Perlawanan Bola Sepak Orang Kerdil Malaysia VS Indonesia Tarik Perhatian Pengunjung

Ada sebab bola sepak digelar sebagai “the beautiful game”. Ia bukan sekadar lebih daripada permainan. Ia juga bukan mengenai kemenangan dan kekalahan semata-mata. Tetapi lebih daripada itu, ia juga mengenai jiwa.

Semalam bertempat di Stadium Mini Majlis Sukan Negara di Kampung Baru, dua pasukan berentap dalam satu perlawanan persahabatan.

Ia menemukan dua negara seteru, iaitu pasukan Malaysia menentang Indonesia. Perlawanan ini mungkin tidak memerlukan liputan hangat seperti kebiasaan ketika kedua-dua pasukan bertemu di setiap peringkat kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Namun ia sudah cukup untuk menyentuh hati ramai rakyat Malaysia yang berkesempatan menyaksikan perlawanan tersebut.

Semalam Bernama melaporkan kira-kira 22 pemain daripada Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) dan Unit Berkarya Orang Mini Indonesia – mewakili negara masing-masing untuk aksi persahabatan.

Ternyata perlawanan tersebut tidak kurang hebatnya dengan perlawanan-perlawanan bola sepak yang lain sehingga berjaya membuatkan hadirin teruja dengan persembaha yang dihasilkan.

“Saya benar-benar terkejut dengan apa yang saya lihat, ini adalah kali pertama saya menonton orang-orang kerdil bermain bola sepak,” ujar Amirul Zamel Daud yang sempat menyaksikan perlawanan tersebut bersama anak-anak dan isteri beliau.

“Saya tidak pernah terfikir mereka boleh menjadi begitu aktif, dengan cara mereka menggelecek bola ke arah gawang gol dan berlari pantas mengejar bola, ia sangat menakjubkan.

“Perlawanan ini sebenarnya lebih menarik berbanding menonton perlawanan pasukan kebangsaan kita,” katanya tersenyum.

Salah seorang pengunjung ke stadium yang pada asalnya bertujuan untuk beriadah bersama keluarga juga tidak menyangka kemampuan golongan tersebut bermain bola sepak yang dianggap sukan yang lasak.

“Daripada perlawanan yang kita lihat hari ini, saya rasa ramai orang termasuk diri saya memandang rendah keupayaan golongan ini,” ujar Maizatul Jamilah Hassan.

“Saya fikir ramai menyukai serta mahu melihat lebih banyak lagi penyertaan dan sumbangan orang kerdil dalam acara sukan kebangsaan di negara ini,” katanya.

Presiden PKOKM, Jasmi Shafie ketika ditemui pemberita berkata beliau dan Ketua Unit Berkarya Orang Mini Indonesia, Usnan Batu Bara sedang berusaha untuk membawa pemain Indonesia ke Malaysia untuk menganjurkan lebih banyak acara di peringkat ASEAN dalam masa terdekat melalui sukan yang berbeza .

“Kita boleh memperluas lebih banyak permainan sukan dengan mewujudkan kejohanan peringkat ASEAN untuk orang-orang kerdil, dengan harapan lebih ramai individu kerdil boleh menjadi sebahagian daripada atlet dan diiktiraf sebagai atlet profesional.

“Sekiranya kita boleh mewujudkannya di peringkat ASEAN, kita boleh mengadakan kejohanan bola sepak di antara negara-negara di mana terdapat kejohanan untuk bahagian ini,” katanya pada separuh kedua perlawanan itu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di dalam intensiti tinggi selama 60 minit itu, Malaysia merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Indonesia.

 

FOTO: Bernama

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN