Penjelasan Mengenai ICD, Teknologi Yang Memungkinkan Eriksen Kembali Beraksi

ICD Eriksen

Selepas kejadian Christian Eriksen rebah akibat serangan jantung ketika perlawanan Denmark menentang Finland tempoh hari, antara soalan yang paling kerap ditanya oleh peminat bola sepak di seluruh dunia adalah ‘mampukah beliau kembali bermain bola sepak profesional?’.

Pemain tengah Inter Milan itu diberi bantuan kecemasan  seterusnya digegaskan ke hospital untuk menjalani rawatan susulan.

Beberapa penyokong Denmark yang ditemubual oleh wartawan di Copenhagen rata-rata amat berharap dapat melihat kembali kelibat Eriksen berlari di atas padang pada masa akan datang.

“Christian Eriksen perlu bermain semula, dia merupakan simbol kebangsaan dan seorang legenda. Sudah tentu saya mahu dia kembali beraksi,” ujar Anton Olesun kepada Reuters.

“Sudah tentu dia perlu kembali bermain. Jika dia sudah cergas, dia perlu bermain semula, tetapi bergantung kepadanya untuk membuat keputusan. Sebagai penyokong Denmark, sudah tentu saya sedih jika dia tak dapat kembali kerana dia adalah pemain terbaik di negara ini,” ujar Jeppe Andersen pula.

Pendapat pakar

Sungguhpun bersukan ini cukup sinonim dengan slogan ‘gaya hidup sihat’, tanpa disedari ia juga sebenarnya berisiko untuk mengancam nyawa seseorang.

Dr. Sanjay Sharma, pakar kardiologi sukan di Universiti St. George di London berpendapat pemain berusia 29 tahun itu tidak seharusnya dibenarkan untuk beraksi semula dalam kancah bola sepak profesional.

“Saya tak tahu sama ada dia akan bermain bola sepak semula. Tanpa berselindung lagi, dia sebenarnya sudah ‘mati’, walaupun cuma beberapa minit, tapi dia memang ‘mati’. Jadi adakah pakar perubatan mahu membenarkan dia ‘mati’ lagi? Jawapannya mestilah tidak,” tegas Dr. Sanjay.

“Berita gembiranya ialah dia masih hidup, berita buruknya ialah keriernya mungkin sudah berada di penghujung. Jadi adakah dia akan beraksi semula dalam bola sepak profesional? Itu saya tak tahu.”

Rujukan kes: Muamba vs Blind

Terdapat dua kes hampir sama melibatkan dua pemain bola sepak profesional yang mungkin boleh dijadikan rujukan bagi membincangkan hal ini.

Kes pertama adalah bekas pemain Bolton Wanderers, Fabrice Muamba yang melalui pengalaman ngeri sama apabila terkena serangan jantung ketika aksi Piala FA menentang Tottenham Hotspur pada 2012.

Walaupun telah pulih, beliau menerima nasihat pakar yang menyarankan supaya melupakan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Sebaik sahaja bersara pada usia 24 tahun, Muamba menyambung pengajian ijazah dalam bidang kewartawanan sukan di Universiti Staffordshire dan mula berjinak-jinak dengan tugas sebagai pengulas di BT Sports dan BBC.

Kes kedua adalah Daley Blind yang merupakan bekas rakan sepasukan Eriksen di Ajax Amsterdam. Beliau juga mengalami serangan jantung dalam satu perlawanan persahabatan menentang Hertha Berlin pada Ogos 2020.

Tetapi selepas menerima rawatan, sehingga kini beliau masih aktif bermain dan merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan Belanda yang beraksi di kejohanan Euro 2020.

Pemain berusia 31 tahun itu malah mengakui beliau hampir menarik diri dari aksi pembukaan menentang Ukraine setelah emosinya terganggu melihat kejadian menimpa Eriksen kerana pernah melalui pengalaman yang sama.

Jadi apakah jenis rawatan yang membolehkan Blind kembali beraksi semula seperti biasa?

Jawapannya adalah teknologi sains perubatan yang berjaya menghasilkan alat bantuan jantung yang dipanggil ICD.

Apa itu ICD?

Gunnar Gislason, ketua penyelidik di Yayasan Jantung Denmark yang juga seorang profesor bidang kardiologi menjelaskan, ahli sukan elit yang mengalami serangan jantung mungkin dapat kembali beraksi dengan menjalani pembedahan implan ICD.

ICD atau nama panjangnya Implantable Cardioverter Defibrillator merupakan alat perubatan kecil yang digunakan bagi merawat degupan jantung yang tidak normal.

Fungsi utama jantung adalah mengalirkan darah yang mengandungi oksigen dan segala jenis nutrisi ke seluruh tubuh. Jantung yang sihat akan membantu kelangsungan manusia untuk menjalani hidup secara normal.

Tetapi bagi sebahagian orang, mereka akan mengalami masalah irama jantung yang tidak normal. Ada kalanya jantung berdegup terlalu perlahan atau terlalu cepat, tidak seperti yang sepatutnya.

Dalam kes tertentu, irama jantung yang tidak normal ini telah menyebabkan serangan jantung. Ia merupaan ‘pembunuh senyap’ yang telah menyebabkan kematian jutaan nyawa di seluruh dunia.

Saiz ICD hanyalah seperti kotak mancis dan ia ‘ditanam’ pada bahagian dada pesakit. Terdapat wayar-wayar kecil pada alat ini yang akan disambung pada jantung bagi memantau kadar degupannya sepanjang masa.

Apabila ICD mengesan irama jantung yang tidak normal dan berbahaya, ia akan merawatnya dengan tiga cara bergantung kepada tahap keseriusan.

Pertama dengan menyalurkan arus elektrik yang bervoltan rendah pada kadar yang pantas untuk membetulkan semula irama jantung. Kedua dengan memberikan satu atau lebih renjatan elektik untuk cuba mengembalikan irama jantung yang normal. Yang ketiga pula berfungsi seperti alat defibrilator dengan memberikan satu atau lebih renjatan elektrik yang bervoltan lebih besar untuk memulihkan semula irama jantung.

Pembedahan untuk menaman ICD pada badan ini mengambil masa sekitar satu hingga dua jam. Pesakit kebiasaannya diberikan masa sehari untuk memeriksa dan menyesuaikan diri dengan alat tersebut bagi memastikan tiada masalah dengan pembedahan yang dijalaninya.

“Ia berfungsi seperti monitor, ia akan memantau irama jantung,” tambah Gislason lagi.

“Bagi kebanyakan orang, mereka mungkin tidak memerlukannya, tetapi bagi mereka yang mungkin mempunyai masalah irama jantung tidak normal atau atau berisiko mengalami serangan jantung, ICD ini dapat mengesan dan bertindak balas untuk mencegahnya.”

Penutup

Kesatuan Bola Sepak Denmark (DBU) menerusi doktor pasukan, Morten Boesen dalam kenyataan rasmi memaklumkan Eriksen telah bersetuju untuk menjalani pembedahan implan ICD ini.

Sama ada beliau akan kembali beraksi atau tidak, ianya bergantung kepada pendapat doktor serta pakar yang merawatnya untuk membuat penilaian. Namun keputusan akhir pastilah terletak pada tangan pemain itu sendiri.

Banyak kajian mendedahkan terdapat segelintir atlet elit ahli sukan atau profesional yang bersara berakhir dengan tekanan perasaan, bunuh diri, menjadi gelandangan dan sebagainya. Ia adalah akibat dari kesukaran menghadapi transisi untuk menjalani kehidupan normal.

Ini selepas bertahun-tahun atau sebahagian besar hidup mereka menjalani latihan sepanjang hari pagi dan petang, berdepan dengan kecederaan, tinggalkan keluarga, dan rakan-rakan yang mana ia tidak sama seperti kehidupan biasa yang dilalui oleh orang lain.

Maka semua pihak diharapkan dapat memberi masa dan privasi kepada Erkisan serta keluarganya bagi memikirkan apa yang terbaik untuk masa depannya.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Christian Eriksen:

Kenali Adik Beradik Jaguh Badminton Dunia Sebelum Jadi Doktor Selamatkan Nyawa Christian Eriksen

Kenali “Silent Killer” Yang Menjadi Musuh Pemain Bola Sepak Seperti Christian Eriksen

Wajarkah Pemain Denmark Diminta Teruskan Perlawanan Selepas Kejadian Ngeri Menimpa Eriksen?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply