Penundaan Jadual Liga Super Beri Semangat Tambahan Kepada Perak

Semalam Malaysia Football League (MFL) mengumumkan perlawanan Liga Super di antara Perak menentang Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras yang dijadualkan berlangsung malam ini telah ditunda ke tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Hal ini kerana skuad The Bos Gaurus akan menghadapi perlawanan penting kelayakan AFC Champions League menentang kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada hari Selasa ini.

Pengendali skuad itu, Mehmed Durakovic menghargai langkah MFL menunda perlawanan tersebut kerana disifatkannya sangat membantu dalam perjuangan mereka memburu tempat beraksi di saingan kelab kelas tertinggi asia.

“Terima kasih Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Penundaan ini besar maknanya buat Perak bagi membantu perjuangan kami dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Bayangkan sebelum ini jika kami terpaksa bermain malam ini dan keesokan harinya terbang pula ke Korea Selatan untuk menghadapi Ulsan Hyundai, Selasa depan.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan anak buah saya jika terpaksa mengharungi jadual yang padat itu.

“Mudah-mudahan keputusan ini membawa rahmat kepada Perak,” katanya dalam Stadium Astro.

FOTO: Perak TBG

Bagi jurulatih dari Australia itu, beraksi di peringkat tinggi ini akan memanfaatkan Perak, terutama pemain tempatan.

“Ini pendedahan baik buat pasukan, terutama pemain muda kami.

“Mereka akan beraksi menentang pemain-pemain handalan di Asia,” tambahnya.

Menurut Durakovic, pasukan Ulsan Hyundai yang muncul juara ACL 2012 menduduki ranking ke-29 kelab Asia.

Tambahnya, Ulsan memiliki enam pemain kebangsaan serta empat import berwibawa.

“Beza mereka dengan kami bagaikan langit dengan bumi.

“Kami punyai tugas seberat mendaki Gunung Everest dalam perlawanan itu nanti.

“Apapun, kami akan cuba. Jika kalah sekalipun, biarlah tersingkir secara bermaruah,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram