Perbandingan Head-to-Head Pusat Latihan JDT Dengan Selangor

Jika kita nak bandingkan pusat latihan JDT dengan Selangor, rakyat Malaysia yang tak mengikuti perkembangan bola sepak tempatan pun tahu siapa di atas, siapa di bawah.

Pusat Latihan Padang Seri Gelam (juga dipanggil ‘PSG’) milik Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah fasiliti bola sepak berkelas dunia.

Sementara itu Pusat Latihan FAS milik Selangor FC adalah fasiliti bola sepak yang orang putih masih panggil sebagai ‘a work in progress’.

Kedua-dua pasukan ini mempunyai sejarah bola sepak yang panjang dan berwarna-warni. Selangor terkenal dengan kejayaan lepasnya. JDT pula terkenal dengan kejayaan terkininya. Kedua-dua kelab juga mempunyai kumpulan penyokong yang besar dan fanatik di dalam dan luar negeri masing-masing.

Jadi amat menarik untuk kita lihat sejauh mana taraf yang telah JDT dan Selangor capai di sebuah parameter paling asas bagi sebuah kelab bola sepak: pusat latihan.

Dalam artikel ini, kita akan meneliti pencapaian semasa pusat latihan kedua-dua pasukan ini head-to-head.

Parameter 1: kantin

Di Padang Seri Gelam, diet setiap pemain dikawal melalui pengambilan makanan di kantin semasa hari latihan.

Setiap pemain dan staf pasukan akan makan menu-menu yang dirangka spesifik oleh nutritionist sebelum dimasak oleh chef luar negara. Bahan makanan yang digunakan pula semuanya dibeli segar dan berkualiti tinggi setiap hari. Tiada protein dan sayur yang disejuk beku. Ia untuk memastikan kandungan nutrien setiap bahan tidak hilang ketika proses nyahbeku.

Memanggil tempat itu ‘kantin’ seolah-olah tidak kena pula jika diperhatikan ketinggian kualiti operasinya.

Jika Selangor FC baru melantik nutritionist pada awal musim ini, JDT sudah melakukannya sejak dua tahun lepas.

Selangor FC pula baru mengambil langkah pertama untuk menjaga pemakanan pemain mereka. Seperti yang kami beritahu tadi, mereka baru sahaja melantik nutritionist pasukan pada awal tahun ini.

Di Pusat Latihan FAS pula, Red Giants baru memulakan pembinaan sebuah bangunan dua tingkat baharu yang akan menempatkan sebuah kantin. Dengan adanya kantin ini, Selangor boleh memastikan pemain dan staf mereka mendapat makanan bernutrisi semasa hari latihan dan perlawanan.

Bangunan dua tingkat yang sedang dalam pembinaan di Pusat Latihan FAS yang bakal menempatkan kafeteria, dapur, ruang makan dan bilik jurulatih apabila siap kelak. (Kredit Foto: sukanz.com)

Seperti di Padang Seri Gelam, kantin di Pusat Latihan FAS juga akan turut mempunyai barisan chef profesional dan pantri yang berisi bahan mentah segar setiap hari.

Parameter 2: gimnasium dan pusat perubatan 

Di Padang Seri Gelam, gimnasiumnya mempunyai peralatan-peralatan yang paling lengkap pernah kami lihat – malah lebih lengkap daripada gimnasium di Institut Sukan Negara (ISN), apatah lagi jika dibandingkan dengan gimnasium pasukan Liga Super lain.

Antara peralatan yang tak pernah kami lihat sebelum ini adalah anti-gravity treadmill. Berbeza dengan treadmill biasa, anti-gravity treadmill mampu mengurangkan berat pengguna di atas mesin tersebut. Berlari diatasnya seolah-olah sedang berlari di permukaan bulan yang bergraviti rendah.

Dengan mengurangkan impak graviti di bahagian teras bawahan (lower core) badan, ia mampu mengurangkan tekanan terhadap sendi dan otot bagi pemain yang cedera dan masih belum 100 peratus pulih.

Seterusnya terdapat sebuah mesin bernama infrared sauna dalam gimnasium.

Secara asasnya, sauna menggunakan haba atau wap panas untuk membuatkan badan berpeluh dan mempercepatkan proses detoksifikasi badan.

Namun sauna inframerah JDT ini menggunakan tenaga elektrik dan mempunyai fungsi tambahan untuk meningkatkan kesihatan vaskular, membantu pernafasan yang lebih baik, meredakan tekanan serta meningkatkan sistem imun.

Ini membantu pemain pulih secara fizikal dengan lebih cepat selepas perlawanan daripada sauna biasa. Ia juga membantu pemain mendapat tidur yang nyenyak dan berkualiti.

JDT turut menyediakan kapsul terapi oksigen untuk mempersiapkan fizikal para pemainnya di kala jadual perlawanan yang sibuk.

Alat yang diberi nama ‘Airpod’ ini bertindak sebagai mesin terapi fizikal canggih yang membekalkan oksigen tambahan sebanyak 30 hingga 35 peratus kepada tubuh badan pemain menerusi serapan ke dalam plasma darah, organ, tisu badan dan otak.

Ini bermakna kecederaan lebam atau bengkak selepas perlawanan akan pulih lebih pantas daripada biasa. Bagi pasukan lain, alat ini mungkin bukan satu keutamaan.

Tetapi bagi JDT yang pemainnya sentiasa menerima asakan keras pemain lawan dan berhadapan dengan jumlah perlawanan yang lebih banyak (seperti terlibat dengan kejohanan Liga Juara-Juara AFC), Airpod adalah satu kemestian.

Pakar-pakar perubatan dan fisioterapi termasuk dari luar negara ditugaskan sepenuh masa untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pemain bagi menjalani proses pemulihan dan rehabilitasi yang terbaik.

Selain itu, pusat latihan ini turut dilengkapi peralatan-peralatan kecergasan dan perubatan berteknologi tinggi lain seperti Functional Trainers, Smith Machines, mesin Echocardiogram serta mesin terapi asid Hyaluronic dan platelet-rich plasma.

Pusat Kecergasan dan Perubatan JDT
Pusat Kecergasan dan Perubatan JDT

Permukaan bangunan pula diturap dengan permukaan indoor running yang diperbuat daripada bahan polyethylene berkemampatan tinggi dan diperkukuh dengan getah. Ia bertujuan untuk mengurangkan impak kepada sendi.

Selangor juga, bermula musim ini, telah mengambil tindakan proakftif sama walaupun berbeza tarafnya dengan seteru mereka di selatan. Sebuah pusat rehabilitiasi dan klinik kesihatan mereka sendiri akan dibina di sebuah bangunan bersebelahan pusat latihan mereka.

Yang menariknya Selangor mengumumkan projek baharu mereka ini kepada media selepas JDT mengumumkan pembinaan kemudahan tambahan sama di Padang Seri Gelam. Sama ianya satu kebetulan atau tidak, ia menunjukkan kepada kita siapa pelopor dan penetap standard fasiliti bola sepak di Malaysia.

Kemudahan ini turut menyediakan doktor dan fisioterapis yang berpengalaman (termasuk dari luar negara). Menurut FAS, pusat perubatan mereka akan turut dibuka kepada orang awam. Dengan membuka operasi pusat perubatan mereka kepada orang awam, Selangor berharap strategi ini mampu mengoptimumkan fungsi pusat perubatan baru mereka ke tahap maksimum selain dapat menjana pendapatan pasukan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun kita perlu melihat sehingga pusat perubatan Selangor ini dibuka untuk melihat sejauh mana aturan operasi sebegini akan memanfaatkan mereka.

Bangunan yang sedang direnovasi untuk menempatkan gimnasium baharu, pusat rehabilitasi dan klinik (Kredit Foto: sukanz.com)

Parameter 3: padang latihan

Padang Seri Gelam mempunyai tiga padang berbeza dengan fungsi berbeza setiap satunya. Dua daripadanya adalah padang terbuka. Manakala satu lagi adalah padang tertutup atau ‘indoor’.

Padang tertutup yang berbumbung itu mempunyai nama khas: Pusat Latihan Tertutup Dato’ Suleiman Mohd Noor. Permukaan padangnya dilengkapi dengan rumput tiruan.

Bersesuaian dengan namanya, Pusat Latihan Tertutup Dato’ Suleiman Mohd Noor dibina sebagai persediaan berdepan dengan iklim hujan dan panas yang tak menentu sepanjang tahun di Malaysia.

Dengan adanya padang latihan tertutup ini, tidak kira musim apa sekalipun, cuaca panas atau hujan tidak lagi perlu dijadikan alasan untuk JDT menangguhkan latihan mereka.

Dua padang terbuka pula menggunakan jenis rumput yang berbeza. Padang pertama menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia iaitu jenis yang sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim.

Manakala padang kedua pula menggunakan rumput jenis cowgrass yang digunakan oleh kebanyakan stadium di Malaysia – termasuk Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Kewujudan dua padang terbuka dengan jenis rumput yang berbeza ini adalah untuk memastikan pemain JDT dapat berlatih dan menyesuaikan diri dengan semua keadaan padang pasukan lawan – pasukan Liga Super mahupun pasukan AFC Champions League.

Contohnya jika JDT akan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, maka latihan boleh difokuskan untuk dilaksanakan di atas padang rumput Zeon Zoysia. Jika perlawanan seterusnya Stadium Hang Jebat, mereka akan berlatih di padang rumput cowgrass pula.

Persediaan JDT ini membolehkan mereka melenyapkan faktor ‘kelebihan tuan rumah’. Tak hairanlah kali terakhir JDT tewas di halaman lawan dalam saingan Liga Super adalah hampir tiga tahun lepas – pada Februari 2018.

Selangor pula mempunyai dua padang di pusat latihan mereka. Setiap padang diselenggara secara kerap dan turut dilengkapi teknologi perparitan yang baik.

Selangor turut merancang untuk membina sebuah padang latihan tertutup menggunakan rumput sintetik di pusat latihan mereka. Berbeza dengan Pusat Latihan Tertutup Dato’ Suleiman Mohd Noor, saiznya hanya separuh padang.

Kawasan dalam bulatan adalah lokasi tapak untuk pembinaan padang latihan tertutup.

Persaingan yang menguntungkan Malaysia

Kami ada cakap sebelum ini Pusat Latihan FAS adalah ‘a work in progress‘ dan Padang Seri Gelam sudah bertaraf dunia. Tetapi disebalik fakta ini, JDT tidak pernah berhenti meninggikan standard yang mereka tetapkan.

Bagi DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail (TMJ), pusat latihan yang kita sudah anggap bertaraf dunia ketika ini masih perlu ditambah baik.

Baru-baru ini, JDT mengumumkan pembinaan sebuah bangunan dua tingkat yang berbentuk logo JDT berdekatan dengan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri. Bangunan yang terhasil daripada idea dan rekaan TMJ ini akan menempatkan ibu pejabat pusat latihan, gimnasium, kolam renang, auditorium, kafeteria dan pusat perubatan.

Turut akan dibangunkan adalah mini stadium dan asrama untuk pasukan akademi serta beberapa padang bola sepak yang menggunakan jenis rumput yang berbeza.

Pembinaannya yang akan bermula pada pertengahan tahun 2021 selepas PKP 2.0 ini membuktikan JDT tidak pernah rasa selesa di atas. Standard Harimau Selatan sentiasa meningkat. Tak pernah statik.

Fasiliti untuk pasukan senior dah bertaraf dunia? Mereka bina pula fasiliti bertaraf sama untuk pasukan JDT II hingga JDT V di Padang Seri Mawar. Jika Padang Seri Gelam menjadi penanda aras, tak mustahil Padang Seri Mawar bakal menjadi pusat latihan kedua terbaik di Malaysia – selepas Padang Seri Gelam. Kita perlu berdepan dengan realiti sebenar – fasiliti Selangor masih jauh ketinggalan berbanding JDT.

Dengan kecenderungan TMJ untuk terus menaikkan standard JDT sejak 2013, ia pasti akan menyukarkan kerja pasukan Liga Super lain untuk menjadi pasukan terbaik di Malaysia.

Tak dapat dipastikan apakah satu hari nanti, akan ada pasukan yang mampu mengatasi standard yang ditetapkan oleh Harimau Selatan. Tetapi apa yang pasti, persaingan standard di peringkat domestik ini pastinya akan memberi manfaat kepada Harimau Malaya.

Kredit Foto: Johor Southern Tigers

Page SemuanyaBOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai JDT:

4 Perkara Di Sebalik Pembelian Syahrian Abimanyu Oleh JDT

JDT Lakar Lembaran Baharu, Jalin Kerjasama Dengan UNICEF

TMJ Beri ‘Hint’ Akan Bawa Masuk 2 Pemain Naturalisasi Ke JDT

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN