Penyokong Liverpool Sambut Kejuaraan Di Anfield, Cetus Kebimbangan Kluster Baharu

Liverpool Anfield

Ribuan penyokong Liverpool berkumpul di sekitar Stadium Anfield untuk menyambut kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama selepas 30 tahun selepas Chelsea mencatat kemenangan 2-1 ke atas Manchester City pada awal pagi tadi.

Menurut laporan BBC, hanya setengah jam selepas keputusan tersebut, kira-kira 2,000 penyokong telah berkumpul di luar stadium dengan sebahagian daripada mereka menyambut kemenangan itu di atas pintu masuk pemain.

Sebahagian penyokong menyalakan suar dan bunga api, memanjat pagar stadium dan berdiri di atas tong. Ada juga yang menari sambil menyanyikan lagu ‘You’ll Never Walk Alone’ serta mengibarkan bendera yang tertera nama dan gambar pemain.

Apa yang merisaukan adalah tindakan sebahagian penyokong yang hadir dalam sambutan tersebut berpelukan antara satu sama lain dan sama sekali tidak mengendahkan peraturan penjarakan sosial yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Tiada sebarang arahan menyuraikan kumpulan tersebut dan Polis Marseyside memberi nasihat kepada pengguna jalan raya supaya mengelak daripada melalui jalan-jalan berdekatan Anfield dan mula menutup jalan pada jam 11 malam.

Pihak berkuasa mengatakan mereka memantau situasi di lokasi berkenaan walaupun pada Khamis Datuk Bandar Liverpool, Steve Rotheram telah pun berpesan kepada penyokong The Kops supaya duduk di rumah bagi mengelakkan penularan wabak.

Timbalan Ketua Polis Marseyside, Konstabel Rob Carden dalam ciapannya di Twitter berharap semua penyokong Liverpool yang hadir ke Anfield dapat menjaga keselamatan dengan menjaga penjarakan sosial.

Ianya adalah kejuaraan liga kali ke-19 buat Liverpool dan kali pertama sejak musim 1989/90 semasa di bawah kendalian Sir Kenny Dalglish.

Sebelum perlawanan, Liverpool hanya memerlukan satu kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan mereka, tetapi dengan kekalahan pesaing terdekat, Manchester City, mereka dapat meraikannya lebih awal.

Beberapa pemain Liverpool termasuk Alisson Becker, Virgil van Dijk dan pemain tengah Oxlade-Chamberlain meraikan kemenangan itu bersama-sama selepas menonton perlawanan Chelsea-City menerusi siaran televisyen.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Liverpool dan Liga Perdana Inggeris:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply