Penonton Berang Siaran Langsung Perlawanan Di Aplikasi unifi Kerap Terganggu

Kerjasama Semuanya BOLA

siarang langsung unifi

Kehangatan saingan CIMB Liga Super Malaysia 2020 yang sudah memasuki perlawanan ketiga pada ketika ini sedikit direncatkan dengan kemarahan peminat bola sepak tempatan yang nyata berang dengan kualiti siaran langsung dibawakan oleh unifi itu.

Terdapat beberapa masalah diketengahkan peminat bola sepak yang telah membuat langganan khas di unifi play TV untuk menyaksikan perlawanan menarik melibatkan pasukan kesayangan masing-masing.

Tinjauan di media sosial menyaksikan rata-rata mereka mempersoalkan tentang kualiti siaran langsung tersebut yang mengecewakan serta gangguan dihadapi ketika perlawanan sedang berlangsung.

Aplikasi unifi play TV juga dikatakan sebagai tidak mesra pengguna kerana hanya boleh disaksikan menggunakan telefon pintar, tidak di laptop mahupun ‘desktop’. Keadaan itu turut menjadi antara penyebab kepada kemarahan mereka.

Dalam pada itu, ada rungutan yang mendedahkan bahawa seorang pengguna ini tidak dapat menyaksikan baki 30 minit aksi separuh masa kedua pertembungan di antara Terengganu FC menentang Selangor, malam tadi.

Ia merupakan isyarat jelas perkhidmatan yang amat mengecewakan diterima pengguna walaupun sudah membuat pembayaran. Keadaan ini seharusnya dipandang serius oleh pihak terbabit supaya perkara itu tidak lagi berulang.

Permasalahan dihadapi ini perlu ditangani secara serius oleh pihak unifi dan TM dengan kadar segera kerana para peminat pada ketika ini dilihat sudah sangat terbuka dan tidak berkira untuk mengeluarkan wang mereka bagi menyokong inisiatif digital ini.

Sebelum ini, juga di aplikasi unifi play TV terutamanya pada minggu pertama saingan Liga Super, pengguna mengalami masalah pembayaran untuk melanggan saluran bola sepak Liga Super 2020.

Semoga segala masalah ini dapat diselesaikan dengan baik oleh unifi dan TM sekaligus bagi menyediakan kemudahan buat para pengguna untuk menyaksikan aksi bola sepak tempatan yang berkualiti di unifi TV dan unifi play TV.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai ragam siaran langsung bola sepak:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply