Penyokong Bola Sepak Perlu Tunggu Lama Sebelum Boleh Ke Stadium

Penyokong Bola Sepak

Penyokong bola sepak perlu menunggu satu tempoh yang amat lama sebelum mereka dibenarkan kembali ke stadium untuk menonton aksi pasukan kesayangan mereka.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh pakar perubatan dalam isu penyakit berjangkit iaitu Dr Peter Chin-Hong dari University of California menerusi laman Sky Sports.

Menurut beliau, ianya mengambil masa hingga berbulan-bulan sebelum acara sukan boleh diadakan seperti biasa dengan kehadiran penyokong di stadium.

“Sayangnya, ianya cukup mencabar untuk mengadakan acara sukan seperti yang kita biasa lakukan [kehadiran penyokong di stadium]. Saya tahu ada yang cuba menjadi kreatif tapi susah nak jaga jarak lilitan enam kaki itu.”

“Ingat, ianya bukan jarak enam kaki sebelah menyebelah saja, tapi enam kaki depan dan juga belakang.”

Menurut Chin-Hong, menjaga penjarakan sosial di dalam stadium lebih sukar berbanding di sekolah atau pasar raya.

Hal ini kerana, emosi dalam diri penyokong ketika menyaksikan perlawanan sukar dikawal dan ianya boleh membuatkan mereka akan melupakan perkara yang perlu dipatuhi dalam memastikan wabak ini tidak tersebar.

“Perkara paling membimbangkan saya adalah aspek emosi penyokong ketika perlawanan. Di Eropah dan United Kingdom, penyokong cukup beremosi apabila menonton perlawanan.”

“Apabila kita tak tahu macam mana nak bertindak atau memberikan reaksi kepada sesuatu perkara, dan apabila kita perlu berbuat sedemikian, di situlah kita akan hilang pertimbangan dan ianya cukup mencabar.”

Baki perlawanan bola sepak di Eropah akan ditamatkan dengan saingan tanpa penyokong di stadium. Tetapi untuk musim depan ianya belum pasti.

Tetapi bagi Chin-Hong, ianya memerlukan penyelesaian optimum sebelum semuanya dapat dikembalikan seperti biasa.

“Sayangnya, kita perlu ada vaksin sebelum semuanya boleh diadakan seperti sedia kala.”

Baca juga artikel kami mengenai penyokong bola sepak:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram