di gelanggang sama.

Perlawanan ini juga menyaksikan pemain muda, Jude Bellingham diberikan peluang beraksi buat pertama kali setelah beliau dimasukkan pada minit ke-73 bagi menggantikan Mason Mount. Beliau menjadi ke-1,258 yang telah membuat penampilan bersama skuad The Lions.

Ketua pasukan, Harry Maguire mencuri tumpuan pada minit ke-18 apabila tandukannya selepas menerusi hantaran daripada Harry Winks menerjah ke gawang Ireland yang dikawal penjaga gol West Ham United, Darren Randolph.

Jaringan tersebut nyata menyemarakkan lagi moral para pemain England untuk menambah jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-31 menerusi pemain lincah, Jadon Sancho.

Menerima umpanan Jack Grealish dalam kawasan penalti, Sancho meledakkan percubaan leret yang melepasi celah kaki Jeff Hendrick dan kemudiannya gagal dinafikan Randolph bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Kelincahan Sancho terus terserlah apabila larian solonya berjaya melepasi pertahanan lawan tetapi rembatannya dihalang Cyrus Christie yang menghulurkan kaki sekali gus menyelamatkan keadaan buat skuad kendalian Stephen Kenny itu.

Memasuki babak kedua, Bukayo Saka hampir menambah jaringan buat England tetapi gerakan baiknya bersama Tyrone Mings gagal disudahkan dengan baik pemain berusia 19 tahun itu setelah percubaannya sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol Ireland.

Saka bagaimanapun berjaya menghadiahkan sepakan penalti buat England apabila kelincahannya memaksa Christie menjatuhkan beliau dalam kawasan penalti untuk sepakan penalti.

Dominic Calvert-Lewin yang mengambil sepakan tersebut pada minit ke-56 tidak berdepan masalah untuk melebarkan kedudukan sekali gus perlawanan tamat dengan berkesudahan 3-0 memihak England.

Kemenangan itu penting dalam menjadi tonik kepada skuad England apabila mereka akan berdepan Belgium pada awal pagi Isnin depan di gelanggang lawan manakala kembali ke Wembley untuk menentang Iceland, berselang tiga hari kemudian.

Kredit featured image: y Stephen McCarthy/Sportsfile via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai England:

10 Pemain Termuda Beraksi Untuk Skuad Senior England

Inilah ‘Squad Depth’ England Yang Buat Southgate ‘Pening’ Pilih Pemain Terbaik

Jude Bellingham Terima Panggilan Pertama Sertai Skuad Senior England

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply