Penterjemah Dikatakan Antara Punca Thailand Jadi ‘Sayur’ Di UAE

Akira Nishino Yuki Tanaka Thailand 2021 penterjemah

Salah satu punca kegagalan Thailand di kelayakan Piala Dunia yang dibentangkan kepada FA Thailand adalah masalah penterjemah kepada jurulatih, Akira Nishino.

Pada 5 Julai lalu telah berlangsung mesyuarat antara pengurusan pasukan dan FA Thailand untuk membentangkan rumusan prestasi ‘buruk’ Gajah Perang di kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung pada awal Jun yang lalu.

Walaupun tanpa Akira Nishino yang dimaklumkan hanya akan kembali 20 Julai depan, pengurusan pasukan yang diketuai oleh pengganti sementara, Anurak Srikerd dan pembantu jurulatih, Issara Sritaro telah membentangkan rumusan mereka.

Akira Nishino tidak menyertai mesyuarat kali ini apabila pada awalnya, beliau dikatakan menghilangkan diri sebaik sahaja berakhirnya pusingan kelayakan di Dubai, UAE. Beliau terus terbang pulang ke Jepun dan gagal dihubungi buat seketika, ketika itu.

Beliau juga langsung tidak meninggalkan sebarang pesan menyebabkan FA Thailand terpaksa melantik pengganti sementara untuk skuad kebangsaan dan B-23, Anurak Srikerd agar persediaan pasukan kebangsaan dan B-23 tidak terjejas.

Terdapat tujuh sebab yang diberikan pengurusan pasukan kepada FA Thailand yang diketuai oleh Presiden, Somyot Poompunmuang dan salah satu yang paling mencuri tumpuan adalah katanya ada masalah komunikasi disebabkan penterjemah.

Menurut mereka, masalah komunikasi adalah antara yang terbesar dalam pasukan terutama ketika pengendali memberi arahan dalam sesi latihan dan juga perlawanan. Penterjemah, Teeranate Yuki Tanaka dikatakan mencipta ruang dalam komunikasi.

Ini kerana, Yuki dikatakan gagal disebabkan tidak sepenuhnya mengetahui apa yang dimaksudkan Akira Nishino dari segi bahasa bola sepak jurulatih berasal daripada Jepun itu. Beliau boleh menterjemah tetapi bukanlah dalam ‘bahasa’ bola sepak.

Ini yang telah mencipta ruang antara jurulatih dan pemain, apabila mereka dikatakan tidak memahami sepenuhnya kehendak Akira Nishino. Menariknya, Yuki merupakan pilihan Akira Nashino sendiri disebabkan mahir dan pernah bekerja bersama.

Jadi, jika Akira Nishino sendiri yang memilihnya untuk menjadi penterjemah dan pernah bekerja bersamanya, benarkah Yuki gagal menterjemahkan segala arahannya kepada para pemain Gajah Perang atau Yuki cuba dijadikan kambing hitam kali ini?

Menurut pengurusan pasukan, untuk menjadi penterjemah skuad bola sepak yang baik, mereka perlulah memiliki pengalaman selain berbakat dan juga berupaya untuk menyampaikan secara teknikal teknik bola sepak kepada para pemain.

Disebabkan langsung tiada pengalaman dalam bola sepak, Yuki dikatakan gagal untuk menyampaikan segala maklumat dengan berkesan kepada para pemain.

Sementara itu, penterjemah kepada pemain sayap Thailand yang sedang berkelana di J-League, Chanathip Songkrasin iaitu Tiwaphon Sangkhaphan, sangat tidak profesional untuk menyalahkan penterjemah disebabkan prestasi buruk skuad negara.

Beliau yang memuat naik posting di laman Facebooknya dilihat menitipkan rasa simpati terhadap Yuki yang dikatakan menjadi salah satu punca. Katanya sambil memberi sokongan, “Yuki tidak membuat kesalahan. Jadi, jangan disalahkannya.”

“Ada orang berkata, anda tidak akan mahir dalam satu-satu bidang sehinggalah anda berada dalam industri tersebut untuk tempoh tiga hingga empat tahun. Jadi, ia bukanlah salah Yuki,” tegas Tiwaphon atau mesra dipanggil Ti-san di Jepun.

Sebelum ini ada timbul isu mengenai penterjemah pasukan iaitu melibatkan pasukan Indonesia apabila pengendali pasukan, Shin Tae-yong dilihat menempelak penterjemah yang dibawa mereka dek kerana dikatakan tidak menterjemah sebaiknya.

Jadi, sebagai penyokong bola sepak, bagaimana anda melihat alasan ini? Adakah wajar pengurusan menyalahkan Yuki yang dikatakan menjadi antara punca kegagalan Thailand? Kongsikan pendapat anda bersama kami di ruangan komen.

Baca lagi artikel lain mengenai bola sepak Malaysia dan luar negara:

Shin Tae-yong Berang Dengan Penterjemah Indonesia Di Sidang Media

Copa America: Emi Martinez Tepis 3 Penalti Untuk Hantar Argentina Ke Akhir

Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply