Penjelasan: Mengapa Gol Tempat Lawan Masa Tambahan Kedah Diambil Kira

Kedah dan Johor Darul Ta’zim masing-masing sah menempah tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 semalam.

Kedah layak ke perlawanan akhir selepas seri 8-8 secara agregat menentang Pahang di pentas separuh akhir, namun layak kerana memperoleh lebih banyak gol di tempat lawan.

Sebelum itu, mereka terikat secara agregat 6-6 dalam masa sebenar 90 minit, sebelum perlawanan dibawa ke masa tambahan kerana kedua-dua pasukan terikat dengan jumlah gol yang sama, begitu juga dengan bilangan gol di tempat lawan yang sama.

Perlawanan dibawa ke masa tambahan dan kesudahannya kedua-dua pasukan menjaringkan dua gol, dengan Kedah layak ke final kerana mempunyai kelebihan dua gol di tempat lawan yang diperoleh dalam masa tambahan 30 minit.

Namun, wujud beberapa persoalan:

Adakah gol jaringan Baddrol Bakhtiar sah?

Bukankah gol-gol Kedah dalam masa tambahan tersebut tidak sepatutnya dikira?

Soalan ini merupakan antara soalan popular yang diajukan kepada SemuanyaBOLA sejak tamatnya perlawanan semalam.

Malah ada segelintir netizen yang membawa ‘bukti’ keratan dari 2019 AFC Champions League – Competitions Regulations yang menyatakan bahawa gol-gol pasukan Kedah dalam 30 minit tersebut tidak sepatutnya dikira.

Untuk jawapan soalan ini:

  • Mengenai jaringan Baddrol Bakhtiar, pengadil telah memberikan jaringan tersebut dan dianggap sah. Tiada bantahan dari pengadil kedua atau pegawai perlawanan yang lain. Memandangkan pertandingan Liga Malaysia tidak menggunakan teknologi VAR, keputusan pengadil dianggap sebagai tepat kerana mereka berada pada jarak paling dekat dengan permainan – walau apa pun pandangan dan isu yang didebatkan oleh penyokong.
  • Kejohanan Piala Malaysia dianjurkan oleh Malaysian Football League (MFL), iaitu merupakan satu kejohanan domestik. Hanya berlangsung dalam sebuah negara. Jadi peraturan kejohanan tersebut boleh ditentukan oleh penganjur kejohanan tersebut atau di sesetengah negara lain, persatuan bola sepak (FA) negara tersebut yang menentukannya. Maka MFL dan FAM tidak terikat untuk mengikuti segala peraturan yang ditetapkan AFC sekiranya mereka mahu.
  • Buku peraturan yang dirujuk tersebut adalah buku peraturan kejohanan AFC Champions League (ACL). Dokumen tersebut tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan kejohanan Piala Malaysia. Jadi sumber rujukan tersebut amatlah lemah, terutama sekali apabila penulis menyebut sebentar tadi bahawa peraturan kejohanan domestik bebas ditentukan oleh penganjur kejohanan tersebut dan tidak semestinya perlu terikat dengan peraturan badan induk benua. Malah, Piala Malaysia sendiri tidak memberi apa-apa laluan kepada mana-mana kejohanan di bawah pengurusan AFC.
  • Mengapa netizen tidak mempersoalkan peraturan lain yang kononnya bercanggah dengan peraturan AFC. Sebagai contoh, di pentas ACL, hanya 4 pemain import dibenarkan bermain dalam kejohanan tersebut oleh sesebuah pasukan dengan salah satu daripada mereka mestilah mempunyai pasport atau kewarganegaraan Asia. Berbeza dengan Liga Super Malaysia, pasukan dibenarkan menurunkan 5 pemain import. Adakah peraturan tersebut menyebabkan kita dikenakan tindakan oleh AFC? Tentunya tidak pernah. Malah sekali lagi diingatkan bahawa peraturan kejohanan AFC tidak semestinya perlu dimasukkan kesemuanya dalam kejohanan domestik.
  • Ada netizen lain merujuk kepada buku peraturan UEFA. Sumber ini jauh lebih lemah kerana Piala Malaysia dianjurkan oleh MFL, Malaysia berada di bawah AFC dan tidak berkait langsung dengan UEFA. Tidak ada keperluan untuk merujuk sumber peraturan tersebut.

Penjelasan lain berpandukan FIFA

FIFA sebagai badan induk bola sepak dunia turut menyentuh mengenai perkara ini secara tidak langsung melalui Artikel 15 Peraturan FIFA.

Melalui buku peraturan tersebut, FIFA berkata jika jaringan secara agregat dua pasukan masih sama selepas perlawanan kedua, apa jenis jaringan pun boleh diambil kira sebagai satu kelebihan.

Peraturan pertandingan juga membenarkan masa tambahan untuk dilakukan sekiranya perlu.

Dalam perlawanan diantara Pahang dan Kedah, masa tambahan telah diberikan dan jaringan sepanjang tempoh itu turut diambil kira sebagai kelebihan kepada pasukan pelawat.

Mengapa ada pertindihan peraturan AFC dan UEFA?

Adakah AFC dan UEFA salah satu daripadanya tidak mengikut peraturan FIFA? Yang manakah harus kita jadikan rujukan?

Di dalam kes ini, AFC dan UEFA tidak bersalah. Kedua-dua badan induk ini bebas menggubah peraturan sesuai dengan keperluan pertandingan masing-masing.

Seperti yang dijelaskan pada awal penulisan ini, rujukan yang tepat bagi perlawanan Piala Malaysia adalah buku peraturan daripada FAM dan juga MFL sebagai badan penganjur pertandingan.

Rumusan

Menurut MFL, gol-gol Kedah selepas masa tambahan tersebut adalah sah. Maka Kedahlah akan bermain di perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 yang akan dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu hadapan.

Diharapkan agar penjelasan ini mampu menjawab soalan-soalan yang diberikan oleh pembaca dan semua penyokong bola sepak tanah air.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram