Pengulas Bola Sepak, Nampak Mudah Tetapi Tak Semua Mampu Lakukan

Berikutan berita Stereotaip Minta Pengadil Wanita Seterika Baju, Pengulas Ini Digantung Kerja, Semuanya BOLA akan membawa sedikit perkongsian mengenai pengulas perlawanan bola sepak.

Sebelum ini, penulis Semuanya BOLA, Nazreen Izahar pernah berkongsi pengalamannya menjadi pengulas perlawanan bola sepak di dalam artikel, ‘Bagaimana Caranya Pengulas Perlawanan Bola Sepak Bekerja? Ini Pengalaman Saya.’

Selepas pemergian Allayarham Dato’ Hasbullah Awang, Malaysia seperti sudah ketandusan pengulas ‘bersuara emas’ di belakang tabir acara sukan terutamanya bola sepak. Allahyarham antara pengulas terbaik yang pernah Malaysia miliki.

Jadi, adakah sukar untuk menjadi seorang pengulas bola sepak? Apakah persediaan untuk menjadi seorang pengulas yang bagus? Penulis akan berkongsi sedikit sebanyak mengenai perkara ini.

Pengulas bukan satu kerja yang mudah

Pengulas bola sepak untuk BBC, Conor McNamara pernah menyatakan dalam temuramahnya bersama wartawan NME, Nick Levine, kesukaran dalam menjadi pengulas adalah konsentrasi.

“Satu-satunya bahagian yang sukar ialah konsentrasi, ia menjadi satu cabaran besar. Banyak perkara yang berlaku ketika perlawanan bola sepak dan penonton adalah seperti seorang ‘pakar’ yang menanti kesilapan kita,” ujar McNamara.

“Tetapi semua orang pernah buat kesilapan walaupun anda adalah seorang pengulas yang hebat, sangat mustahil untuk tidak membuat kesilapan,” tambahnya lagi kepada NME.

McNamara juga menasihati kepada individu yang mahu menjadi pengulas supaya jangan menjadikan kesilapan dalam mengulas menjadi batu penghalang kepada minat tersebut.

Pengulas BBC, Conor McNamara. Foto: Conor McNamara.

“Jika anda mahu menjadi pengulas, anda perlu melakukan banyak ulasan sebenar. Bukan dengan hanya menjadi peminat nombor satu sukan bola sepak,” terang McNamara.

“Pergilah ke satu-satu perlawanan, liga tempatan atau perlawanan antara sekolah-sekolah. Duduk di satu sudut, jauh dari orang ramai dan rakam suara anda mengulas.

“Saya berani jamin, jika anda melakukannya sebanyak 20 kali dan kemudian membuat perbezaan antara rakaman pertama dan yang ke-20, anda akan dapati rakaman ke-20 adalah lebih baik.

“Ia mungkin nampak senang, tetapi menjadi pengulas bukanlah untuk semua orang. Dengan melakukannya anda akan sedar samaada anda berbakat atau tidak,” jelas McNamara.

Bagi McNamara yang mula terjun ke dalam bidang ini ketika sedang belajar di universiti, perkara paling penting dalam mengulas adalah anda dapat jelaskan keadaan yang berlaku di depan anda sebagaimana ia berlaku.

“Ia adalah mengenai keupayaan anda untuk melakarkan gambar menggunakan perkataan untuk menerangkan aksi permainan yang berlangsung di hadapan anda,” ujarnya.

Persediaan pertama adalah anda perlu bersedia!

Menurut pengulas di talkSPORT, Jim Proudfoot, untuk satu-satu perlawanan, dia akan membuat persediaan sehingga 8 jam untuk mencari bahan-bahan mengenai perlawanan tersebut.

“Kebanyakkan masa dihabiskan di internet. Saya akan baca sebanyak mungkin bahan-bahan preview untuk menjadikan bahan cerita,” ujar Proudfoot kepada FourFourTwo.

“Ketika perlawanan, saya akan ada dua helai kertas. Satu adalah senarai pemain yang berkemungkinan akan beraksi dan sedikit maklumat untuk setiap mereka,” tambahnya lagi.

Nota Jim Proudfoot untuk satu-satu perlawanan. Foto: FFT.

Proudfoot menyatakan dia tidak akan menggunakan sepenuhnya maklumat yang dicatatnya kerana ia mungkin akan menjadi ulasan yang hanya dipenuhi dengan statistik.

Untuk satu lagi kertas, dia akan membahagikannya kepada dua bahagian. Bahagian atas adalah fakta-fakta mengenai pasukan tersebut dan bahagian bawah dikosongkan.

“Di situlah saya akan merekodkan formasi-formasi pasukan, pencetak gol dan juga penggantian pemain,” jelas Proudfoot yang mula mengulas perlawanan sejak tahun 1991.

Menurutnya lagi, satu mimpi buruk baginya jika dia tiada senarai pemain pasukan yang beraksi, tidak mengenali pemain yang bermain dan peralatannya gagal berfungsi.

Beri gambaran aksi yang berlangsung di padang

“Dari sudut sebagai pengulas radio, perkara utama yang perlu anda lakukan adalah memastikan anda menerangkan situasi tepat dengan apa yang berlaku.

“Ia bukan sekadar menyatakan nama pemain, anda perlu cuba melukis gambaran situasi yang berlaku di dalam padang ke dalam minda para pendengar,” jelas Proudfoot lagi.

Apa yang cuba disampaikan olehnya adalah untuk menjadi pengulas di televisyen dan radio adalah dua perkara yang sangat berbeza dan memerlukan skil yang berbeza.

Peralatan Pengulas, ISDN Box. Foto: FFT.

Pengulas Sky Sports, Ian Crocker menyatakan di dalam artikelnya yang disiarkan di Telegraph, jangan terlalu awal ‘menamatkan’ perlawanan yang baharu bermula.

Sebagai pengulas, anda hanya perlu menceritakan apa yang berlaku di dalam padang dan bukan menjadi peramal atau penentu mengenai nasib pasukan-pasukan yang terlibat.

Crocker menceritakan bagaimana perlawanan antara Motherwell dan Hibs pada Mei 2010 yang ‘dihukumnya’ dengan jangkaan perlawanan tidak menarik namun telah berlaku sebaliknya.

“Motherwell bangkit dari ketinggalan 2-6 untuk menyamakan kedudukan 6-6 dengan Hibs disamping gagal menjaringkan penalti ketika kedudukan 5-6,” ujar Crocker.

Berikan impak yang bersesuai

Di Amerika Selatan atau di Asia Barat terutamanya, jika satu-satu pasukan menjaringkan gol, pengulasnya akan menjerit ‘goooolll’ sehingga kehilangan nafas dan ia adalah satu kepuasan.

Namun, adakah ianya memberi impak yang menarik jika gol tersebut diulang tayang beberapa tahun kemudian? Ia adalah sesuatu yang tidak ‘manis’, bak kata Proudfoot.

“Jika anda sedang mengulas gol yang membolehkan England memenangi Piala Dunia, ia adalah gol yang akan diulang tayang untuk satu tempoh yang panjang.

“Anda tidak mahu hanya menjerit ‘gol!’ untuk tempoh 20 saat kerana jika itu yang dilakukan, anda tidak menggunakan masa tersebut dengan sebaiknya.

“Ia adalah saat dimana anda cuba menyampaikan kegembiraan dan perlu memastikan ia akan kekal difahami,” jelasnya lagi.

Saat Aguero menjaringkan gol kemenangan City pada musim 2011/12. Foto: Getty Images.

Proudfoot memberikan contoh bagaimana pengulas berpengalaman Martin Tyler mengulas gol kemenangan Manchester City dengan menjerit nama ‘Aguerooo!’ sahaja.

Gol tersebut bukan sahaja memberikan kemenangan City ke atas QPR, malah gol lewat perlawanan tersebut telah memberikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat mereka.

“Ia adalah sempurna kerana ianya penuh emosi, suara yang penuh dengan drama serta disambung dengan penyataan; ‘I swear you’ll never see another moment like that’,” terang Proudfoot.

Tyler kemudian menyatakan kepada Mirror yang dia lega kerana tidak merosakkan saat ikonik itu. Dan itu adalah saat paling dramatik dalam sejarah EPL dan ianya disempurnakan oleh Tyler.

Menjadikan ianya satu karier?

Di Malaysia, selain dari sesi uji bakat terbuka yang dijalankan oleh stesen televisyen, anda juga boleh menyambung pengajian dalam bidang berkaitan penyiaran, kewartawanan dan komunikasi.

Antara universiti yang menawarkan pengajian berkaitan penyiaran dan kewartawanan adalah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM).

Dengan menyambung pengajian dalam bidang berkaitan, ia akan dapat membantu anda untuk lebih mengenali dan mendalami bidang penyiaran dan kewartawanan ini.

Malah, anda akan lebih mudah untuk mendapat pekerjaan disebabkan memiliki kelulusan dalam bidang ini. Namun, skil dan kemampuan anda akan pasti diuji.

Apakah skil yang perlu ada pada pengulas perlawanan atau yang terlibat dalam bidang berkaitan kewartawanan ini? Antara perkara penting yang dapat disenarai pendek adalah:

  • Kebolehan bercakap, mendengar dan menulis
  • Kebolehan membuat kajian dan menyelidik
  • Penampilan diri yang menarik
  • Cepat menyesuaikan diri dengan peralatan suntingan dan penyiaran

Penutup

Sebagaimana hubungan dengan kekasih, anda perlu mengenal antara satu sama lain dengan mendalam untuk menjadikan hubungan tersebut menjadi lebih menarik dan indah.

Untuk menjadi pengulas perlawanan yang bagus anda perlu tahu sedalamnya mengenai pasukan-pasukan yang akan anda akan ulas serta fakta-fakta yang boleh dikaitkan.

Untuk yang berminat dengan bidang ini, anda bolehlah mula mengasah bakat anda dengan mengulas perlawanan-perlawanan yang disiarkan di kaca televisyen.

Tetapi, lakukannya seorang diri supaya ia tidak mengganggu rakan-rakan anda yang sedang menikmati perlawanan bola sepak pasukan kegemaran mereka di hujung minggu!

Siapa pengulas yang setanding Allahyarham Dato’ Hasbullah Awang di Malaysia? Siapa yang anda minati? Sila kongsikan pendapat anda kepada kami dan para pembaca.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram