Penyokong Singa Utara Lancar ‘Tabung Sayang Perlis’ Bantu PFA

Seperti yang penyokong bola sepak tanah air sedia maklum bahawa Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kini sedang berdepan masalah kewangan yang serius sehingga menyebabkan para pegawai dan pemain pasukan itu belum menerima gaji mereka sejak bulan lalu.

Bagi membantu kewangan persatuan itu, penyokong Singa Utara mengambil inisiatif melancarkan ‘Tabung Sayang Perlis’ sehingga tular di media sosial.

Namun Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie mengakui tidak mengetahui identiti penyokong tersebut tetapi beliau tetap menghargai usaha mereka untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh persatuan tersebut .

“Sebelum ini, ramai penyokong menghubungi saya memberi idea ini (lancar tabung). Tidak tahu pula mereka sudah mengambil inisiatif ini. Saya tidak pasti siapa penyokong yang menggerakkan usaha ini, namun kita sangat menghargainya,” katanya kepada Utusan Online.

Ahmad Amizal turut mengesahkan nombor akaun bank yang disebarkan oleh penyokong tersebut adalah atas nama PFA (CIMB 8006333252) dan tidak menolak sekiranya penyokong ingin tampil memberikan sumbangan.

Seperti sedia maklum, perjalanan pasukan bagi Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sedang berdepan dengan kekangan kewangan…

Posted by PerlisAktif on Wednesday, February 13, 2019

Makluman mengenai tabung sumbangan berkenaan masih tersebar luas di media sosial dengan orang ramai khususnya penyokong Perlis boleh memberikan sumbangan ikhlas bagi membantu Singa Utara.

Kempen itu tertera : ‘Sumbangan ikhlas tanda sokongan tidak berbelah bahagi untuk pasukan kesayangan kita. Kempen RM10 dari penyokong untuk penyokong’

Perlis baru-baru ini mengemparkan bola sepak negara apabila beberapa pemain membuat kenyataan media mengenai kegagalan PFA melunaskan gaji skuad utama sehingga kepada isu tempat latihan dan tidak ada kelengkapan untuk berlatih.

Difahamkan, beberapa pemain Perlis musim ini akan meninggalkan pasukan itu sekiranya PFA gagal melunaskan tunggakan gaji mereka selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Pasir Gudang, malam ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram