Perak Buru Khidmat Faris Ramli Dan Shahrel Fikri

Juara Piala Malaysia 2018, Perak merancang untuk membawa masuk beberapa pemain berkualiti bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi kelayakan AFC Champions League 2019 (ACL) dan musim baharu Liga Malaysia.

Antara pemain yang berada dalam radar Persatuan Bolasepak Bolasepak Perak (PAFA) ialah pemain skuad kebangsaan Singapura, Faris Ramli untuk mengisi kuota pemain import ASEAN.

Turut menjadi buruan mereka ialah, penyerang PKNP FC yang dipinjamkan ke kelab Liga Thailand, Nakhon Ratchasima iaitu Shahrel Fikri yang kini bersama skuad kebangsaan dalam kempen Piala Suzuki AFF.

Faris dan Shahrel merupakan pemain pilihan Mehmet Durakovic

Menurut Berita Harian, dua pemain yang sedang dipancing oleh PAFA itu merupakan atas permintaan daripada ketua jurulatih, Mehmet Durakovic.

Shahrel ketika beraksi dengan kelab Nakhon Ratchasima FC. Kredit: Nakhon Ratchasima FC

Perkara itu disahkan oleh Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad yang berkata Mehmet telah meminta pihak pengurusan mencari dua pemain ini sebelum beliau pergi bercuti.

“Sebelum bercuti, Durakovic ada memberitahu mengenai Faris dan ingin mendapatkan pemain itu bagi kuota import ASEAN, memang Faris kini berada dalam radar pasukan.

“Nama Shahrel juga berada dalam senarai namun kini PAFA mahu menyelesaikan dahulu kontrak untuk pemain-pemain yang dikekalkan sebelum membawa masuk pemain baharu,” katanya.

6 Pemain Perak bakal ditamatkan kontrak 

PAFA turut mengumumkan sekurang-kurangnya enam pemain atau 15 peratus daripada skuad Perak yang menjulang Piala Malaysia lalu akan digugurkan.

Ianya termasuk dua pemain import kuota Asia dan Asean yang tidak menunjukkan prestasi baik sepanjang musim ini iaitu penyerang dari Filipina, Misagh Bahadoran serta pemain pertahanan dari Lubnan, Jad Noureddine.

Liridon Krasniqi belum pasti sertai Perak

Muhammad Yadzan turut tidak menafikan bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi berada dalam radar pasukan itu tetapi hanya Mehmet Durakovic yang akan memutuskannya.

Hello? Perlukan khidmat Saya? Telefon ejen saya.

“Memang kita ada menerima data peribadi mengenai pemain itu (daripada ejen) dan PAFA belum membuat sebarang keputusan kerana menyerahkan perkara itu kepada Durakovic untuk memutuskannya.

“Cuma yang saya boleh sahkan hanya Faris dan Shahrel kerana kedua-dua pemain itu disebutkan sendiri oleh Durakovic, PAFA menyerahkan keputusan mengambil pemain kepada Durakovic kerana dia lebih arif,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram