Perdana Menteri Gilakan Bola Sepak Realisasikan Puskas Arena Benarkan 100% Kapasiti Kehadiran

Puskas Arena akan mulai menjadi tumpuan di kejohanan Euro 2020 untuk saingan Kumpulan F bermula tengah malam ini. Bagi anda yang akan menyaksikan perlawanan di antara Hungary vs Portugal pada tengah malam ini (waktu Malaysia), pasti akan mendapati sesuatu yang lain selain Cristiano Ronaldo dan barisan pemain kedua-dua pasukan.

67,000 tempat duduk di dalam stadium dijangka akan penuh, dengan kehadiran penonton kebanyakkannya dari negara tuan rumah Hungary sendiri dijangka akan membanjiri Puskas Arena. Sebagai perbandingan hanya 18,497 penyokong dibenarkan masuk ke Stadium Wembley ketika England berhadapan Croatia pada Ahad lalu.

Puskas Arena yang terletak di Budapest akan menganjurkan tiga perlawanan di kejohanan Euro 2020. Dan setiap tiga perlawanan dijangka akan merekodkan kehadiran tiga kali ganda yang dicatat oleh Wembley. Majoriti kedatanga juga adalah dari penduduk Budapest dan Hungary sendiri.

Berikut adalalah jumlah penonton yang dibenarkan oleh UEFA di setiap venue Euro 2020 berdasarkan peraturan berkaitan Covid-19:

  1. Johan Cruyff Arena, Amsterdam, Netherlands (12,000)
  2. Olympic Stadium, Baku, Azerbaijan (34,000)
  3. Arena Nationala, Bucharest, Romania (13,000)
  4. Puskas Arena, Budapest, Hungary (67,000)
  5. Parken Stadium, Copenhagen, Denmark (12,000)
  6. Hampden Park, Glasgow, Scotland (13,000)
  7. Allianz Arena, Munich, Germany (14,500)
  8. Wembley Stadium, London, England (22,500)
  9. Stadio Olimpico, Rome, Italy (17,500)
  10. La Cartuja, Seville, Spain (13,165)
  11. Krestovsky Stadium, Saint Petersburg, Russia (34,000)

Jadi bagaimana Hungary — yang diketuai oleh Perdana Menteri Viktor Orban dari Parti Fidesz — mengubal undang-undang sehingga membenarkan stadium diisi penuh di kala dunia masih berperang melawan virus Covid-19? Untuk itu, rakyat Hungary harus berterima kasih kepada Perdana Menteri mereka, Viktor Orban.

Siapa sebenarnya Orban?

Viktor Orban adalah Perdana Menteri Hungary selama empat penggal dan kini berusia 58 tahun. Beliau akan meneruskan usaha mempertahankan kedudukan sebagai Perdana Menteri negaranya dalam pilihanraya yang dijangka akan diadakan pada tahun hadapan.

Sebagai pemimpin, Orban adalah seorang nasionalis, dan menjadikan negara seperti Rusia, China dan Belarus sebagai sekutu rapat Hungary.

Beliau percaya tindakan Great Britain meninggalkan kesatuan Eropah sebagai sesuatu yang hebat, dan menganggap bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai presiden yang sangat baik.

Bola sepak alat politik Orban

Ia bukan satu rahsia Orban telah melabur dengan banyak di dalam bola sepak negara Hungary sejak sedekad yang lalu. Bola sepak ibarat alat meraih populariti di dalam negara yang gilakan bola sepak itu, selain sebagai alat untuk menaikkan imej Hungary sendiri di kalangan negara-negara eropah.

Apabila UEFA memerlukan sebuah venue untuk menganjurkan empat perlawanan Champions League pada musim lalu (gelembung bola sepak) selepas venue asal tidak boleh digunakan akibat penularan wabak Covid-19, Perdana Menteri Hungary itu tidak teragak-agak menghulurkan bantuan secara sukarela.

Dua perlawanan pusingan 16 terbaik membabitkan Liverpool menentang RB Leipzig dan pertemuan Manchester City menentang Borussia Monchengladbach telah diadakan di Puskas Arena.

Venue sama juga secara kontroversi mengalu-alukan kembali penyokong ke stadium dalam perlawanan UEFA Super Cup mempertemukan juara Champions League Bayern Munich dan juara Europa League, Sevilla pada September tahun lalu, walaupun hanya suku dari kapasiti stadium direkodkan hadir.

Bagaimana Budapest benarkan 100% kehadiran di Euro 2020?

Pihak kerajaan sudah lama tahu Hungary akan menjadi salah sebuah tuan rumah, dan peluang sebegitu tidak akan datang dengan mudah untuk bertahun-tahun lamanya. Disebabkan itu kerajaan mahu menggunakan peluang tersebut sepenuhnya untuk menampilkan diri mereka.

Keadaan Covid-19 di kebanyakan negara eropah sudah menjadi semakin baik, termasuk juga di Hungary. Tetapi bagaimana Puskas Arena dengan mudah dibenarkan beroperasi dengan kehadiran 100% kapasiti?

Jawapannya amay mudah: Kerajaan Hungary terutamanya Perdana Menteri mereka gilakan bola sepak. Dan beliau menyedari betapa pentingnya kejohanan ini untuk pasukan kebangsaan dan negaranya.

Ramai berpendapat sekiranya tidak kerana Euro 2020, peraturan berkenaan Covid-19 mungkin akan dilaksanakan lebih ketat di Hungary. Adakah ini bermakna Perdana Menteri dan kerajannya telah mengabaikan isu keselamatan rakyat Hungary?

Jawapanya tidak. Pihak kerajaan Hungary sudah lama menyediakan peraturan untuk membenarkan rakyat dan penyokong bola sepak dari negara tersebut menyaksikan bola sepak di dalam stadium, khususnya perlawanan Euro 2020.

Konfederasi Bola Sepak Hungary berkata kejayaan membenarkan Puskas Arena beroperasi dengan kapasiti maksimum adalah kerana program vaksinasi yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang memberikan komitmen mahu “memberikan pengalaman sekali seumur hidup” untuk penyokong bola sepak di Hungary menikmati Euro 2020 di halaman sendiri.

Visi Orban dan Euro 2020

Bercakap kepada media sebelum kejohanan Euro 2020 bermula pada minggu lalu, Orban berkata visi beliau ialah untuk membenarkan seramai mungkin penyokong Hungary berpeluang menyaksikan sendiri perlawanan di Puskas Arena. Stadium tersebut dibina pada 2019 dengan kos £500 juta.

“Setiap dari mereka yang telah mendaftar semestinya sudah menerima suntikan vaksin masing-masing. Dengan sijil vaksin, mereka berpeluang mengambil bahagian di kejohanan ini,” kata Orban.

Sebelum ini Orban turut pernah dikrtik kerana komen dan pendapat beliau mengenai pemain yang melutut untuk menyokong ketidakadilan di dalam hal perkauman. Komen dari Orban datang selepas penyokong Hungary bertindak membantah pemain yang melutut sebelum sepak mula perlawanan persahabatan antara Hungary dan Republik Ireland.

“Dari sudut budaya kita [di Hungary], ia tindakan yang tidak boleh difahami, dan boleh dianggap sebagai provokasi,” ujar beliau melalui satu sidang media.

“Penyokong memberikan tindak balas kerana secara amnya mereka merasakan diri mereka diprovokasi. Mereka tidak sentiasa elegan untuk melakukannya, tetapi anda harus faham akar sebenar penyebab.”

“Segala bentuk perlakuan sedemikian tidak ada tempat di dalam sukan,” ujar beliau lagi.

Pasukan mana lagi beraksi di Budapest?

Puskas Arena yang mengambil nama pemain legenda Hungaru, Ferenc Puskas akan menganjurkan empat perlawanan.

Selepas perlawanan Hungary vs Portugal, perlawanan seterusnya ialah pada Sabtu apabola Hungary melayan Perancis. Portugal dan Perancis akan berhadapan satu sama lain di venue sama di perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Rabu, 23 Jun.

Perlawanan terakhir di stadium tersebut ialah perlawanan 16 pasukan terbaik di antara juara Kumpulan C menentang pasukan di kedudukan ketiga terbaik dari Kumpulan D, E atau F.

Apakah peraturan ketat dikenakan memasuki Puskas Arena?

Penyokong yang berasal dari Hungary hanya perlu menunjukkan sijil telah selesai divaksin sebelum dibenarkan memasuki stadium. Berdasarkan artikel CGTN, hampir 70% penduduk Hungary telah menerima vaksin (sekurang-kurangnya satu dos).

Hungary juga adalah negara tertinggi menerima suntikan vaksin di kalangan negara kesatuan eropah pada hari ini.

Setiap tiket yang dijual juga tertera waktu masuk ke stadium. Ini adalah untuk mengelakkan venue diserbu pada satu-satu masa. Penggunaan pelitup muka adalah mandaotri, dan tangan wajin disanitasi.

Penutup: Apa reaksi penduduk Hungary?

Sehingga kini, Hungary telah merekodkan 807,102 kes Covid-19, melibatkan 29,935 kematian. Ini menunjukkan Hungary juga tidak pernah lari dari kemelut yang disebabkan Covid-19.

Rekod tertinggi harian jangkitan Covid-19 di negara itu pula ialah 11,265 kes sehari, iaitu pada Mac lalu. Semalam, 14 Jun 2021, Hungary hanya merekodkan 255 kes harian sahaja.

Pelbagai usaha dilakukan untuk melandaikan lekuk jangkita, Antaranya ‘total lockdown’ yang diperketatkan pada Mac lalu ketika gelombang kedua melanda Eropah, dan proses mempercepatkan vaksinasi oleh pihak kerajaan

Hasilnya, kerajaan Hungary bukan sahaja memastikan negara mereka berjaya keluar dari cengkaman ancaman pandemik. Lebih daripada itu rakyat Hungary akan menikmati bola sepak 100% seperti sedia kala.

Baca artikel menarik lain mengenai Euro 2020 melalui pautan:

Penyokong England Cedera Parah Jatuh Dari Tingkat Atas Stadium Wembley

Simon Kjaer Adalah Bukti Pentingnya Pemimpin Hebat Dalam Pasukan

Ukraine Diarah Buang Slogan ‘Berbaur Politik’ Pada Jersi Euro 2020

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply