Penyerang Lain Boleh Contohi Ighalo

Ole Gunnar Solskjaer jelas gembira dengan impak yang dibawa oleh Odion Ighalo kepada selepas pemain itu menjaringkan dua gol untuk membantu Manchester United menewaskan Derby County 3-0 di pusingan kelima Piala FA pada awal pagi tadi.

Ketibaan Ighalo di Old Trafford pada jendela perpindahan Januari mendapat pelbagai jenis respon skeptikal dari ramai penganalisis bola sepak, selepas pemain itu beraksi di Liga Super China (CSL) selama tiga musim sebelum itu.

Namun hanya dari tiga perlawanan – dua di dalam kesebelasan utama – Ighalo yang merupakan seorang penyokong Manchester United sejak zaman kanak-kanak telah menghasilkan tiga jaringan, termasuk ketika menentang Club Brugge di Liga Europa.

Gol pertama Ighalo mempamerkan ‘awareness’ seorang penyudah natural, apabila pemain itu memanfaatkan bola yang terlepas dari kawalan dalam kotak penalti selepas diasak dua pemain pertahanan lawan.

Ia dikuti dengan percubaan menuju ke penjuru bawah yang menerjah jaring, hanya untuk membuat usaha dua pemain pertahanan tengah Derby menjadi sia-sia.

Gol kedua pula adalah rebatan deras kaki kiri ke bumbung jaring lawan selepas percubaan pertamanya dihadang di atas garisan.

Malah Ighalo sebenarnya berpeluang melengkapkan hatrik pada babak akhir perlawanan jika tidak kerana percubaan liar yang tingi melewati palang gol.

Berdasarkan prestasi yang ditampilkan oleh pemain antarabangsa Nigeria itu, Solksjaer yakin United telah membawa pemain yang tepat untuk mengganti Marcus Rashford yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.

“Beliau [Ighalo] melakukan apa yang diminta dan apa yang kelab ini kehendaki apabila menandatanganinya,” kata Solksjaer.

“Beliau datang dan bermain di bahagian hadapan, dan beliau adalah jenis penyerang yang berlainan. Beliau menjaringkan gol, memperolehi peluang pada setiap perlawanan dan hari ini menyudahkan dua daripadanya.

“Saya sangat gembira untuk Ighalo. Ia memberikan kami peluang untuk pemain lain seperti Mason [Greenwood] dan Anthony [Martial] kekal cergas sepenuhnya.

“Beliau mempunyai pengalaman dan telah menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya. Beliau berada di dalam dan juga di luar kotak penalti, bijak membaca gerakan, dan menghidu peluang yang akan menjelma.

“Pemain penyerang seperti ini amat penting untuk pasukan.”

Walaupun Ighalo telah menampilkan prestasi yang di luar jangkaan ramai, Solksjaer berpendapat pemain itu masih mampu memberikan banyak sumbangan kepada pasukan.

Pada usia 30 tahun, Solksjaer berpendapat Ighalo turut bependapat pemain penyerang muda di dalam skuad United turut boleh belajar sesuatu daripada pemain itu – terutama aspek fizikal yang menyukarkan pemain pertahanan lawan melakukan kawalan.

“Akan ada banyak perkara lain kita akan lihat dari Ighalo,” kata Solskjaer lagi.

“Prestasi beliau di sini akan terus meningkat. Beliau akan menjadi semakin tajam, dan boleh beraksi lebih kerap. Tiada keraguan daripada saya bahawa beliau akan beraksi lebih baik selepas ini.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram