Minit Perlawanan, Hazwan Bakri Antara Perkara Yang Perlu Dimuktamadkan Harimau Malaya

Hazwan Bakri, Harimau Malaya

Harimau Malaya terpaksa menelan kenyataan pahit apabila keputusan menentang Singapura dalam saingan Piala AIRMARINE 2019 tempohari menghadiahkan dua khabar duka buat mereka.

Pertama, Malaysia tumbang di Bukit Jalil kepada musuh ketat, Singapura yang kali terakhir berlaku 7 tahun lalu ketika Malaysia tewas 0-3 dalam saingan Piala AFF Suzuki 2012.

Kedua, Malaysia mungkin tidak akan dapat memintas kedudukan Singapura dalam ranking terbaru FIFA dan terpaksa mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dari pusingan pertama.

Malaysia perlu berada di kedudukan ke-34 Asia – kini ke-35 Asia, untuk mengelakkan pusingan tersebut dan Piala AIRMARINE itu sepatutnya menjadi batu loncatan untuk Harimau Malaya memperbaiki kedudukan – namun sebaliknya telah berlaku.

Jadi, untuk beraksi dengan baik dari pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022, apakah yang pengendali, Tan Cheng Hoe perlu pertimbangkan dan fikirkan? Berikut antara 5 perkara yang Semuanya BOLA boleh gariskan kepada pembaca.

Tinggal tak sampai 3 bulan

Untuk pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022, perlawanan tersebut bakal berlangsung pada 6 dan 11 Jun depan. Jika dihitungkan, tinggal tak sampai 3 bulan lagi Malaysia akan beraksi.

Dengan tiada jadual untuk aksi antarabangsa dalam masa terdekat ini sehinggalah pada 6 Jun itu, Cheng Hoe perlu memikirkan solusi bagaimana untuk membentuk skuadnya selepas ini.

Adakah perlawanan persahabatan dalaman menentang kelab atau pasukan tempatan sebagai penyelesaian singkat buatnya?

Ataupun, tiada ruang buatnya untuk terus bereksperimen. Inilah masanya untuk mengembeling semua tenaga atau pemain utama bagi memburu keputusan positif pada perlawanan tersebut.

Cheng Hoe tidak lagi perlu mengubah formasi dan bereksperimen kerana masa untuknya sudah agak suntuk. Dengan pool pemain yang sudah ada padanya, dia harus memilih yang terbaik.

Formasi taktikal yang ingin digunakan

Kita semua sedia maklum yang formasi Harimau Malaya di bawah kendalian Cheng Hoe adalah 4-4-1-1 ataupun 4-2-3-1. Formasi ini telah mula diterapkannya sejak dari awal pelantikannya.

Malaysia telah mempamerkan kualiti permainan yang lebih baik berbanding beberapa tahun yang lalu dan ia telah ditonjolkan ketika saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu – yang berjaya membawa Malaysia melangkah hingga ke pentas final.

KUALA LUMPUR, MALAYSIA – DECEMBER 11: Nazirul Naim#21 of Malaysia kicks during the AFF Suzuki Cup final first leg match between Malaysia and Vietnam at Bukit Jalil National Stadium on December 11, 2018 in Kuala Lumpur, Malaysia. (Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Jika anda baca berita ini, jelas Cheng Hoe mahukan pemain yang berdisiplin dan memahami gaya permainan skuad kebangsaan. Dan ini tidak hanya tertakluk kepada pemain naturalisasi sahaja, malah pemain tempatan juga perlu miliki asas tersebut.

Oleh itu, gaya permainan dan falsafah taktikal yang digunakan oleh Cheng Hoe wajib difahami terlebih dahulu oleh mana-mana pemain yang mahu menyarung jersi skuad kebangsaan selepas ini.

Tahap keserasian kalangan pemain

Ramai mempersoalkan mengenai panggilan skuad kebangsaan yang nampak ‘kurang tepat’ oleh Cheng Hoe. Tetapi mungkin faktor keserasian menjadi asas pertimbangan dalam pilihannya.

“Berdisiplin dan faham gaya permainan skuad negara.” Itulah kata kunci yang telah dinyatakan oleh Cheng Hoe sebelum ini.

Untuk sesetengah skuad kebangsaan, pemain yang ada minit perlawanan dan cemerlang bersama kelab akan dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan. Namun, tidak untuk Malaysia.

Terdapat pemain yang belum mendapat minit perlawanan bersama kelab tetap mendapat panggilan seperti Hazwan Bakri yang belum beraksi musim ini tetapi telah beraksi untuk Harimau Malaya.

Hazwan Bakri, Harimau Malaya
FOTO: FAM

Mungkinkah Hazwan Bakri termasuk di dalam kategori pemain yang memahami gaya permainan yang dimahukan Cheng Hoe?

Tahap keserasian pemain perlu ada bagi melonjak pasukan untuk mendapat keputusan yang diinginkan. Dan tidak semestinya mereka yang beraksi dalam pasukan yang sama dalam saingan liga, boleh menjamin faktor keserasian ini.

Kita ambil contoh bagaimana gandingan baharu Akram Mahinan dan Halim Saari dalam saingan Piala AIRMARINE baru-baru ini. Mereka mampu menampilkan kesefahaman dan memberikan nafas baru buat jentera tengah di saat-saat penting.

Keserasian v Minit Perlawanan

Keserasian dan minit perlawanan, kedua-duanya kita anggap sama penting dalam membentuk skuad yang ampuh. Tetapi seperti kes Oliver Giroud dan Perancis, dia jarang beraksi bersama kelab namun tetap disenaraikan penyerang utama skuad Les Blues.

Menurut Didier Deschamps, Giroud adalah seorang pemain yang serasi bersama rakan sepasukan dan bekerja keras untuk pasukan. Perancis menjulang Piala Dunia 2018 dan Giroud beraksi dalam semua perlawanan namun tiada sebarang gol dihasilkannya.

Bagi bekas pemain tengah England, Paul Parker pula, dia tidak akan dipanggil ke skuad England jika dia mengalami kecederaan ataupun prestasi merundum. Prestasi merundum di sini merujuk kepada minit perlawanan yang berkurangan.

Sebagai contoh pada Februari lalu, pengendali Brazil, Tite telah menyisihkan pertahanan veteran, Marcelo daripada panggilan ke skuad kebangsaan atas sebab kekurangan minit perlawanan.

Jadi, anda putuskan sendiri. Keserasian v Minit Perlawanan?

Cheng Hoe Perlu Paksa Hazwan Bakri?

Paksa? Jika Cheng Hoe masih mahukan khidmat Hazwan Bakri, mahu atau tidak, dia perlu ‘memaksa’ penyerang JDT itu untuk mula menempatkan diri dalam skuad utama JDT ataupun JDT II.

Paksaan ini sudah biasa dalam arena bola sepak dunia. Masih ingat bagaimana Oliver Giroud memaksa Arsenal melepaskannya untuk mencari minit perlawanan agar dia tersenarai ke Piala Dunia 2018?

Memetik laporan Reuters, bermula dengan perbincangan empat mata antara Giroud dan Deschamps, beliau diberikan ruang untuk memikirkan penyelesaian bagi isu kekurangan minit perlawanan.

Akhirnya, Giroud telah memaksa Arsene Wenger dan Arsenal untuk melepaskannya agar dia dapat memburu minit perlawanan supaya dia dapat meraih tempat di dalam skuad Piala Dunia Perancis.

Foto: Osman Adnan

Hazwan Bakri perlu merasai semula pengalaman beraksi. Bangku simpanan serta latihan intensif sahaja tidak akan membantu peningkatan graf pemain bola sepak. Minit perlawanan akan membantunya untuk mendapat rentak semula.

Tidak dinafikan, dia pernah bergelar antara penyerang tempatan berbahaya dalam Liga Malaysia ketika beraksi bersama Selangor dan mungkin disebabkan itu, Cheng Hoe masih menaruh kepercayaan dan memberikannya peluang.

Tonggak 11

Pemain mana yang wajib berada dalam kesebelasan utama? Sudahkah pengendali berusia 51 tahun ini memiliki dan memuktamadkan 11 tonggak utama skuad negara?

Setiap posisi Harimau Malaya boleh dikatakan telah memiliki pemain penting. Cuma yang tampak sedikit membimbangkan adalah posisi penyerang utama yang masih tiada peledak sejati.

Dalam kejohanan Piala AIRMARINE baru-baru ini, Zaquan Adha yang ditugaskan untuk posisi tersebut gagal menyumbang sebarang gol malah lebih banyak menjatuhkan diri setiap kali kudratnya ditagih – arahan taktikal ataupun sebaliknya?

Penyerang skuad B-23, Safawi Rasid boleh dikatakan pilihan yang cocok dengan potensi yang dipamerkannya namun, dia bukanlah penyerang utama ataupun pemain nombor 9 sejati. Tetapi, tidak salah untuk memberikannya peluang mengisi posisi tersebut.

Antara pemain yang boleh dikatakan tonggak utama berdasarkan kekerapan tersenarai dalam kesebelasan utama adalah seperti Khairul Fahmi, Shahrul Saad, Matthew Davies dan Akram Mahinan.

My Dinh
Foto AFF

Naturalisasi baharu?

Mengikut perkembangan terbaru, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menentukan siapa pula pemain naturalisasi seterusnya untuk skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini.

Cheng Hoe juga wajar memiliki suara dalam pemilihan ini kerana dia tahu apakah kekurangan yang ada pada Harimau Malaya. Dan rasanya, seperti perbincangan sebelum ini, dilema utama skuad kendaliannya adalah untuk posisi nombor 9.

Dan, adakah wujud pemain yang boleh dinaturalisasikan untuk posisi tersebut? Terdapat beberapa faktor perlu dipertimbangkan antaranya umur pemain dan juga prestasi semasa selain kesediaan untuk menjadi pemain skuad kebangsaan Malaysia.

Siapakah yang boleh pertimbangkan? Sebelum ini kedengaran beberapa pemain antaranya Liridon Krasniqi, Lee Tuck, Dickson Nwakaeme dan juga Guilherme de Paula.

Sekali lagi ditekankan, Harimau Malaya memerlukan penyerang sejati dan jika tiada calon yang dirasakan sesuai atau masih belum layak dinaturalisasikan, Cheng Hoe wajar mengubah peranan penyerang yang akan diletakkan di jentera hadapan.

Masih ingat peranan Cesc Fabregas sebagai False 9?

Penutup

Masa kian suntuk buat Cheng Hoe. Harimau Malaya telah memilih jalan paling sukar dalam kelayakan Piala Dunia 2022. Begitupun, fokus utama pastinya untuk layak ke Piala Asia terlebih dahulu.

Pusingan kelayakan ini berfungsi untuk slot Piala Asia 2023 juga, jadi, Cheng Hoe wajar menjadikan slot ini sebagai sasaran terlebih dahulu sebelum memikirkan slot Piala Dunia yang sedikit jauh.

Ini sebahagian perkara yang Semuanya BOLA dan penulis mampu fikirkan. Ini cuma cadangan daripada penulis dan pastinya tidak mewakili pendapat majoriti penyokong negara. Apa pula pendapat pembaca? Sila kongsikan bersama kami.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN