Peningkatan Jumlah Pemain Muda Berbakat Dalam Skuad Belanda Buat Koeman ‘Pening’

Pengurus Belanda, Ronald Koeman berkata, arus baharu kemunculan pemain-pemain muda hebat dan berbakat Belanda menjadikan persaingan untuk merebut tempat dalam skuad negara itu semakin sengit terutama untuk kejohanan EURO 2020 pada tahun depan.

Skuad Oranje membelasah Estonia 5-0 pada Selasa dalam perlawanan yang menyaksikan Koeman memberikan debut buat dua pemain muda AZ Alkmaar yang cemerlang bersama kelab mereka. Calvin Stengs  dan Myron Boadu.

Myron Boadu yang baru sahaja berusia 18 tahun telah menjaringkan 17 gol dalam 24 perlawanan untuk kelab dan pasukan negara, manakala pemain sayap Calvin Stengs pula berusia 20 tahun.

“Agak pelik jika segalanya selesai hanya dalam satu petang selepas perlawanan menentang Estonia. Kami masih ada enam bulan [untuk persiapan].

“Kami ada banyak pemain muda yang umurnya akan meningkat setengah tahun. Jadi akan ada persaingan yang sengit antara semua,” kata Koeman kepada stesen televisyen Belanda NOS.

Koemen menambah, sewaktu tempoh rehat antarabangsa pada bulan Mac akan datang, skuad kendaliannya akan bermain dalam dua perlawanan persahabatan. Ia akan menjadi medan terbaik untuknya bagi  mempersiapkan pasukan.

Dalam perkembangan lain, Koeman mempertahankan tindakan kapten pasukan, Gergio Wiljnaldum yang meraikan gol bersama rakan sepasukan Frenkie de Jong dengan menunjukkan perbezaan warna kulit lengan mereka berdua selepas bintang Liverpool itu mencatat hatrik.

Ianya berikutan serangan ejekan perkauman yang berlaku di liga divisyen kedua Belanda oleh penyokong FC Den Bosch yang dituju kepada pemain Excelsior, Ahmad Mendes Moreira.

Menurut Koeman, Wijnaldum ada memperkatakan sesuatu mengenai insiden berkenaan kepada semua rakan sepasukannya semasa di bilik persalinan.

“Dia mengatakan yang dirinya sangat gembira dengan pasukan kebangsaan Belanda di mana masalah [perkauman] itu tidak berlaku. Baginya semua pemain adalah ‘satu’ dan dia gembira untuk melihatnya.”

Pada awal minggu ini, Wijnaldum mengatakan kejadian yang menimpa Mendes Moreira itu secara peribadi telah mengguris perasaannya.

“Saya tak sangka perkara seperti ini boleh berlaku di Belanda. Saya agak terkejut, Malangnya ianya benar-benar berlaku. Ianya adalah masalah dalam kehidupan bermasyarakat dan ianya wajar diselesaikan oleh ahli politik kita.” katanya kepada laman berita Liverpool Echo.

Wijnaldum ditugaskan sebagai kapten Belanda selepas rakan sepasukannya di Liverpool, Virgil Van Dijk menarik diri daripada skuad atas alasan peribadi yang tidak didedahkan. Beliau menjadi pemain tengah pertama yang mencatat hatrik untuk Belanda sejak Johan Neeskens melakukannya pada 1972.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram