Perak Kekalkan Sebahagian Besar Skuad Musim 2019

Kerjasama Semuanya BOLA

Perak

Keresahan yang membelenggu para penyokong Perak berhubung persiapan pasukan sedikit terubat selepas sebahagian besar pemain skuad ‘Yob’ pada musim 2019 dikekalkan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Hasil tinjauan wakil SemuanyaBOLA pada sesi latihan pertama petang semalam, pemain-pemain yang hangat dengan spekulasi perpindahan seperti Shahrul Mohd Saad, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Nazirul Naim Che Hashim turut dilihat menjalani latihan di Stadium Perak, Ipoh itu.

Dalam perkembangan sama, dua pemain import dari Brazil yang masih ditagih khidmat mereka iaitu Leandro Dos Santos Oliveira dan Raianderson Da Costa Morais (Careca) serta pemain baharu, Mohamad Hafiz Ramdan juga sudah bersama pasukan.

Meskipun kelibat pemain tempatan dan import baharu masih lagi tidak kelihatan pada sesi pertama tersebut, perkembangan serba ringkas tentang skuad bimbingan Mehmed Durakovic ini mungkin dapat menghadirkan kelegaan buat para penyokong Perak.

Hal ini kerana para penyokong Perak pastinya tersentak berikutan pemergian Brendan Gan dan Mohammad Nor Hakim Hassan yang berhijrah ke Selangor manakala Mohamad Nasir Basharudin pula memilih Terengganu FC.

Sementara itu, kelibat bekas jurulatih penjaga gol PKNS FC, Mohd Faozi Mukhlas turut kelihatan di mana beliau sah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hamsani Ahmad.

Pada musim 2019, Perak menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima dengan 33 mata hasil lapan kemenangan, sembilan keputusan seri dan lima kekalahan.

Pasukan yang turut dikenali sebagai The Bos Gaurus itu berjaya melangkah ke perlawanan akhir Shopee Piala FA tetapi dikecewakan Kedah dengan keputusan 0-1 manakala gagal untuk mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi pada musim lalu selepas tewas di tangan Selangor pada peringkat suku akhir.

Kredit foto: Perak TBG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram