Perak Yakin Dapat Menandatangani Shahrel Fikri Dalam Masa Terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Penyerang skuad Harimau Malaya, Shahrel Fikri dikhabarkan semakin hampir menyertai skuad The Bos Gaurus bagi mengharungi musim baharu Liga Malaysia bulan depan meskipun belum membuat sebarang keputusan.

Pengurus pasukan Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah mengesahkan perkara itu dalam Utusan Malaysia sambil menjelaskan peluang Shahrel untuk menyertai Perak begitu cerah.

“Ya kita sudah berbincang dan saya yakin dalam masa terdekat kita akan dapat persetujuan beliau.

“Peluang beliau menyertai Perak amat cerah. Cuma ada sikit masalah iaitu persetujuan dia dengan Pafa mengenai syarat yang diletakkan untuk sama rata dalam kalangan semua pemain agar tidak ada perasaan berbelah bahagi, biar sama rata dari segi kontrak semua pemain,” katanya.

Shahrel Fikri sempat beraksi di Liga Thailand selama 5 bulan.

Sebelum ini, Shahrel yang baru sahaja menamatkan zaman bujangnya minggu lepas berada dalam dilema sama ada kekal dengan PKNP FC atau menyertai pasukan negeri kelahirannya, Perak.

Beliau berat hati untuk meninggalkan PKNP FC kerana PKNP FC adalah pasukan yang telah menaikkan namanya dipentas bola sepak tempatan dan beliau juga telah membantu pasukan itu naik ke Liga Super.

“Rasa sayang itu ada dan saya ingin berterima kasih kepada pengurusan PKNP FC dan jurulatih Abu Bakar Fadzim yang selama ini memberi kepercayaan kepada saya.

“Ini antara sebab saya tidak tahu ingin memilih dan dalam dilema terutama pengurusan yang jaga saya selama ini dan ambil berat tentang saya.

“Perak juga satu peluang yang menarik kerana pasukan itu menjuarai Piala Malaysia, jika ada tawaran saya ingin pergi sebab Perak memang pasukan terbaik,” katanya.