Penyokong Kelab Indonesia Ini Kumpul RM70,474 Untuk Bayar Bonus Pemain

Iklan

Bagaimana untuk mengukur erti sebuah kesetiaan di dalam bola sepak? Cukupkah untuk kita sekadar membeli jersi? Hadir ke perlawanan tanpa mengira kalah atau menang? Setia sampai akhir tika saat susah dan senang – seperti pasangan yang sedang hangat bercinta?

Ada pelbagai cara untuk melakukannya. Ini pula kisah sebuah kelab penyokong bola sepak di Liga 1 Indonesia, PSS Sleman yang mula disiarkan oleh Vocket FC.

Melalui kumpulan ultras yang dikenali sebagai Brigata Curva Sud (BCS), satu tabung kutipan telah dilancarkan bertujuan menghargai pemain-pemain yang berhempas pulas di padang.

Mula dilancarkan pada 1 Ogos yang lalu, tabung tersebut digerakkan ke serata Indonesia selama 13 hari – dengan motto ‘If you give us 90 minutes, we’ll give you a lifetime.’

Mengikut perancangan, sumbangan yang telah disalurkan itu akan disampaikan kepada pemain PSS Sleman dalam Persela Lamongan pada hari ini

Setelah digerakkan selama hampir dua minggu, BCS telah berjaya mengumpulkan dana berjumlah IDR239,671,793 atau sekitar RM70,474 dan semuanya adalah sumbangan ikhlas dari penyokong kelab PSS Sleman di setiap pelusuk Indonesia.

PSS Sleman adalah sebuah kelab yang berpengkalan di Yogyakarta, Indonesia. Namun mereka mempunyai hubungan (engagement) penyokong yang kuat sehingga ke Borneo.

Buktinya, kumpulan penyokong PSS Sleman di Borneo turut berjaya mengumpul RM29,381.

Banyak yang boleh kita pelajari daripada penyokong PSS Sleman ini. Tugas penyokong tidak hanya terhad kepada memberi sokongan ketika perlawanan. Bukan juga sekadar riuh  di media sosial. Lebih dari itu, ialah untuk membuktikan diri mahu hidup semati ketika susah dan senang.

Bagi penyokong bola sepak di Malaysia, cara terbaik untuk  menzahirkan diri anda sebagai ‘true fans’ ialah dengan memenuhi pelusuk stadium di setiap perlawanan. Mungkin.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram