Penyerang Skuad Remaja Afghanistan Antara Individu Maut Jatuh Kapal Terbang

Pihak berkuasa tempatan Afghanistan mengesahkan seorang pemain bola sepak remaja menjadi salah seorang individu yang maut selepas terjatuh dari kapal terbang tentera US.

Zaki Anwari, pemain berusia 19 tahun merupakan anggota skuad remaja kebangsaan Afghanistan.

Insiden tersebut berlaku ketika ribuan rakyat Afghanistan menyerbu lapangan  terbang Kabul untuk meninggalkan negara mereka selepas Taliban kembali berkuasa.

Musibah yang menimpa Zaki Anwari itu mula dilaporkan oleh akhbar tempatan Afghanistan, Ariana News.

Beberapa vide0 yang tular di media sosial menunjukkan bagaimana mereka yang cuba meninggalkan Kabul berpaut pada sebuah kapal terbang tentera US yang sedang berada di landasan untuk berangkat.

Media tempatan Afghanistan melaporkan sekurang-kurangnya dua maut akibat perbuatan nekad tersebut. Pihak tentera udara US turut mengesahkan mayat turut dijumpai di bahagian gear mendarat pesawat yang mendarat di Qatar itu.

Pengarah Sukan dan Pendidikan Fizikal Afghanistan melalui satu kenyataan di Facebook menyampaikan rasa simpati kepada keluarga Anwari.

“Semoga ditempatkan di kalangan orang beriman, dan berdoa juga kepada Tuhan untuk keluarga, sahabat, dan rakan sepasukan,” ujar kenyataan  tersebut.

Turut menyampaikan ucapan takziah ialah Kesatuan Pemain Bola Sepak Antarabangsa (FIFPRO), yang turut memuatnaik gambar pemain muda itu.

Sekitar 4,500 anggota tentera US kini ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Karzai, di Kabul untuk mengawal keadaan dan membantu mengeluarkan warga asing di negara berkenaan.

Sementara itu pihak Taliban cuba menyekat mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan untuk meninggalkan negara tersebut.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply